KERUNTUHAN MORAL: DI MANAKAH SALAHNYA?

Saya rasa perbuatan warga kita melanggar undang2 terafik juga adalah merupakan soal moral yang kelihatan mulai terhakis dengan seriusnya di negara kita. Kita jangan menganggap bahawa melanggar undang2 terafik atau lalu lintas itu satu perkara kecil yang tidak termasuk dalam perlanggaran moral atau akhlak yang baik, kerana dari melanggar peraturan lalu lintas inilah membawa seseorang itu kepada persediaannya untuk melanggar peraturan dan undang2 yang lain, seperti peraturan dan adab menghormati harta benda orang lain, maruah orang lain, kehormatan anak gadis dan wanita2 lain, hinggalah kepada menghormati nyawa orang dan seribu satu masalah lain lagi yang sering dilanggar dan dicabuli di dalam masyrakat kita pada hari ini.

Saya teringat untuk menulis hal ini ialah kerana terbaca berita pada 26 September yang lalu apabila Ketua Pengarah JPJ memberitahu media bahawa sistem pemasangan kamera untuk mengawasi lalu lintas dan menangkap pesalah lalu lintas telah dilaksanakan untuk mendidik para pengguna jalan raya kita supaya sentiasa mengikut peraturan dan dengan itu dapat mengurangkan kemalangan kepada diri para pengguna jalan raya itu sendiri dan orang2 lain yang tidak berdosa kerana kecuaian para pengguna lalu lintas yang tidak bermoral dan tidak patuh kepada undang2.

KP JPJ itu menjelaskan bahawa dalam masa dua hari sahaja sistem kamera itu dipasangkan hanya dibeberapa tempat tertentu sahaja yang sering mengalami kamalnagan serius di Perak, Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur, maka terdapat 2,952 pesalah yang telah dikesan dengan kamera itu, 809 kerana memandu laju melebihi had laju yang telah ditetepkan dan 2,143 kerana melanggar lampu isyarat.Itu baru dua hari, dan tidak pula meliputi seluruh negara, dan itu pun telah terdapat tanda amaran kepada para pengguna jalanraya yang memberitahu bahawa di hadapan terdapat kamera dalam sistem kamera Automated Enforcement System (AES)! Jadi semua pemandu telah tahu bahawa di hadapan terdapat kamera yang akan menangkap mereka yang buat salah!

Kita jangan ingat bahawa perkara ini perkara kecil, apa sangat melanggar lampu isyarat, atau memandu laju, kerana yang harus kita ingat ialah prinsip manusia ini yang seharusnya hidup berperaturan, beradab, mentaati undang2, malah yang penting sekali ialah hidup berdisiplin dan berkelakuan yang menunjukkan bahawa manusia ini haruslah bertamaddun dan berperadaban, malah agama kita sendiri mengajar kita berperaturan dalam sembahyang, puasa dan sebagainya, budaya kita juga mengajar kita beradab dalam makan minum dan bergaul dengan orang tua serta ibu bapa dan anggota masyarakat umum, malah peraturan juga harus dihormati, jangan menyakiti orang lain, menipu, mencuri, merompak dan membunuh, peraturan juga terdapat untuk menusia memenuhi tuntutan jasmaninya, memenuhi tuntutan fitrah nafsunya berkelamin, jangan menceroboh dan merogol dan sebagainya.

Semuanya ini datang sekali gus apabila manusia hidup berdisiplin dan bertamadun, dan sesiapa yang melanggar peraturan ini seharusnya merasa malu dengan dirinya sendiri dan malu dengan orang lain, apa lagi malu dengan Rasulullah dan malu kepada Allah, Tuhan yang maha esa. (Cubalah tonton program TV Al-Hijrah "Kalau Rasulullah masih berada bersama kita, "Lau Kana Bainana") Oleh itu mentaati peraturan lalu lintas juga termasuk dalam perilaku yang menunjukkan seorang itu bermoral atau pun tidak.

Saya hairan melihat telatah pelik sesetengah pemandu kita yang melanggar lampu isyarat, iaitu lampu isyarat telah menyala merah, tetapi dia tetapi dia terus memandu saja dengan muka yang selamba, seolah2 merasa megah pula dia dapat melanggar peeraturan, dan ketika memandu di atas jalan raya, dia memotong saja kereta kita yang telah pun meluncur di jalan raya mengikut had laju yang telah ditetapkan, termasuk lori dan bas, seolah2 merasakan bahawa dialah hero dan wira dalam dunia ini.

Apakah selama ini kita belum membangun dengan agak maju dan kehadapan dalam pembangunan INFRA STRUKTUR DAN PEMBANGUNAN KEMUDAHAN AWAM SEPERTI PERUMAHAN, JALAN RAYA, KENDERAAN AWAM, KOMPLEKS MEMBELI BELAH, SEKOLAH, KOLEJ DAN UNIVERSITI?

Kalau semuanya itu telah membangun dengan agak baik, ditambah pula dengan kadar penggangguran yang semakin kurang, harga barang yang terkawal, peningkatan ekonomi keluarga dan individu yang agak baik, kemudahan pendidikan yang meliputi segala peringkat masyarakat, maka yang kurangnya tentulah apa2 yang ada dalam diri dan hati kita sendiri, dalam hati nurani dan jiwa kita sendiri, termasuk kesedaran hendak menjadi orang yang baik atau tidak, hendak menghormati undang2 atau tidak.

Di Australia umpamanya sistem AES itu telah dilaksanakan, dan ketika saya ke sana beberapa bulan yang lalu nampaknya orang sana amat berdisiplin semasa memandu, mungkin kerana mereka telah dididik oleh kameera ini, tetapi ditempat yang tidak ada kamera ini pun mereka kelihatan masih mematuhi peraturan dan undang2 lalu lintas, apakah mereka lebih baik dari kita dari segi adab dan disiplinnya, atau ajaran agamanya?

Oleh itu nampaknya masalah kejatuhan moral dan akhlak ini sekarang merupakan satu masalah besar dalam masyarakat kita. Akibatnya setiap hari kita membaca dan menonton segala macam pencerobohan dan keganasan yang berlaku, penipuna, pembunuhan, pencabulan dan sebagainya, yang sekali gus menambah tugas polis dan penguatkuasa undang2 kita.

Di manakah salahnya? Mungkin kita dapat sama2 membincangkan hal ini seterusnya pada kesempatan yang lain.

Sementara itu, para pemandu kenderaan semua, ketika memandu di jalan raya, pandang2lah sikit tanda jalan kerana terdapat satu tanda baru tentang AES ini, iaitu di hadapan ada kamera yang mengintip kita, dan kamera ini tidak boleh disuap atau diberikan rasuah, dia bukan manusia, tetapi nampaknya manusia hari ini tidak mahu dididik oleh manusia sendiri, mereka lebeh takut kepada makhluk lain yang bukannya bernama manusia termasuklah kamera AES!. Pelik sungguh makhluk yang bernama manusia!.

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....