ARTI KEPUTUSAN PILIHAN RAYA KECIL HULU SELANGOR

Keputusan pilihan raya kecil Hulu Selangor telah diketahui. Pengundi telah membuat keputusan, dan yang tinggal bagi kita ialah mengambil iktibar dari keputusan tersebut. Seperti biasa saya percaya para pengikut parti yang taksub dan penuh emosi, yang calonnya kalah, akan membuat seribu alasan dan seterusnya akan melemparkan berbagai-bagai tuduhan dan tohmahan kepada parti yang menang. Parti yang menang pula akan mendabik dada dan melemparkan kepelbagaian celaan pula kepada parti lawan yang kalah.

Tetapi dalam diam-diam saya berharap pengikut dan penyokong parti politik yang menang atau kalah, yang tidak fanatik dan tidak emosi, sebaliknya yang beersikap rasional, akan segera insaf di manakah duduknya mereka, dan lalu akur dengan kehendak rakyat majoriti, tanpa mencari alasan sendiri, dan tanpa menyalahkan orang lain.

Dalam kempen yang berjalan dengan panas sebelum hari pengundian, berbagai-bagai tektik dan pengucapan telah dikeluarkan, malah yang amat merbahaya sekali ialah kempen yang berbentuk perkauman, berbentuk fatwa, berbentuk "menjatuhkan hukuman" sesama Islam, yang sekali gus semuanya ini menyimpang dari konsep keterbukaan dan kesedarhanaan dalam politik yang diamalkan selama ini di negara kita ini.

Terbukti dari keputusan undi, bahawa majoriti orang Melayu masih menolak sikap perkauman, dan menolak "fatwa" agama yang menyalahkan sesama umat Islam semata-mata kerana ideologi politik partisan. Mereka juga menolak segala tohmahan yang melibatkan hubungan luar kita yang dituduh bersubahat dengan "musuh" durjana yang memusuhi umat Islam selama ini, mungkin kerana tuduhan itu tidak menyakinkan mereka untuk dipercayai. Mereka juga masih menolah sikap dan pengaruh ekstrem agama dan perkauman melampau.

Kaum lain di negara kita haruslah cuba memahami pendirian orang Melayu ini ketika berhadapan dengan isu perkauman. Majoriti mereka mengundi calon bukan Melayu atas dasar dan semangat kenegaraan kita yang tidak mempunyai perbezaan kaum di kalangan rakyatnya. Malah pengundi Melayu masih rasional menerima dasar kesederhanaan dalam memilih pemerintah, dan menolak aliran ekstrem.

Inilah pengajaran yang seharusnya diambil dari keputusan pilihan raya kecil itu, walau pun terdapat banyak elemen lain yang mempengaruhi keputusan tersebut. Hal ini terserahlah kepada orang awam, yang tidak taksub kepartian, dan yang bersikap terbuka dan rasional, untuk membuat analisisnya.

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....