MENGATUR SESI DIALOG
Dalam kegawatan politik, sosial, ekonomi dan sebagainya yang menjalar masuk ke dalam masyarakat kita akhir-akhir ini, maka langkah terbaik pada pandangan saya ialah mengumpulkan pihak-pihak yang bertelagah dan bertikai itu dalam satu sesi dialog yang sihat, bertukar pandangan dengan kepala yang dingin, dan mengelakkan konfrontasi atau sikap keras kepala.
Usaha mengadakan dialog ini adalah amat baik dalam menyelesaikan beberapa isu yang berbangkit diantara beberapa pihak, dan meredakan ketegangan akibat dari kerisis yang timbul. Bagaimana pun, kaedah dialog ini dan konsepnya haruslah difahami dengan baik, dan dihormati oleh semua pihak yang terlibat dalam mencari penyelesaian.
Dialog tidaklah seharusnya menjadi satu perdebatan dalam cara dan matlamatnya yang berbeza-beza, sebaliknya dialog akan menjadi forum perbincangan dan pertukaran pandangan yang terbuka untuk mencari sesuatu penyelesaian yang baik bagi kepentingan umum.
Pengalaman kita menunjukkan bahawa dalam beberapa majlis debat yang diadakan diantara ahli politik, ternyata bahawa pihak yang berdebat bukan mencari penyelesaian, tetapi masing-masing menegakkan hujah untuk menentang dan mengalahkan lawannya, dan orang awam yang melihatnya hanya mahu mengetahui siapakah yang menang dan siapakah yang kalah di dalam debat itu, terutamanya kerana ahli politik adalah merupakan orang-orang yang akan mempertahankan ideologi dan agenda partinya sahaja, bukan berdifat kecuali untuk kepentingan semua orang.
Oleh itu, satu peraturan dan etika yang tetap haruslah digubal tentang cara melaksanakn sesi dialog, malah yang lebeh penting ialah memilih wakil-wakil untuk menyertai majlis dialog itu, iaitu yang terdiri daripada orang-orang yang berilmu, bersikap terbuka, dan tidak merupakan orang yang fanatik melulu, atau bersikap partisan melampau.
DIALOG DAN DEBAT
Secara ringkasnya rukun-rukun dialog dan perbezaanya dari debat adalah seperti berikut "
- Dialog bertujuan mencari persefahaman : Pihak yang berdialog berusaha dan bertindak ke arah mendapatkan persefahaman. Sebaliknya debat adalah merupakan pertentangan : Pihak yang berdebat akan menetang sama sendiri dan bertungkus lumus untuk membuktikan pihaknya saja yang benar, dan pihak lain adalah salah
- Dalam dialog : matlamatnya ialah mencari persetujuan bersama. Tetapi dalam debat : kemenangan dan kelainan pandangan yang menjadi matlamatnya, walau pun kemenangan itu hanya merupakan "menang sorak, kampung tergadai"
- Dalam dialog : Peserta mendengar pandangan orang lain untuk memahami, meneliti isu dan mendapatkan persepakatan. Dalam debat : seorang peserta atau kumpulan berusaha mencari kelemahan orang lain dan menekannya habis-habisan
- Dialog boleh mengembangkan sesuatu isu dan fikiran, yang berkemungkinan pula dapat mengubah pandangan peserta yang lain. Debat pula hanya akan terus menerus memperkuatkan pandangan satu pihak sahaja secara melulu
- Dialog berkemungkinan dapat menilai semula sesuatu andaian atau pemikiran asal yang dibuat sebelumnya. Debat memperkuatkan sesuatu andaian tanpa mengubah barang sedikit pun, malah andaian yang sedia itu dianggap sebagai benar
- Dialog membuka peluang untuk mencapai penyelesaian yang lebeh baik daripada penyelesaian asal. Debat mempertahankan penyelesaian yang dicadangkan sebagai penyelesaian yang terbaik
- Dalam dialog, peserta mengemukakan pandangannya yang terbaik, tetapi sentiasa bersedia menerima pandangan orang lain yang mungkin dapat memperbaiki pandangannya menjadi lebeh baik lagi. Dalam debat, peserta mengemukakan pandangan yang terbaik, dan mempertahankannya secara membuta tuli dengan tujuan membuktikan bahawa pandangannya saja yang terbaik
- Dalam dialog, peserta berusaha mencari penyelesaian dan permuapakatan yang asasi, tetapi dalam debat peserta berusaha mencari titik
perselisihan yang amat ketara, semata-mata kerana tidak mahu menerima persetujuan lain, walau pun mendapat sokongan majoriti.
Falsafah berdialog ini haruslah difahami oleh pihak-pihak yang mahu berdialog, yang benar-benar ingin mencari penyelesian untuk kebaikan bersama, bukan menambahkan lagi jurang perbezaan dan perselisihan pandangan serta pendirian diantara pihak-pihak yang bertikai atau berselisih pendapat.
Meskipun hal ini nampaknya enak di atas kertas, tetapi sukar untuk dilaksanakan di dalam suasana kegawatan melampau di dalam masyarakat kita sekarang ini, tetapi saya rasa, kita harus mencubanya, dan dalam percubaan itu kita juga mendidik orang ramai, terutamanya generasi muda, supaya belajar menerima realiti manusia dan masyarakat dalam konteks bangsa dan negara serta agama.
Comments
Post a Comment