JANGAN TERBURU-BURU TENTANG JAWATANKUASA ANTARA AGAMA
Keputusan Kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Antara Agama tidak seharusnya didebatkan secara terburu-buru. Dalam situasi sekarang banyak pihak di kalangan rakyat Malaysia yang merasa bimbang dan takut kehilangan hak, terutamanya dalam menentukan status dan kedudukan agama masing-masing. Orang bukan Islam sering merasakan bahawa layanan kepada agama mereka tidaklah seadil layanan yang diberikan kepada agama Islam, sedangkan orang Islam merasakan bahawa orang bukan Islam sering mengenakan tekanan sehingga mengancam kedudukan agama Islam di negara ini yang dijamin oleh Perlembagaan sebagai agama Persekutuan.
Dalam menghadapi situasi ini pihak Kerajaan telah menubuhkan satu Jawatankuasa atau Penal Antara Agama yang bertujuan untuk meningkatkan kesefahaman dan keharmonian di antara berbagai-bagai agama di Malaysia. Jawatankuasa yang dianggotai oleh wakil-wakil dari berbagai-bagai agama di Malaysia haruslah memahami fungsi ini, terutamanya ketika Timbalan Perdana Menteri sendiri telah memberikan penjelasan tentang matlamat dan fungsi penal ini.
Kita semua seharusnya menghormati diantara satu dengan yang lain tentang kesefahaman agama-agama ini. Saya telah menulis tentang keperluan mengadakan dialog dari berbagai-bagai pihak ketika terdapat sesuatu kesalahfahaman tentang sesuatu isu yang timbul. Maka penal ini juga pada tanggapan saya merupakan satu forum untuk mengadakan dialog itu, dengan penuh kejujuran dan harmoni.
Perlembagaan kita mengandungi segala-segalanya tentang isu amalan dan kedudukan kepelbagaian agama di negara kita ini. Walau apa-apa sekali pun keputusan dan cadangan Penal ini, maka Perlembagaan tentulah menjadi panduan dan kata pemutus tentang isu yang diputuskan. Penal atau Jawatankuasa ini bukanlah merupakan satu badan atau otoriti yang dapat membuat keputusan untuk mengubah dasar yang telah sedia ada dan dijamin oleh Perlembagaan dan Jawatankuasa ini juga tidak semestinya beranggapan bahawa segala syor atau cadangannya semestinya diterima oleh Kerajaan, kerana Kerajaan tentulah boleh menerima atau menolak sebarang cadangan Jawatankuasa ini, kerana sebagai Kerajaan, maka Kerajaan tentulah mempunyai banyak pertimbangannya.
Oleh itu saya rasa keputusan untuk menolak cadangan penubuhan Penal ini secara mutlak sebelum meneliti bidang kuasa dan fungsinya adalah agak terburu-buru, dan demikian juga mengkeritik Timbalan Perdana Menteri yang memperincikan tentang peranan Jawatankuasa ini juga adalah sesuatu yang menunjukkan sikap prejudis dan negatif berdasarkan persepsi yang salah.
Kita haruslah bersikap terbuka, dan tidak seharusnya bersikap terburu-buru membuat kesimpulan tentang keputusan Kerajaan menubuhkan Jawatankuasa ini.
Comments
Post a Comment