Kenaikan Harga Barang



ADA YANG PERLU DIBANGKANG

Menjelang tahun baru 2014, banyak perkara yang menimbulkan bangkangan masyarakat terhadap kenaikan harga barang, letrik, tol, dan sebagainya. 

Tetapi bukan semuanya yang perlu dibangkang, kerana sememangnya menjadi persepsi umum bahawa apa-apa sahaja yang hendak dinaikkan harganya oleh Kerajaan, maka kenaikan itu mestilah dibangkang.

Jadi, bangkangan hanyalah disuarakan, diprotes dan dihebuh-hebuhkan ialah kerana kenaikan harga itu adalah dibuat oleh Kerajaan, maka bangkangan adalah semata-mata untuk membangkang Kerajaan.

Dari segi ini mungkin agak tidak adil kalau semuanya yang dilakukan oleh Kerajaan itu seharusnya dibangkang. Rakyat seharusnya memberikan pertimbangan dan pemikiran yang saksama terhadap kenaikan harga barang sebelum bertindak membangkangnya.

Kenaikan harga barang yang amat minimum seharusnya disambut dengan pemikiran yang terbuka. Umpamanya ketika kita pergi minum di restoran nasi kandar, atau kedai kopi, sering kita mengalami bahawa minumun secawan atau segelas  teh tarik atau nescafe dinaikan sebanyak 5 hingga 10 sen, maka kita tentulah tidak akan menghebuhkannya sampai ke dalam media baru, facebook atau blog. Hal ini mungkin kerana kita memikirkan bahawa kenaikan itu adalah amat minimum dan kita tidak merasakan sangat bebannya.

Kita pergi ke kompleks membeli belah di dalam atau di luar negara, rakyat kita membeli belah dengan mewah dan makmur, memborong dan berebut-rebut memilih barangan yang perlu, nampaknya rakyat kita amat mewah dan tidak sangat menghiraukan tentang harganya, walau pun mahal atau murah.

Tetapi kenaikan harga barang oleh Kerajaan, walau pun seminimum begitu, sering menjadi isu nasional dan politik, dan sering menjadi berita besar di dalam media, terutamanya media baru, tentang kezaliman yang dilebalkan kepada Kerajaan itu.

Kita mungkin dapat menerima kenaikan harga yang minimum itu, bukan kerana hanya kenaikan itu tidak sangat menjejaskan kantung kita, tetapi sebagai rakyat yang patriotik dan cintakan negara, kita seharusnya dapat menanggung sedikit pengurbanan terhadap pembangunan negara kita.

Kita sering membeli cakra padat, dan permainan komputer bagi anak cucu kita, maka harganya sering meningkat agak tinggi dari masa ke semasa, tetapi kita tidak sampai mengajak rakyat bangun menentang syarikat yang menjalankan perdagangan itu secara besar-besaran, kerana hal ini dilakukan oleh syarikat perniagaan, bukan oleh Kerajaan.

Pendeknya, kita sering mengharapkan, Kerajaan tidak seharusnya menaikkan harga barang, dan tidak sehaarusnya membina ekonomi negara atas keuntungan terhadap harga komoditi dan barangan atau hasil dan produk keluarannya yang disumbangkan oleh rakyat melalui sedikit kenaikan harganya.

Kita mungkin menutup mata sebelah terhadap kenaikan gaji yang diberikan kepada para pegawai Kerajaan, potongan cukai terhadap beberapa barangan yang diperniagakan, malah kita melupakan jumlah subsidi yang diberikan oleh Kerajaan kepada kita semua dalam berbagai cara.

Kita melupakan hal ini kerana kita hanya ingin mendapatkan keuntungan untuk diri sendiri, dan dalam masa yang sama kita tidak langsung bersedia untuk membantu Kerajaan dengan sedikit sumbangan kita.

Oleh itu saya merasakan bahawa membangkang terhadap kenaikan harga oleh Kerajaan haruslah dalam sempadan-sempadannya yang tertentu, bukan terus mengambil kesimpulan bahawa Kerajaan tidak seharusnya menaikakan harga apa-apa sahaja, dan kalau hal ini berlaku maka rakyat semuanya haruslah bangun memberontak.

