MEMPERKASAKAN PENDIDIKAN



DI MANAKAH SALAHNYA SISTEM PENDIDIKAN ISLAM KITA?


Pendidikan merangkumi pendidikan formal dan tidak formal. Pendidikan Islam juga termasuk pendidikan tidak formal, secara langsung atau tidak langsung, yang diberikan oleh para ibu bapa, ahli keluarga, pemimpin masyarakat, anggota masyarakat, pemimpin politik, media cetak dan letronik, NGO's dan sebagainya. Pendidikan agama formal dijalankan di institusi pendidikan rasmi, sekolah, kolej, universiti dan pusat-pusat pendidikan Kerajaan dan swasta lainnya, termasuk sekolah agama, tahfiz dan lain-lain....

Persoalannya: adakah pendidikan agama di semua sektor ini, formal dan tidak formal, pusat dan institusi pendidikan agama Kerajaan dan swasta, telah berjaya menjalankan tugas mereka yang berkesan dalam melahir dan membentuk "produk"nya, khususnya generasi muda dan baru, menjadi anggota masyarakat dan warga negara yang baik dan sempurna?

Secara mudahnya, tanpa kajian dan penyelidikan akademik, kita dapat memerhatikan hal ini dalam masyarakat kita sendiri, dari segi baik buruknya, terutamanya dari segi moral dan akhlak generasi baru sekarang ini, untuk cuba menilai dan mengukur sejauh manakah keberkesanan pendidikan Islam itu terhadap pembentukan moral dan cara hidup serta jati diri dan personaliti generasi muda Muslim itu dalam kehidupannya.

Secara kasarnya, dan secara mudah saja, kita mungkin dapat mengambil kesimpulan bahawa dari perilaku, cara hidup, etika dan akhlak, serta gambaran umum anak muda kita, kalau tidak pun secara menyeluruh, tetapi segelintir dari nya yang merosakkan imej generasi Melayu Islam di negara kita pada hari ini, maka nampaknya pendidikan agama yang dijalankan selama ini di dalam pendidikan formal dan tidak formal, kelihatan  tidak memberikan kesan yang positif kepada generasi baru kita dalam kehidupan mereka, walau pun pendidikan Islam telah diwajibkan selama ini.

Yang nampak dengan mata kasarnya, mungkin terdapat peningkatan yang baik dalam penghayatan Islam di negara kita di kalangan generasi baru sekarang ini dari segi pakaian, peningkatan ilmu yang agak baik dalam ibadat, bacaan doa makan dan musafir, bacaan Al-Quran, malah menghafal kitab suci itu sendiri, yang nampaknya diamalkan dngan baik dengan menutup aurat, ketika menghadapi hidangan makan, dan lain-lain, tetapi dalam bidang penghayatan moral dan akhlak, kelakuan sosial umumnya, kita dapat melihat keruntuhannya dengan ketara, iaitu dari segi keruntuhan moral dan penyakit sosial yang menjalar dan melibatkan generasi muda kita dengan agak serius sekali pada hari ini.

Akhbar dan media umumnya memberitakan tentang keruntuhan akhlak dan moral generasi muda kita setiap hari pada hari ini, iaitu kerisis dan kepincangannya semakin meningkat, kejadian jenayah, kesalahan undang-undang, malah perlanggaran hukum agama yang serius, semuanya sedang berlaku pada hari ini.

Persoalannya ialah kenapakah pendidikan Islam itu nampaknya tidak meninggalkan kesannya yang baik dari sudut ini, iaitu  dari sudut peningkatan pemahaman dan penghayatan agama dari segi akhlak, moral, perangai dan etika generasi muda dan dewasa kita pada masa kini?

Kita mengeluarkan generasi muda Islam, pada umumnya,  yang tidak berdisiplin, tidak mengamalkan cara hidup yang baik dalam kehidupan seharian, tidak peka dengan nilai-nilai murni kehidupan bermasyarakat dan berkeluarga, tidak dapat sepenuhnya menghormati ajaran akhlak Islam, tidak bersemangat patriotik, tidak bersemangat untuk bekerja keras dan berikhtiar bersungguh-sungguh dalam semua aspek kehidupan mereka seperti yang dituntut dalam agama, tidak segan silu berbohong, menipu, melanggar undang-undang, tidak menghormati dan bersopan dengan orang lain, dan.....dan..... seribu satu kepincangan jati diri dan akhlak Islamiah secara menyeluruh.

Ketika saya di UKM, menyandang Kursi Syeikh Abdullah Fahim (2008 - 2012) satu penyelidikan ilmiah tentang keberkesanan pendidikan Islam ini telah kami jalankan, dan penemuannya agak banyak dan berfaedah yang saya percaya telah atau akan disampaikan kepada Kementerian Pendidikan kita.

Sementara Kerajaan sendiri mengambil tindakan melihat dan mengkaji semula sistem pendidikan Islam kita secara menyeluruh, maka para pengkaji dan pemimpin masyarakat serta setiap individu Islam umumnya haruslah memberikan sedikit pemikiran tentang tajuk ini, dan memikirkan apakah peranan masing-masing yang seharusnya dimainkan dalam bidang ini sebagai individu, ibu bapa, anggota masyarakat, ahli politik dan pendidik umumnya bagi menilai dan sentiasa meperbaiki satu fenomena yang agak pincang  dan serius ini. 

Kerajaan sendiri haruslah mengambil langkah yang drastik dalam hal ini, iaitu meningkatkan sistem dan karikulum pendidikan Islam, latihan guru, penyusunan buku teks dan sebagainya yang sesuai dengan konsep Islam itu sendiri sebagai satu sistem hidup yang menyeluruh.

Pendidikan Islam haruslah merangkumi komponen Islam itu sendiri dalam Syariah, Akidah dan Akhlaknya. Pendidikan haruslah merangkumi teori dan praktikal, teori dan amali, pemahaman dan penghayatan...dan semuanya ini tidak akan mungkin tercapai sekiranya tidak dilakukan perubahan yang menyeluruh, meliputi sistem dan tenaga manusia itu sendiri...


Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....