KENAIKAN HARGA BARANG BAH 2

GAMBARAN MASYARAKAT POLARISASI


Memang agak sukar bagi orang yang mencuba untuk mengambil jalur pertengahan dalam sebuah masyarakat yang bersifat polarisasi, iaitu masyarakat "hitam-putih" tidak ada warna lain, masyarakat dua ekstrem, tidak ada pertengahan, wasatiyyah. Orang yang cuba mengambil jalan pertengahan ini akan dilebalkan dengan lebal yang negatif.

Polarisasi berlaku dalam kaum, agama, tradisi, budaya. Dan negara kita mengalami polarisasi politik yang amat serius. Mentaliti polarisasi tidak selari dengan hikmah dan adab, membangun dan bertamadun, tetapi mentaliti stereo type, tipikal, menuju sehala tanpa kompromi. 

  Dalam isu kenaikan harga barang, ramai juga yang cuba mengambil sikap menyesuaikan diri dengan kenaikan itu, kompromi dengan perbelanjaan yang mungkin menjejaskan bajet biasa dengan langkah berjimat cermat dan berhemah, mengambil sikap positif bahawa harga barang dan perkhidmatan akan berubah dan meningkat dari dekad yang lalu, atau lima enam tahun dulu. 

Menjimat letrik terdapat banyak caranya, menjimat minyak kereta mempunyai kaedahnya terutamanya dengan cara seseeorang itu memandu kenderaannya, demikian juga menjimatkan kos barangan lain.

Pernah berlaku dibeberapa buah negara Eeropah, ketika harga minyak meningkat, maka had laju di jalan raya telah direndahkan kadarnya, dari 110 km sejam, menjadi 100 km sejam sahaja. Kereta yang dipandu perlahan akan menjimatkan penggunaan minyak.

Peratusan rakyat Malaysia yang berada di bawah paras kemiskinan pada umumnya tidak setara dengan negara-negara membangun lainnya. Nelayan, atau petani, pemandu teksi, pekerja kilang, pekerja keselamatan, kedai runcit, penjual goreng pisang, nasi lemak dan sebagainya, masih mendapat pendapatan yang mencukupi bagi orang biasa. Menambah pendapatan dan rezeki seharian nampaknya tidak menjadi kesulitan yang besar di negara kita ini.

Pesara Kerajaan atau swasta, pekerja kilang, atau restoran, masih dapat bertahan. Kalau tidak bagaimanakah para pekerja asing dalam sektor ini dapat mengirimkan wang jutaan ringgit ke negara asal mereka setiap bulan? Dan kenapakah masih terdapat jutaan lagi pekerja asing yang berebut-rebut datang ke negara ini untuk bekerja?

Seorang pengirim email menyatakan bahawa dia masih mahu mengambil jalan tengah dalam menghadapi kenaikan harga ini, iaitu mengambil sikap positif sebagai warga negara yang bertanggang jawab, mencari yang positif, bukan memainkan sentimen negatif, kerana jika demikianlah sikapnya, dia akan terus merasa tertekan, dan perasaan ini boleh menjejaskan kesihatan mentalnya.

Dalam negara ini dia masih mempunyai banyak jalan lain untuk menambahkan pendapatannya, cuma mahu atau tidak mahu sahaja.

Seorang yang lain pula menyatakan bahawa dia sering memikirkan tentang Kerajaan semasa yang memerintah, walau apa-apa parti politik sekali pun. Sebab itu dia menyokong langkah kerajaan negeri Selangor yang menaikkan elaun ahli-ahli DUN, dan dalam masa yang sama menyokong juga langkah Kerajaan pusat sekiranya ingin menaikkan elaun ahli Parlimennya, kerana atas nama Kerajaan, semua wakil tidak kira dari parti politik mana sekali pun, mereka akan mendapat hak yang sama. 

Dia merasakan amat tidak adil sekiranya semua penyokong Kerajaan itu akan dianggap sebagai pengampu parti pemerintah, kerana dalam masyarakat yang terbuka, rakyat haruslah cuba membezakan diantara Kerajaan dengan parti politik yang memerintah. Kerajaan berkhidmat untuk semua rakyat tanpa mengira parti dan ideologi politik mereka. Produk dan perkhidmatan yang dilaksanakan oleh Kerajaan adalah untuk semua rakyat.

Namun dalam konteks ini Kerajaan haruslah memantau dan mengambil tindakan drastik kepada para pegawai dan kaki tangannya, terutamanya ahli parti politik pemerintah, yang menyalah guna kuasa, melakukan rasuah, melakukan ketirisan, memonopoli kekayaan negara, dan sebagainya, yang ada kalanya dilindungi oleh pihak-pihak yang tertentu dalam Kerajaan dan parti pemerintah.

Satu komentar dari luar negara menyatakan bahawa di Turki, harga minyak amat tinggi. Tetapi orang di sana sering melihat kepada kemampuan sendiri untuk membeli kereta. Mereka tidak seharusnya menanggung hutang yang banyak kerana membeli kereta dan membayar ansuran bulanannya yang tinggi sehingga belasan tahun. 

Kos sara hidup di sana tidaklah murah. Sistem pengangkutan awam di sana juga masih dalam keadaan yang sederhana, tidak seperti negara maju. 