Sifat dan sikap patriotik dan cintakan negara haruslah juga menjadi unsur dalam segala pertimbangan kita dalam hal ini, jangan hanya emosi dan sentimen perkauman atau politik sahaja yang dijadikan ukuran terhadap sikap kita mengenai hal ini seperti yang rata-ratanya berlaku pada hari ini. 

Permainan politik sempit dan sentimen kepartian dalam negara kita kini amat merbahaya dan keterlaluan. Hal ini menjadikan permainan hitam puteh yang sering memerangkap rakyat umum. Sedangkan ahli politik dan ketua-tua politik sepatutnya lebih memainakn peranan yang lebih positif dalam hal ini, iaitu bukan semuanya yang dilakukan oleh Kerajaan itu adalah salah dan silap, ertinya bukan semua kenaikan harga barang yang dilaksanakan oleh Kerajaan itu adalah semuanya keterlaluan, tetapi terdapat diantaranya yang seharusnya diterima oleh rakyat dengan baik, guna memberikan sumbngannya kepada pembangunan negara sendiri.

Comments

  1. Di Turkey harga minyak RM9.00 se liter [ tertinggi di dunia], kerana tidak d subsidi. Jadinya semua barang lebih tinggi dari Malaysia. Tetapi masyarakat Turkey dapat menyesuaikan keadaan ekonomi mereka,

    Contonya di Malaysia kerani atau pembantu pejabat pun boleh beli kereta [ sebahagian gagi habis bayar duit ansuran kereta dan minyak], tetapi di Turkey mereka tidak membeli kereta. Mereka menumpukan perkera yang asas dan penting , dan hidup sempurna dan bahagia.

    ReplyDelete
  2. Di Malaysia, orang membeli kereta ada beberapa sebab. Antaranya sistem pengangkutan awam yang tidak komprehensif. Juga terpaksa menggunakan kereta kerana terpaksa tinggal di daerah yang lebih jauh, contohnya orang bekerja di KL tetapi tinggal di Shah Alam kerana sewa lebih murah di situ. Jadi sebab musababnya berangkai-rangkai.

    S Ottoman berhujah seperti orang yang tidak peka dan sensitif kepada kehidupan masyarakat umum.

    Jawapan kenapa masyarakat di Turki dapat menyesuaikan diri dengan harga petrol yang tinggi telah dijawab oleh tuan. Kereta bukanlah prioriti untuk mereka. Ini kerana teksi dan bas awam cukup murah untuk mereka. Dan juga mereka ada metro (LRT) dan feri (bagi mereka di Istanbul).

    Di Malaysia, kerajaan sendiri yang menggalakkan orang memiliki kereta, supaya industri otomobil negara dapat dibantu. Sebab itulah downpayment untuk kereta amat murah dan pinjaman diluluskan dengan mudah. Janganlah menyalahkan pengguna semata-mata. Kerajaan juga harus dipersalahkan, kalau tuan mengambil sikap begini tentang pembelian kereta.

    Artikel Prof Ismail ini menunjukkan beliau tidak peka dan sensitif kepada predicament rakyat. Kerajaan "rugi" berjuta-juta ringgit kerana ketirisan, "overcharging" dalam projek, dan sebagainya. Sebagai ahli akademik, Prof Ismail lebih arif lagi bagaimana perkara-perkara ini semuanya berlaku di IPTA.

    Saya kecewa orang yang dianggap berilmu seperti Prof Ismail tidak fokus kepada isu sebenar yang membawa kepada perlunya kerajaan menaikkan harga barangan. Kalau kerajaan lebih berjimat cermat dan telus, berjuta-juta dapat dijimatkan dan subsidi pun dapat diberikan kepada mereka yang memerlukan. Subsidi yang ada sekarang dinikmati oleh semua, bukannya golongan sasaran.

    Prof Ismail seolah-olah 'insensible' terhadap kecurian diesel yang menyebabkan harganya makin naik kerana kurang bekalan. Kecurian atau 'pilferage' ini kerajaan yang bertanggung jawab, bukannya rakyat. Tetapi kenapa rakyat yang dibebankan?

