MEREALISASIKAN MUZAKARAH


MAMPUKAH MUZAKARAH MENJADI KENYATAAN?

Saya telah agak lama membicarakan tentang dialog, perbincangan, wacana, diskusi dan sebagainya, yang merupakan jalan terbaik bagi menyelesaikan sebarang pertentangan fikiran, konflik diantara beberapa pihak, dan penyelesaian bagi sebarang pertikaian.

Akhir-akhir ini barulah timbul istilah Arab yang dipinjamkan ke dalam bahasa Melayu bagi pengertian tersebut, iaitu istilah "muzakarah".

Istilah ini timbul, terutamanya ketika dibicarakan tentang keperluan pihak parti Melayu terbesar di negara ini, iaitu UMNO dan PAS, mencari jalan bagi menyelesaikan pertikaian mereka dengan bermuzakarah.

Muzakarah dilihat dari sudut nahu dan bentuk kalimat Arab membawa konotasi satu perbincangan yang melibatkan dua belah pihak, atau lebih. 

Pihak-pihak yang terlibat di dalam muzakarah mestilah mengambil sikap terbuka, berlapang dada dan ikhlas untuk mencari penyelesaian yang bersesuain dengan dasar dan prinsip yang hendak ditegakkan, iaitu mendapatkan kesepaduan dan kesatuan pemikiran serta persefahaman di antara dua buah parti tersebut.

Setiap peserta yang mengambil bahagioan dalam muzakarah hendaklah bersedia mendengar pandangan pihak lain tanpa prasangka, malah bersetuju menerima pandangan pihak lain yang benar-benar mempunyai ciri-ciri penyelesaian bagi sesuatu konflik yang berbangkit.

Orang yang pergi menyertai muzakarah hendaklah tidaklah seharusnya mempunyai pandangan yang telah dibentuk di dalam kepala dan hatinya bahawa dia seorang sahaja yang betul, orang lain semuanya tidak betul.

Moral dan anutan ajaran agama yang sahih pada prinsipnya mengikut pegangan agama, Islam umpamanya, tidaklah seharusnya di pertikaikan lagi.

Pendeknya banyak perkara yang seharusnya diambil kira dan disepakati dalam muzakarah sekiranya masing-masing berazam dan berniat jujur untuk menyelesaikan konflik, terutamanya konflik yang besar, yang mungkin membawa kepada berlakunya kerisis yang membahayakan nyawa, maruah, agama, keturunan dan harta, serta kepentingan lainnya, yang seharusnya dipertahankan, iaitu yang menjadi dasar agama kita dari prinsip "maqasid-al syariah".

Saya percaya banyak orang yang memahami ciri-ciri muzakarah dan adab-adab menyelesaikan konflik, seperti dialog dan muzakarah ini.Tetapi banyak pula yang tidak sanggup menerima penyelesaian yang baik kerana sebab-sebab yang tertentu, oleh itu pihak-pihak yang ikhlas dan berhikmah sahaja yang seharusnya berusaha mengadakan muzakarah ini.

Saya telah agak banyak berbicara tentang hal ini di dalam program Soal Jawab Tv3 baru-baru ini. Malah saya telah bercakap berjam-jam lamanya ketika memberi ulasan tentang Perhimpunan Agong UMNO baru-baru ini di dalam program pagi Tv Al Hijrah pada hari Perhimpunan itu sendiri.

Malah di dalam satu kunjungan hormat saya dan rakan-rakan dari Perkim Kebangsaan kepada YAB Menteri Besar Kelantan pada hari Ahad yang lalu juga, ada disentuh tentang pertemuan beliau dengan Perdana Menteri, dan keazaman untuk menyelesaikan pertikaian di antara parti masing-masing. Beliau kelihatan mempunyai azam yang tinggi untuk mencari penyelesaian.

Saya tidak bermaksud bahawa dengan satu dua program tv dan pertemuan itu maka konflik besar yang timbul di kalangan umat Melayu Islam di negara kita ini telah dapat diselesaikan.

Malah saya yakin bahawa banyak isu yang perlu diperkata dan diselesaikan. Banyak kajian yang seharusnya dilakukan untuk mendapatkan fakta dan data perselisihan dan pertikaian di dalam masyarakat umat Islam dan bangsa Melayu yang berpecah kerana ideologi politik mereka. Banyak sekali analisis yang perlu dilakukan untuk mencari punca dan masalah yang telah membawa kepada perselisihan di dalam masyarakat Melayu Islam ini akibat dari perbezaan politik kepartian. Penyelesaian masalah hanya dapat dilakukan, sekiranya semua pihak menyedari akan kehadiran masalah itu dan mengenal pasti segala masalah itu dengan sebaik-baiknya.

Banyak lagi isu lama yang menjadi duri di dalam daging masyarakat orang Melayu yang seharusnya di bongkar dan diselesaikan, terutamanya yang mempunyai hubungan dengan andaian pencemaran akidah dan keimanan umat Islam yang dikatakan berpunca dari keanggotaan parti politik yang tertentu, sambil mencari kaedah dan jalan yang terbaik bagaimanakah pertikaian dan kerisis yang agak lama berakar umbi ini seharusnya diselesaikan.

Semuanya ini memerlukan ilmu dan hikmah, kerana para Rasul dan Nabi yang diutuskan oleh Allah SWT pun telah dibekalkan oleh Allah dengan ilmu dan hikmah ini, iaitu dari segi personaliti dan peribadi yang baik, moral dan nilai akhlak yang tinggi, hikmah dan kebijaksanaan yang besar.

Maka sementara menunggu untuk kita merialisasikan tujuan yang mulia ini, pertama sekali masyarakat Islam dan Melayu negara kita hendaklah membersihkan segala semak samun yang bersarang di dalam kepala dan pemikiran orang kita sendiri. Menghapuskan segala pemcemaran dan persepsi buruk di dalam masyarakat umat Melayu dan Islam sebelum menuding jari kepada pihak lain, dan yang paling penting sekali ialah memahami objektif syariah dan world view Islam yang sebenarnya yang seharusnya menjadi panduan untuk kita bermuzakarah.

Tanpa kaedah berhikmah dan berilmu, berakhlak dan bermoral, dan bermatlamatkan kebajikan dan tamadun kita sendiri, maka mungkin tajuk muzakarah ini selama-lamanya hanya akan lahir sebagai satu lagu lama yang hanya sedap dinyanyi-nyanyikan sahaja...

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....