KANSER DAN KORUPSI
Saya punya pengalaman dalam penyakit kanser ini ketika penyakit itu menghinggap arwah isteri saya yang telah meninggal dalam tahun 2004. Para doktor yang merawatnya telah memberitahu saya bahawa kanser walau pun setelah hilang symptom (tanda-tandanya) tidak bererti bahawa penyakit itu telah sembuh. Memang "sembuh" dalam erti kata adat dan luaran, tetapi dari segi sains penyakitnya, kanser boleh kembali pada bila-bila masa sahaja kepada pesakit yang sama. Jadi penyakit ini boleh pergi, dan boleh kembali pula.
Demikian juga dengan perilaku manusia yang mengamalkan rasuah, maka rasuah mungkin menjadi tabiatnya yang tegar, boleh di tinggalkan, dan akan ada kalanya akan di ulang lagi.
Kedua-duanya, kanser dan rasuah atau korupsi, adalah merupakan penyakit kronik yang amat banyak sekali menimpa umat manusia, termasuk di negara kita, dan termasuk dalam masyarakat Islam, yang mengetahui bahawa rasuah adalah dosa, orang yang memberi rasuah dan memakan rasuah, kedua-duanya akan masuk neraka.
Penyakit kronik ini sering juga di ibaratkan oleh Al Quran dengan symptom demam dan sebagainya. Penyakit rasuah adalah penyakit hati, ketika Al Quran mengibaratkan bahawa orang-orang musyrikin yang nmenentang hukum Allah dan Rasulnya adalah merupakan orang-orang "yang berpenyakit di dalam hati mereka" "maka Allah menambahkan lagi penyakitnya" dan ketika inilah orang yang berpenyakit seperti penyakit kanser, akan bila-bila sahaja menerima penyakit itu.
Hadis Rasulullah SAW menjelaskan bahawa "Orang Mukmin sesama Mukmin diumpamakan sebagai jasad yang satu di dalam kemesraan, kasih sayang, kesian belasnya, sehingga apa bila satu anggotanya mengadu sakit, maka seluruh jasadnya akan merasa sakit dengan deman dan berjaga malam"
Al-Quran mengumpamakan sakit sebagai sakit dalaman dan luaran, sakit hati, perasaan dengan sakit fizikal, badani. Sakit bukan hanya sakit lahir semata-mata, tetapi sakit dalaman, seperti sakit jiwa dan rohani, maka kedua-duanya haruslah di ubati, dan ajaran agama banyak sekali mengandungi penawar sakit hati dan jiwa, serta penyakit badan dan jasmani.
Rasuah adalah merupakan penyakit hati dan jiwa, yang amat sukar dihakiskan, atau di ubati sehingga sembuh semuanya. Sebab itulah korupsi dan rasuah merebak dengan amat deras sekali di dalam semua sektor masyarakat termasuk masayarakt Islam yang beragama, tetapi tidak dihayati dan di amalkan.
Hari ini Malaysia nampaknya menjadi sasaran gambaran tentang rasuah dan korupsi, dan hal ini amat menjejaskan budaya murni bangsa kita, dan bagi orang Islam pula maka hal ini amat menyentuh imej dan nama baik Islam itu sendiri yang di dakwa sebagai agama jasmani dan rohani, lahir dan batin, luaran dan dalaman, badani dan rohani..
Penyakit psikologi, seperti penyakit jiwa dan mental, amatlah merbahaya, dan mengakibatkan tindak balas yang tidak pernah dilakukan oleh orang-orang yang normal. Kita sering membaca dan menonton berita orang yang membunuh bapa atau ibu, atau anak kandungnya sendiri, iaitu satu perkara yang agak mustahil boleh dilakukan oleh manusia biasa yang normal, tetapi dapat dilakukan oleh orang yang sakit jiwa dan hatinya, yang mengalami penyakit mental yang parah.
Sekiranya WHO meanggarkan jutaan umat manusia sehingga hari ini di kenal pasti mengidap kanser, maka mungkin berganda-ganda lagi manusia yang di kenal pasti melakukan rasuah dan korupsi di dalam dunia kita pada hari ini, dan keadaannya semakin meningkat di dalam negara kita sekarang ini.
Pendidikan yang betul, berpandukan kepada world view Islam yang sebenarnya, akan dapat mengubati penyakit jiwa dan minda, walau pun penyakit kanser semakin bertambah, tetapi sebenarnya penyakit rasuah dan korupsi itu amatlah merbahaya.....
Comments
Post a Comment