    Ini belum lagi dibuka soal konsesi tol dan projek kroni2.

    Golongan ustaz seperti Prof Ismail hendaklah menasihatkan kerajaan supaya berbelanja dengan berhemah. Janganlah melompat menyalahkan rakyat sahaja. Tiada siapa yang hendak bangkang jika tak ada sebab yang munasabah; rakyat juga ada kerja lain, bukannya ada masa untuk berdemonstrasi. Orang keluar berdemonstrasi kerana kerajaan sudah tidak menghiraukan lagi pendapat orang lain, bukan untuk suka2.

    Sepatutnya pada usia senja ini, Prof Ismail lebih peka dan dapat memahami jurang ekonomi yang telah berubah dan semakin jauh. Prof Ismail dan keluarga tidak merasai kerana tuan dari kelas ekonomi yang berbeza, dari golongan 'privileged', bekas pegawai kerajaan yang mendapat 2-3 pencen, penghormatan, dsb. Begitu juga anak2 tuan, mereka golongan yang 'privileged' sekarang.

    Tetapi bukan semua rakyat Malaysia meniti kehidupan seperti tuan. Tidak semua merasakan lonjakan ekonomi seperti tuan, jadi fikirkanlah sendiri. Janganlah tuan menjadi ahli propaganda sehingga buta kepada kesilapan pihak yang tuan sokong selama ini, sedangkan banyak perkara yang dilakukan oleh pihak ini tidak sejajar dengan syariat.

    ReplyDelete
  3. Jangan anggap semua rakyat dapat pencen sebanyak Datuk. Rakyat bawahan sedari dulu lagi bekerja siang dan malam untuk menyara keluarga. Siapa kerajaan sekarang ni? Umno Barisan Nasional. Kenapa kerajaan mengurangkan subsidi? Kerana tak cukup duit untuk mengurus negara. Kenapa tak cukup duit untuk mengurus negara? Sebab berbelanja lebih dari pendapatan.

    Datuk tak pernah baca laporan ketua audit negara? Kerajaan dibawah pimpinan perdana menteri Najib Tun Razak telah tidak mengurus kewangan negara dengan baik. Projek2 mega berlambak2 tanpa henti tanpa memikirkan keadaan kewangan negara. Sudah berapa tahun budget negara dalam DEFISIT? Lebih dari 15 tahun. Lihatlah Datuk, kebanyakan projek atau pembelian aset negara pasti ada KETIRISAN berlaku. Kenapa ini terjadi? Yang peliknya, ini terjadi setiap tahun tanpa ada apa2 tindakan drastik dilakukan terhadap pesalah.

    Lihat saja pembelian kapalselam scorpene. Perlukah negara memiliki kapalselam? Kenapa dibeli melalui orang tengah? Berapa komisyen yang dibayar? Hampir 1/2 billion duit pembayar cukai terbang disitu. Negara Malaysia ni terlalu kecik tetapi begitu banyak lebuhraya??? Landasan berkembar. Keretapi letrik Ipoh-KL. Menara berkembar tertinggi di dunia. Jambatan bengkok yang terbantut. Kini dalam perancangan nak membina menara warisan pulak. Apa dah jadi terowong LRT dibawah Putraja? Senyap aje? Berapa billion duit rakyat perlu dileburkan disitu?

    Berapa banyak kamera perangkap laju yang dibeli dengan harga RM223,500 sebuah padahal harga pasaran cuma RM17 ribu sahaja? Sekiranya ketua audit diarahkan pergi kesetiap kementerian untuk memeriksa setiap pembelian, aku percaya berbilion wang negara terbang disitu. Ini belum lagi kos penerbangan jet eksekutif yang digunakan oleh isteri perdana menteri. Bil letrik dan syabas rumah kediaman Perdana Menteri dan Timbalannya pun satu hal lagi. Siapa yang nak pikul tanggung jawab semua ni??? Tak kan tiada seorang pun mengambil tanggung jawab diatas apa yang berlaku??? Siapa punya angkara??? Kenapa tiada menteri letak jawatan???

