ISU KALIMAH ALLAH


TELAH ADA TOLAK ANSUR


Sepanjang ingatan saya, mungkin saya silap dan kalau saya silap harap tolong betulkan, bahawa isu kalimah Allah ini timbul di Semenanjung ialah apabila penerbitan The Herald bertindak menggunakan kalimah "Allah" sebagai terjemahan "God".

Pada masa itu, kalau saya tidak silap juga, pihak Kementerian Dalam Negeri telah meminta supaya penerbitan tersebut tidak menggunakan kalimah "Allah" sebagai terjemahan "God" dengan beberapa alasan yang tertentu. Malah sekiranya The Herald terus juga menggunakan kalimah Allah, maka mungkin permit penerbitannya akan ditarik balik.

Pihak penerbitan Katholik itu menyatakan bahawa mereka berhak menggunakan kalimah Allah, dan sekiranya kes ini dipanjangkan, maka mereka akan membawakannya ke Mahkamah. 

Ekoran dari itulah kes ini telah di bawa ke Mahkamah Tinggi, dan The Herald memenangi kes itu, yakni the Herald berhak menggunakan kalimah Allah di dalam penerbitannya sebagai terjemahan God.

Seterusnya ekoran dari rayuan yang dibuat oleh pihak Kerajaan ke Mahkamah Rayuan, dan disokong oleh beberapa buah Majlis Agama Islam Negeri serta Persatuan Cina Muslim Malaysia (MAGMA), Mahkamah Rayuan telah menjatuhkan hukuman bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan dalam penerbitan the Herald seperti kesnya yang asal, iaitu yang dimenanginya di dalam Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Bertolak dari sinilah, timbul segala konflik dan pertikaian tentang penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam dan sebagainya.
Namun begitu, saya merasakan bahawa banyak isu yang timbul dari kes ini yang merupakan implikasi dari keputusan mahkamah itu yang telah dibicarakan di luar konteks yang sebenarnya.

Isu pertama: Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah Allah di dalam The Herald.

Isu kedua: Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu dengan membuat keputusannya bahawa the Herald tidak boleh menggunakan kalimah Allah.

Isu ketiga: Pandangan umum telah mengambil kesimpulan dari keputusan mahkamah rayuan itu bahawa kalimah Allah adalah hak mutlak orang Islam dan agama Islam, maka orang bukan Islam tidak berhak menggunakan kalimah Allah untuk Tuhan mereka.

Isu keempat: Orang bukan Islam, khasnya Katholik, mengambil keputusan itu secara mutlak juga, iaitu seolah-olah mereka tidak seharusnya menggunakan kalimah Allah sama sekali di mana-mana saja.

Oleh itu setelah PM merujuk kepada keputusan 10 perkara tentang hal ini yang pernah disepakati, maka ternyata bahawa keputusan mahkamah ini adalah dipusatkan kepada penggunaan kalimah Allah dalam the Herald .

Keputusan tentang 10 perkara yang disepakati itu termasuklah penggunaan kalimah Allah di dalam Bible bahasa Melayu, sermon di dalam gereja oleh orang Kristian dan beberapa perkara lain di Sarawak dan Sabah. 

Hal ini telah menunjukkan bahawa Kerajaan dan masyarakat Islam negara kita sememangnya mengiktiraf tradisi dan warisan dalam hal ini bagi penduduk Sabah dan Sarawak, dan pengiktirafan ini merupakan satu sikap dan sifat tolak ansur yang amat tinggi oleh masyarakat Islam di negara ini dalam mencari keharmonian dan kesejahteraan dalam negara berbilang kaum dan berbeza adat serta budaya ini.

Oleh itu dalam hal ini kita orang Islam dan bukan Islam haruslah faham bahawa keputusan untuk tidak menggunakan kalimah Allah itu adalah dalam kes khusus The Herald sahaja, kerana penerbitan itu boleh dimasuki oleh semua orang tanpa mengira agama melalui internet, iaitu tidak seperti Bible bahasa Melayu dan sermons Kristian di dalam gereja yang hanya khusus untuk penganut Kristian sahaja.

Sepatutnya setelah terdapat tolak ansur dari berbagai-bagai pihak dalam hal ini, maka kes ini tidaklah seharusnya dipanjang-panjangkan lagi. 

The Herald mungkin seharusnya akur dengan keputusan mahkamah rayuan, dan pihak Islam pula tidaklah seharusnya bertegang leher, masing-masing seharusnya cuba faham memahami, adakan dialog, dan cari penyelesaian di luar mahkamah, kerana apabila dibawakan satu kes ke dalam mahkamah, maka akan ada dua keputusan sajaha, menang atau kalah. Yang menang akan mengatakan bahawa mahkamah adalah adil dan betul dalam penghakimannya, dan yang kalah akan mengatakan bahawa mahkamah telah membuat keputusan yang salah, terutamanya pada masa-masa yang terakhir ini, terlalu ramai orang yang mempersoalkan akan kewibawaan mahkamah dan membuat tuduhan yang tidak berasas.

Tindakan yang terang-terang merupakan "penghinaan terhadap mahkamah" itu nampaknya semakin tidak dihiraukan lagi, malah banyak yang mempersoalkannya, dan banyak pula yang akan terus menerus menyalahi keputusan mahkamah, tanpa segan silu lagi dan tanpa beretika serta menghormati undang-undang.

Sebab itulah dalam hal ini saya telah mencadangkan supaya semua pihak bersikap bijaksana, wisdom dan berhikmah demi menegakkan perpaduan dan keharmoniaan semua. Pihak yang satu telah membenarkan penggunaan kalimah Allah secara terhad di dalam kalangan masyarakat bukan Islam di Sabah dan Sarawak, maka apakah salahnya pihak The Herald menggugurkan penggunaan kalimah Allah di dalam penerbitannya itu?

Saya cadangkan supaya diadakan dialog semua pihak dengan ikhlas dan berilmu, bukan berasaskan emosi dan sentimen melulu. Kalau berdialog dan berpakat, mungkin kedua-dua pihak akan mencari titik pertemuan, sama-sama menang, win-win!

Tidak semua yang kita mahu akan sentiasa kita mendapatnya, dan tidak semua yang kita perlukan akan ditolak semuanya!

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....