SEMPENA BULAN MAULIDURRASUL
MAKKAH SESAK
Makkah nampaknya sesak sepanjang masa. Namun ketika saya berada di sana, kesesakannya luar biasa, sama saja seperti musim haji. Terdapat para jemaah yang mengatakan bahawa ramai orang datang mengerjakan ibadat umrah ketika ini ialah kerana udara agak baik, tidak panas, dan sempena pula dengan kehadiran bulan Rabi'ul Awwal, bulan keputraan Rasulullah SAW.
Kesesakan menjadi berlipat ganda pada hari Khamis, malam Jumaat dan berlanjutan sehingga ke pagi Ahad, kerana seperti yang saya nyatakan terdahulu, bahawa Saudi telah menukar hari kelepasan mingguan kepada hari Jumaat dan Sabtu, tidak lagi Khamis dan Jumaat seperti tahun lepas.
Biasanya wwarga negara Saudi akan mengambil kesempatan dari cuti mingguan ini untuk mengerjakan umrah dan beribadat di Makkah, termasuk jemaah dari jauh seperti Dammam, Riyadh, dan tempat-tempat lain lagi.
Saya lihat ramai sekali para jemaah dari Iran, Turki, India/Bangladesh, dan rakyat Arab sendiri, termasuk dari negara-negara yang dilanda kekacauan dan peperangan saudara seperti Syria, Mesir dan lain-lainnya.
Semuanya kelihatan tenang dan aman ketika berada di Makkah, bersembahyang, bertawaf, sa'i, membaca Al-Quran, atau duduk- beriktikaf di dalam Masjidul-Haram.
Ada beberapa orang dari Mesir dan Syria yang sempat saya tegur dan bertanyakan keadaan di negara mereka. Mereka menjawab semuanya baik ! Alhamdulillah!.
Kehaddiran ramai para muslimin dan muslimat ke Makkah, menjadi begitu sersak, kerana bangunan masjid, kawasan di sekitarnya, dan seluruh kawasan berdekatan masjid, nampaknya sedang mengalami proses pembangunan dan perluasan, bangunan lama yang diruntuhkan akan diganti baru, jalan yang sempit akan dibesarkan, dan terdapat juga projek kereta apringan yang sedang dirancangkan lagi.
Namun saya tertarik juga dengan pandangan para jemaah yang mengatakan bahawa mereka datang ke Makkah ialah kerana hendak menyampaikan ucapanan salawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW sempena kedatangan bulan Rabi'ul Awwal. Oleh itu mereka tahan dan sabar bersesak-sesak kerana mereka datang tepat pada masanya.
Oleh itu nampaknya orang Islam ini sememangnya akan melakukan ibadat yang lebih sempena dengan hari-hari yang tertentu dan musim yang tertentu. Kita di Malaysia pun melakukan demikian. Baca Yasin dan Tahlil pada malam Jumaat, membuat peerayaan Maulisurrasul pada 12 Rabi'ul Awwal, dan sebagainya, iaitu mengikut masa, tetapi bukanlah maknanya pada masa yang lain, kita tidak melakukan ibadat.
Nampaknya hal ini bolehlah kita teruskan, tanpa menghiraukan apa-apa yang dikatakan oleh orang lain, terutamanya yang sering mengeluarkan fatwa "bid'ah" dan sebagainya.
Comments
Post a Comment