    Ini bukan masalah politik bangkangan Datuk. Ini masalah SALAH PENGURUSAN WANG NEGARA. Salah memilih pemimpin yang tidak cerdik dan amanah. Sepatutnya sebagai perdana menteri, Najib wajib mengambil tanggung jawab diatas segalanya. Najib wajib letak jawatan kerana GAGAL KPI. Biar orang lain pula menerajui negara. Mengaku sahaja kesalahan yang dilakukan. Berundur sebelum negara bertamabh teruk.
    KETIRISAN, RASUAH dan PEMBAZIRAN inilah yang membuatkan negara kekeringan dana sehingga terpaksa mengurangkan subsidi rakyat. SALAH SIAPA Datuk???

    ReplyDelete
  4. Terimakasih kepada semua komentar di atas.
    Saya tulis satu saja. iaitu kewajipan kita sebagai rakyat negara ini ketika menghadapi kenaikan harga barang. Cuba kompromi dan sesuaikan hidup kita dengan naik turun kos sara hidup kita. Itu saja.
    Saya tidak membela keborosan, ketirisan, penyalah gunaan kuasa dan amalan curang sesiapa sahaja.
    Saya membaca penyata audit dan hal-hal yang dibangkitkan di dalam forum. persidangan, termasuk parlimen tentang perkara ini.
    Saya tidak kata Kerajaan tu semuanya baik, atau pembangkang itu semuanya jahat. Tetapi masyarakat kita yang mengalami polarisasi politik yang teruk, fanatik dan taksub menghadapi kerisis pemikiran yang serius.
    Politik adalah baik untuk pemerintahan negara, dan sesiapa saja yang menjadi pemeerintah, rakyat haruslah menyokong dasarnya, tetapi dalam masa yang sama rakyat berhak memberi pandangan tentang kepincangan Kerajaan.
    Pemerintahan negara ini mewarisi sistem demokrasi berparlimen, setiap kali diadakan pilihan raya, rakyat berhak menukar atau mengekalkan kerajaan yang ada. Jadi apabila majoriti rakyat membuat keputusan, maka rakyat hendaklah kembali bersatu, sehinggalah diadakan pilihan raya yang akan datang.
    Yang hendak saya tekankan di sini bahawa kita sebagai rakyat, haruslah berdiri sendiri, menguruskan kehidupan kita dalam keadaan yang ada, kos sara hidup berubah dan meningkat, bagaimanakah hendak kita bawakan kehidupan kita dengan pemikiran yang waras, bukan emosi dan sentimen sempit.
    Jangan campur adukkan isu-isu yang tidak menentu.Baca sesuatu haruslah dalam konteks nya, bukan semuanya hendak dicampur aduk, sehingga motif asalnya hilang begitu saja.
    Harap maaf.

    ReplyDelete
  5. Saya setuju dengan pendapat Dr. Ismail bahawa "...... bahawa kita sebagai rakyat, haruslah berdiri sendiri, menguruskan kehidupan kita dalam keadaan yang ada, kos sara hidup berubah dan meningkat, bagaimanakah hendak kita bawakan kehidupan kita dengan pemikiran yang waras, bukan emosi dan sentimen sempit".

    Mulai Tahun 2014 kerajaan Turkey menaikkan lagi cukai berapa barang dan menghapuskan subsidi yang menguntungkan orang kaya.

    Para petani di sini dapat menyesuaikan kehidupan mereka dgn bekerja lebih keras lagi untuk mempertingkatkan lagi pengeluaran hasil pertanian mereka, dan menambah nilai produk mereka - aspek bungkusan dan pemasaran. Mereka membeli alatan mesin seperti tractor bukan kereta. Di sini tidak ada FAMA,, LKIM atau LPP , Bank Pertanian dll untuk membantu mereka. MEREKA BERDIKARI.

    Para pekerja pula, dalam mengatasi hal ini kerajaan Turkey juga menaikkan "minimum wages" para pekerja.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....