INNOCENCE OF MUSLIMS : KESINAMBUNGAN CERCAAN
Apa-apa yang diketengahkan pada masa kini oleh orang2 yang ingin menyakiti dan mencabar perasaan orang2 Islam adalah merupakan kesinambungan dari cercaan dan cabaran melulu yang pernah berlaku dalam sejarah hidup baginda Rasulullah SAW sendiri.
Ketika baginda mula2 membawa wahyu dan ajaran Allah SWT supaya disampaikan kepada orang2 musyrikin dan orang2 yang menentang agama Allah sebelum kedatangan baginda Rasulullah SAW lagi, maka tindak balas dan reaksi orang2 yang menentang baginda dan menentang agama Allah itu amatlah hebat dan keterlaluan sekali,
Kita membaca di dalam Al-Quran bagaimana para musuh baginda memfitnah dan membohongi baginda, memberikan berbagai2 gelaran kepada baginda, menuduh baginda sebagai seorang penyair yang mengarang dan mencipta Al-Quran sendiri, bukannya datang dari Allah SWT, menuduh baginda sebagai seorang gila, ahli sihir dan sebagainya, selain dari menyakiti baginda secara fizikal dan psikologi yang amat serius sekali.
Segala penentangan dan keganasan fizikal dan mental yang ditujukan kepada Baginda itu semuanya dihadapi dengan tenang dan penuh hikmah oleh Baginda dan para sahabat yang setia dengannya, dan akhirnya baginda terpaksa menyelamatkan diri ke Madinah, dan menyusun strategi yang lebeh kuat lagi dengan bantuan kaum Muslimin yang semakin kuat, lalu akhirnya baginda kembali semula ke Mekah dengan memberikan keampunan kepada orang2 yang pernah menyakitinya, dan sekali gus menegakkan kebenaran dan kemenangan yang abadi, sehingga berkat kemenangan inilah maka Islam telah dengan segera tersebar ke seluruh alam sehingga ke nagara dan rantau kita ini.
Oleh itu segala cabaran dan permusuhan yang ditunjukkan pada hari ini kepada Baginda dan kepada agama Islam adalah meerupakan cabaran kepada umat Islam sendiri, yang nampaknya dibangkitkan semula dengan lebeh hebat, tambahan pula dengan menggunakan teknologi baru yang amat canggih, membohongi sejarah dan peribadi baginda, menabur fitnah dan sekali gus menyerlahkan perilaku para musuh itu sendiri yang lahir sebagai manusia yang amat tidak bertamadun sekali.
Memang dalam keadaan bagaimana sekali pun umat Islam seharusnya mestilah menunjukkan sikap dan pendirian yang amat tersinggung dengan cercaan dan tohmahan musuh kita itu, tambahan pula kita umat Islam adalah merupakan satu umat yang tidak mengecam atau mempersenda2kan Nabi2 dan Rasul2 yang diutuskan kepada umat lain, malah kita mempercayai dan menghormati semua para Nabi dan Rasul utusan Allah SWT.
Cuma seperti yang telah saya sebutkan berulang2 kali dalam ruangan ini, bahawa disamping kita melahirkan rasa marah dan bencinya kita kepada kelakuan biadab para meusuh Islam itu, maka kita haruslah mengekalankan moral dan hikmah kita sebagai umat yang berperadaban, yang diajar oleh baginda Nabi dan Rasul kita, dan kita tidak melakukan sesuatu yang menunjukkan kejatuhan moral dan akhlak kita sebagai umat yang benar2 menghayati dan mengamalkan ajaran Islam dalam akidah, syariah dan akhlaknya, yang bersifat dengan hikmah dan ihsan, yang menghormati agama orang lain seperti yang kita lakukan selama ini.
Maka demikianlah juga kita mahukan supaya orang lain juga menghormati perasaan dan pendirian kita, bukan memuji kita, tetapi jangan menyentuh kita sama sekali dalam bantahan kita itu. Kalau kita sesama Muslim dapat ingat mengingatkan sesama sendiri, malah jika kita dapat menegur rakan2 seagama kita supaya sentiasa bertindak dengan penuh tamadun, maka orang lain tidaklah seharusnya menyentuh kita dalam urusan dalaman kita itu, janganlah cuba hendak mengajar kita, kerana kita, terutamanya umat Islam di Malaysia, mengetahu dengan sebaik2nya bagaimanakah kita harus bertindak dan berkelakuan ketika kita dicabar dan dimusuhi.
Kita orang2 Islam di negara ini menyedari akan pengorbanan Rasul kita ketika baginda berusaha dengan penuh sabar dan hikmah mengembangkan amanah Allah yang dipikulkan ke atas bahunya untuk disampaikan kepada manusia seluruhnya. Berkat pengorbanan dan kesabaran serta kekuatan iman dan amal itulah, maka kita pada hari ini dapat merasakan keunggulan ajaran agama kita itu.
Oleh itu kita tidaklah seharusnya terlalu gelebah dan panik dengan gelombang kebangkitan semula musuh Baginda dan musuh umat kita yang amat besar pada hari ini, kita sebaliknya haruslah menjadikan cabaran dan ancaman itu sebagai ujian untuk menguji kekuatan iman dan perasaan kita, dan kita melihat kecaman mereka itu hanya sanya untuk menjatuhkan kita dengan lebeh mendalam lagi ke dalam lembah kehinaan dan kemunduran, kefakiran dan kejahilan kita yang lebeh lagi, kerana hanya denga kelemahan dan kemunduran kita itulah, mereka akan mendapat peluang yang lebeh besar lagi untuk menjatuhkan kita di dalam dunia global dan berteknologi ini, malah menghalang kita dari mencapai kesejahteraan dan keamanan dalam masyarakat kita sendiri.
Ingatlah, bahawa Baginda Rasulullah telah pernah menghadapi ujian dan cabaran yang lebeh hebat lagi pada zamannya, telah ditohmah peribadi dan akhlak Baginda sendiri, di kutuk dan dicabar, tetapi berkat kesabaran dan kekuatan pimpinan baginda di dalam negara baru Madinah, dengan berkat kerjasama para sahabatnya, dan keunikan perjanjian damai baginda dengan warga bukan Islam, maka baginda di berikan kekuatan dan berkat oleh Allah SWT sehingga baginda mendapat kejayaan yang amat besar, menumbangkan kesyirikan dan kekufuran yang menguasai dunia ketika itu.
Jadi sekadar manakah ujian yang kita hadapi pada masa kini dibandingkan dengan ujian yang dihadapi oleh Baginda Rasulullah SAW pada zamannya? Maka cuba2lah kita mempelajari sirah dan sejarah perjuangan baginda itu, dan cuba2lah kita berakhlak dan bertindak dengan penuh bijak seperti tindakan baginda itu, bukan bertindak sebaliknya tanpa akhlak, tanpa etika, tanpa moral, dan tipis iman serta tidak bertamadun.
Comments
Post a Comment