KUASA ALLAH


KUBUR BATU BADAK

Saya ingin merujuk kepada berita mengenai kuasa Allah yang dapat di lihat dalam beberapa mayat yang dikeluarkan dari tanah perkuburan yang tersebut untuk dipindahkan ke  kawasan lain kerana tanah perkuburan ini terlibat dengan pembinaan lebuh raya Segamat - Tangkak, seperti yang tersiar di dalam Sinar Harian on-line 9 November 2013, hari ini.

Kisah beberapa mayat yang masih mempunyai kain kapan yang belum reput keseluruhannya walau pun telah lama dikebumikan, dan kisah keharuman bau udara di sekitar perkuburan yang sedang mengalami proses pemindahan itu, sememangnya tidak harus dijadikan bahan khurafat dan sensasi tentang hal tersebut, kerana mengaitkannya dengan cerita-cerita ghaib yang tidak kita ketahui asal usulnya , atau menghubungkannya dengan perkara-perkara yang tidak berasaskan ilmu agama yang sebenarnya, hanya mungkin mencemarkan akidah dan syariah kita sahaja.

Namun hal ini amat baik kita jadikan sebagai satu tanda kebesaran dan kekuasaan Allah SWT bagi menguatkan keyakinan kita kepada Pencipta alam semesta, langit dan bumi serta sekelian makhluk ini, iaitulah Allah SWT yang Maha Kuasa.

Keimanan manusia umumnya kepada kewujudan satu kuasa tunggal sebagai pencipta dan pentadbir alam ini haruslah segera menjelma dan menjadi kukuh dengan tanda-tanda kekuasaan-Nya, Allah yang maha besar.

Pada masa kini, manusia masih ramai yang tidak mempunyai keyakinan kepada kewujudan Tuhan yang esa, yang menciptakan segala-galanya, iaitu Allah SWT, kerana dengan kemajuan ilmu sains dan teknologi, mereka masih percaya bahawa kewujudan Tuhan hanyalah satu ilusi, atau kepercayaan karut dan khayalan sahaja. Mereka tetap memandang bahawa sains itulah yang menguasai segala-galanya.

Ketika menonton TV baru-baru ini, iaitu ketika Amerika Syarikat di landa taufan raksaksa, menghancurkan bangunan yang perkasa, menumbang dan membongkar segala pokok dan pohon yang berakar umbi dengan kuatnya selama ini, memusnahkan segala tanaman dan binatang ternakan, malah membanjiri tanah rendah dan tinggai, juga meragut nyawa manusia, terdapat seorang wanita Amerika yang menyatakan kepada media bahawa kali ini dia melihat kepada satu keajaiban, iaitu bagaimana manusia seperti rakyat Amerika, yang sentiasa dapat mengatasi segala cabaran, tetapi dalam peristiwa ini, mereka tidak dapat membuat sesuatu apa pun untuk mengatasi, apa lagi mencegah fenomena kemusnahan alam ini.

Dalam cerita Nabi Yunus yang diperikan di dalam Al-Quran, ternyata bahawa kaumnya yang menentang dan mendustakan misinya dengan menyakitinya dan menunjukkan sifat syirik mereka, akhirnya beriman dengan sendirinya kerana keyakinan kepada kewujudan Tuhan yang maha esa, dengan memerhatikan kepada perubahan alam dan keajaibannya.

Nabi Yunus yang merajuk dengan angkara penentangan kaumnya, telah lari membawa diri ke tepi lautan, menumpang sebuah kapal, dan dia dicampakkan ke dalam lautan, lalu ditelan ikan paus, hidup dalam kegelapan perut ikan selama beberapa masa yang lama, akhirnya dia bertaubat kepada Allah, dan ikan itu memuntahkannya ke pantai lalu dia kembali kepada kaumnya, dan rupa-rupanya kaumnya yang mengingkarinya telah beriman kepada Allah, malah berganda-ganda lagi bilangan mereka.

Mereka beriman sepeninggalan Nabi Yunus, iaitu apabila melihat kepada perubahan cuaca dan iklim dunia di sekeliling mereka, yang menunjukkan perubahan yang dapat mereka rasakan bahawa perkembangan alam ini bakal membawa bala' bencana dan musibat yang besar kepada mereka kerana manolak agama Allah, lalu mereka beriman kepada-Nya.

Hal ini sebenarnya banyak kita saksikan pada masa kini, iaitu perubahan cuaca dan alam di sekeliling kita, ribut taufan, angin tengkojoh yang berlaku di Jepun, tsunami yang berlaku di Aceh dan tempat-tempat lain, malah taufan kencang Haiyan yang sedang melanda di Filipina sejak dua hari yang lalu, semuanya amat jelas menunjukkan kepada kita, bahawa kekuasaan Allah adalah amat besar dan kekuasaan ini tidak dapat disekat apa lagi di lawan dengan kekuasaan lain, termasuk ilmu kepandaian manusia dalam sains dan teknologi.

Jadi kita tidak lah seharusnya merasa hairan dengan segala keajaiban yang berlaku di alam ini, kerana semuanya itu adalah kuasa Allah, termasuklah peristiwa yang berlaku terhadap beberapa mayat di tanah perkuburan Batu Badak itu.

Ambillah semuanya itu sebagai iktibar dan pelajaran, malah Allah SWT pun berfirman di dalam Al-Quran apakah tidak manusis itu melihat kepada langit bagaimanakah Allah mengangkatnya, dan kepada bumi bagaimanakah Dia menghamparkannya,.....

Sebab itulah pada masa kini ramai manusia yang memeluk Islam hasil dari kajian dan penemuan mereka dalam keajaiban kejadian alam semesta ini, yang di sanalah terletaknya sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan-Nya. Allah berfirman juga "Dan sebahagian dari tanda-tanda kebesaran-Nya ialah kejadian langit dan bumi, dan kepelbagaian bahasa serta warna kulit kamu.."

Kajilah Al-Quran dan dan perhatikan kejadian-Nya di sekeliling kita.




Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....