KEPENTINGAN MUZAKARAH PAS - UMNO

UNTUK APA KESATUAN PAS - UMNO?

Saya merasakan bahawa matlamat muzakarah PAS dan UMNO haruslah jelas dan terang. Sebagai orang Islam yang memahami falsafah perjuangan Islam, kefahaman Islam yang jelas tentang konsep Islam sebagai agama yang menyeluruh, hubungan sesama Islam dan bukan Islam, tentu ramai yang tidak merasa selesa sekiranya matlamat muzakarah ini hanya untuk tujuan politik semata-mata, iaitu bagi merislisasikan kesatuan untuk melaksanakan hukum hudud sahaja apabila ahli Parlimen dari kedua buah parti ini mendapat dua pertiga suara dalam Parlimen untuk meminda Perlembagaan. Apakah hal itu merupakan tujuan utama ke arah penyatuan dua buah parti tersebut?

Bagi saya kesatuan perjuangan umat Islam dalam negara kita dalam semua aspek dan bidang kehidupan mereka itulah yang amat mustahak dan penting sekali. Apakah umat Islam dapat mewujudkan kesinambungan pembangunan ilmu Islam yang mantap? Meningkatkan pembangunan ekonomi dan teknologi serta bidang tamadun lainnya yang pernah dibangunkan oleh umat Islam satu ketika dulu dapat difahami dan dihidupkan semula dengan kesatuan umat dari kedua-dua parti politik ini?

Inilah persoalan yang seharusnya dijawab oleh semua umat Islam, kerana perpecahan dan perselisihan umat Islam pada masa kini lebih berkisar di sekitar memahami apakah takrifan Islam itu sendiri, apakah ianya hanya merupakan ritualistik dan fardu ain serta ibadat khusus sahaja, atau menyeluruh merangkumi semua pembangunan kehidupan dalam segala aspek pembangunan kehidupan umat yang lebih global ini.

Falsafah perjuangan umat Islam melalui politik juga terdapat perbezaan yang agak besar di antara kedua buah parti politik Melayu Islam itu. Hal ini berlaku kerana kesalah fahaman dan kekaburan tafssiran tentang beberapa istilah politik yang menyentuh perjuangan politik Islam pada hari ini. 

Kekeliruan mengenai istilah universal tentang sekularisme dan aliran kebangsaan, terutamanya yang menyentuh akidah ummah dengan lebel kafir mengkafir, murtad dan pencemaran akidah umpamanya telah menjadi duri di dalam daging di antara para pengikut dua buah parti politik itu. Malah hal ini tidak pernah diberikan penyelesaian melalui dialog yang sihat dan ikhlas, sebaliknya menjadi senjata perjuangan sempit untuk mendapatkan keuntungan politik, taksub kepartian yang melampau dan jalan pintas untuk mendapatkan sokongan umum.

Sungguh pun muzakarah di antara PAS dan UMNO tidak semestinya untuk mewujudkan penyatuan di antara kedua buah parti politik itu, namun untuk mendapatkan persefahaman dalam menuju matlamat kesatuan umat dan kesatuan pemikiran serta agenda perjuangan umat Islam secara bersama juga, haruslah disertai dengan falsafah peerjuangan politik Islam yang sihat, sikap dan pendirian yang ikhlas dan jujur, malah kesefahaman yang menyeluruh tentang falasfah perjuangan Islam yang berasaskan kefahaman yang jelas bagi akidah, syariah dan akhlak Islam yang sebenarnya oleh kedua-dua para pemimpin parti itu.

Tindakan menjatuhkan hukuman dan mengeluarkan fatwa tentang kemurnian akidah sesama umat Islam atas dasar kepartian haruslah diselesaikan dengan segera untuk menjernihkan keadaan dan suasana perhubungan keagamaan diantara para pemeluk Islam di negara kita ini. Pentafsiran yang berdasarkan politik kepartian dalam isu akidah dan keimanan umat haruslah dielakkan, kerana akidah dan keimanan umat Islam haruslah hanya berdasarkan prinsip ajaran Islam yang fundemental dari nas dan ajaran Islam, bukan berdasarkan ideologi politik yang dianutinya sekiranya ideologi politik itu tidak bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenarnya.

Sekiranya hal ini dapat diselesaikan pada peringkat awal ini, maka langkah seterusnya ke arah kesatuan pemikiran dan dan ikatan kemesraan serta saling pengertian yang lebih luas tentang kerjasama bagi menyatukan ummah ini akan dapat dijalankan dalam jangka pendek dan panjangnya. 

Dalam senario perselisihan dan kesalah fahaman di antara kedua buah parti politik itu, dan keengganan para pemimpinnya menerima dan memberi dengan ikhlas dan jujur, maka muzakarah ini mungkin akan hanya berakhir dengan kegagalan semata-mata.

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....