Bagi kita di sini nampaknya para pegawai muda telah memiliki kereta, dan semuanya berhutang. Saya melihat di Putrajaya, kenderaan awam seperti bas sentiasa kosong. Jalan-jalannya dipenuhi dengan kenderaan persendirian, sedangkan pengangkutan awam disediakan. Kenderaan persendirian yang banyak ini juga, sebahagian besarnya kembali ke rumah-rumah di sekitar Putrajaya juga.

Di Vietnam juga harga minyaknya mahal, tetapi orang sana tidak membeli kereta, kerana di sana orang tidak dapat membeli kenderaan secara hutang. Mereka hanya membeli motosikal. Motosikalnya lebih banyak dari jumlah penduduk.

Tabiat orang kita ialah berbelanja lebih dari kemampuan, lalu terpaksa berhutang, malah berhutang kepada ceti haram, along dan sebagainya. Semuanya ini menjebak mereka menjadi muflis, atau terperangkap dengan seksa yang dikenakan oleh si along. Dalam masa yang sama kita mengetahui isi kandungan Al-Quran dan Hadis yang mengajar kita berjimat cermat dan berhikmah. 

Sebab itula kita telah mempunyai indeks pendapatan untuk mengukur kadar kemiskinan, dan kadar kemampuan untuk dikenakan cukai pendapatan.

Orang-orang yang membayar cukai pendapatan mengetahui bagaimanakah semakin tingginya pendapatan mereka maka semakin banyak cukai pendapatan yang seharusnya mereka bayar. Dan orang-orang yang berpendapatan rendah, tidak perlu membayar cukai pendapatan. 

Kita haruslah mendidik generasi baru bagaimana kah menyesuaikan kehidupan dalam menghadapi pembangunan ekonomi yang amat kompetitif, dan kenaikan harga barang yang tidak akan berhenti ditahap lama sahaja.

Hidup mestilah secara moderat. Islam sendiri mengajar kita berjimat cermat, tetapi tidak sehingga sampai ke tahap bakhil. Malah Islam juga mengajar kita mencari harta tetapi tidaklah sehingga membazir. Namun yang mampu hendaklah membantu yang kekurangan dan miskin.

Saya menyeru agar pihak Pusat Punegutan Zakat yang semakin maju sekarang ini haruslah segera menyusun satu sistem agihan zakat yang lebeh menyeluruh dan saksama, supaya sistem yang difardukan Allah untuk membantu ekonomi ummah ini benar-benar dapat sipergunakan bagi menghapuskan kemiskinan dalam masyarakat Islam.

Orang-orang yang membayar zakat sendiri sering bertanya, kemanakah wang mereka telah diagehkan dan siapakan yang menerimanya, malah apakah satu sistem yang telah dilakukan untuk membangun ekonomi masyarakat Islam di kampung dan pendalaman bagi meningkatkan kehidupan mereka.

Semua orang mempunyai peranan untuk membetulkan keadaan. Jangan hanya sering menuding jari kepada pihak lain. Masyarakt polarisasi hanya mampu membentuk masyarakat yang resah gelisah, tidap punya keritikan diri sendiri, dan tidak ikhlas terhadap kekurangan diri sendiri.

Pemangku Raja Perak dalam ucapan Baginda pada 20 Disember 2013 ketika merasmikan Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak, bertitah:

"Bajet adalah instrumen disiplin menentukan parameter perbelanjaan yang wajib disandarkan kepada pendapatan...........Semua organisasi , termasuk keluarga harus mengamalkan bajet seimbang antara hasil dengan perbelanjaan, supaya tidak menanggung depisit sehingga membuat pinjaman dan menanggung beban hutang..."

Baginda tentu maklum kepada siapakah yang ditujukan titahnya.  Malah dalam hal ini tidaklah seharusnya secara sinis kita menuding jari kepada Baginda dengan mengatakan bahawa Baginda sememangnya mewah, maka bolehlah bertitah demikian. Ini tidak kena mengena dengan peribadi dan diri individu.

Saya sendiri tahu kepada siapa yang saya tujukan tulisan saya. Soal kepincangan Kerajaan, perbuatan peribadi orang politik memakan rasuah, dan mengurbankan wang rakyat, berlaku pemborosan, ketirisan di sana sini, tidak saya bela, kerana banyak forum lain yang seharusnya digunakan, bukan oleh saya sebagai seorang biasa dalam masyarakat, tetapi kita punya Parlimen, DUN, forum politik, baik pun bagi pihak pemerintah atau pembangkang, kerana isu salah laku perbelanjaana dan menyalah gunakan kuasa serta wang rakyat, bukan hanya dilakukan oleh segolongan orang politik dalam parti pemerintah atau pembangkang sahaja, kerana manusia yang melakukan kesilapan dan keghairahan kebendaan tidak hanya keerana lebal parti politik sahaja, atau kerajaan serta pembangkang, tetapi kerana mereka adalah manusia yang serba lemah.

Kita haruslah memahami tren polarisasi dalam masyakat dan negara kita, termasuk di dalam negara-negara Islam sendiri, yang penuh dengan pancaruba pada masa kini.

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....