WEEK END DI MAKKAH
MAKKAH SELEPAS ISTANBUL
Saya membuat catatan ini di lapangan terbang Jeddah sementara menunggu keberangkatan pesawat MAS jam 10 malam ini waktu Saudi (3 pagi 3 Februari waktu kita di Malaysia)
Catatan ini bolehlah saya namakan sebagai catatan hujung minggu di Saudi, kerana semasa saya bertugas di ibu kota Saudi, Riyadh, cuti mingguannya ialah Khamis dan Jumaat. Tetapi kini cuti mingguan itu telah diubah kepada hari Jumaat dan Sabtu. Inilah cuti hujung minggu Saudi.
Catatan saya ialah mengenai keluar masuk ke Saudi. Hendak masuk dan keluar dari Saudi ini, pemeriksaan keselamatan dan imegresen nampaknya amat ketat. Ketika saya sampai ke Jeddah lima hari yang lalu, saya beratur dengan sabar untuk pemeriksaan imegresen dan kastam selama hampir dua jam. Dan untuk keluar dari Jeddah masa yang diambil lebih pendek, kira-kira 45 minit sahaja.
Kerajaan Saudi tentulah mengambil langkah ketat ini kerana dunia semuanya, termasuk dunia Islam, sering menjadi sasaran keganasan, intipan, dan penyeludupan berbagai barang larangan. Oleh itu mereka nampaknya mengambil langkah seperti Amerika Syarikat, kerana ramai anak muda yang diambil gambarnya di kaunter imegresen, termasuk cap jari sepuluh.
Namun begitu kerana di Saudi terletaknya masjid suci Makkah dan Madinah, iaitu masjidul-haram dan masjid al-nabawi, maka orang yang beratur ramai dalam masa yang panjang itu kelihatan sabar dan berdiam diri. Mereka tentu tabah dan penuh sabar menghadapi situasi ini....tak kanlah Kerajaan Saudi nak menyusahkan umat Muslimin yang nak masuk menziarahi dua buah masjid suci, dan beribadat dengan penuh khusyuk dan tawadduk di dua buah tempat suci itu...? Namun begitu, saya fikir, jauh di dalam hati mereka mungkin ramai yang akan berkata "hai cepatlah hendaknya urusan kami ini ditakdirkan oleh Allah supaya segera kami bergerak menuju ke distinasi kami yang suci ini....!!"
Makkah dibanjiri ribuah umat Islam, tak ubah seperti dalam bulan Haji. Masjid pula sedang diluaskan, banyak ruang sembahyang yang telah ditutup, pintu masjid dibuka untuk waktu yang terhad, dan ditambah pula dengan perbuatan tolak menolak para jemaah berbagai kelakuan dan warna kulit, untuk masing-masing mara ke hadapan, berebut ruang sembahyang, semuanya menjadikan ramai yang tertekan, dan keliru dengan sikap umat Islam sendiri yang tidak sabar, kasar dan kurang beretika.
Sekurang-kurangnya dalam masa yang singkat ini pun, saya telah dapat merenung sendiri keadaan masyarakat umat Islam di Turki dan Makkah. Saya sebagai seorang manusia biasa dan seorang Islam dari Malaysia, dapat melihat perbezaan dua buah masyarakat umat Islam ini, yang tentunya menggambarkan tahap hikmah dan ilmu masing-masing, serta perbezaan sikap. budaya dan disiplin mereka dalam dunia moden ini...
Bagaimana pun kesimpulan sendiri tentulah tidak semestinya selalu betul dan tepat. Namun saya rasa ramai orang yang dapat membuat kesimpulan sendiri...menurut tanggapan dan pemikiran sendiri....Saudi dan Turki pula adalah merupakan dua buah negara orang Islam, diantara puluhan negara Islam yang lain...Semuanya mempunyai tabiat dan tradisi sendiri, yang pada pandangan saya banyak perkara yang memerlukan perubahan dan rebolosi di dalam dunia moden yang telah banyak berubah ini...
Comments
Post a Comment