PENGEMIS DARI SYRIA


AKIBAT PEPERANGAN DUNIA ISLAM


Kita, sebagai orang awam dari negara yang jauh dari negara bergolak di Asia Barat, tidak mengetahui politik sebenarnya yang menyebabkan kekacauan dan peperangan saudara yang berlaku di dunia Islam di rantau itu.

Kita hanya dapat menonton segala peristiwa yang berlaku. Askar dan orang awam membawa senjata canggih, menembak dan berlari mencari tempat perlindungan sambil melepaskan tembakan, malah bergegas di celah-celah mayat yang bergelimpangan, mencari musuh dan lawan untuk dimusnahkan.

Di satu segi, kereta dan lori yang sarat dengan bahan letupan, tiba-tiba meletup dan terbakar, memusnahkan mangsa dan bangunan di sekeliling dengan hebatnya. Kadang-kadang di tempat kediaman, pasar, kedai, restoran, malah sekolah dan tempat pendidikan, atau lebih hebat lagi di masjid.

Bangunan keseluruhannya di dalam satu bandar kelihatan lusuh di makan peluru dan roket, hampir sujud menyembah bumi, tanpa penghuni, akhirnya musnah, runtuh seperti bangunan lama yang kelihatan seperti bangunan peninggalan zaman kuno.

Bandar dan perkampungan kelihatan seperti padang jarak padang tekukur. Ditinggalkan orang, usang, berdebu, berasap dan amat menakutkan.

Kalau kita menonton berita TV, terutamanya tv yang dikuasai dunia antarabangsa Barat, maka kita akan mendengar pekikan Allahu Akbar ketika bangunan yang dibedil truntuh ke bumi, menjadi debu dan asap, dan satu demi satu bangunan itu runtuh, musnah, maka sekian kalilah kedengaran pekikan Allahu Akbar, seolah-olah merestui kemusnahan rumah dan bangunan, yang pada satu ketika  yang lalu menjadi tempat tinggal atau tempat perniagaan penduduknya yang tentunya agak senang dengan kebendaannya, dan tentunya mempunyai kenderaan yang baik, berpakaian kemas, dan berhati riang.

Rumah kediaman, gudang perniagaan, sekolah dan kolej serta universiti, mungkin semuanya hampir musnah dan ranap, tidak mungkin berfungsi lagi. Habis segala-segalanya.

Hal inilah yang tidak kita fahami dengan sebaik-baiknya. Siapakah yang memerangi siapa, siapakah yang menentang siapa, Kerajaan dan Presiden yang memulakan angkara atau rakyat umum, kumpulan pemberontak, penentang, orang luar atau orang dalam, pengacau atau pengganas, maka kita hanya berteka teki, tidak mendapat jawapan yang sebaik-baiknya, apa lagi mencari jawapan dan penyelesaiannya.

Ketika saya di Istanbul untuk bertemu dengan para intelek di sana, saya di bawa berjalan ke pusat bandar, dan di sana sini kelihatan beberapa keluarga berpakaian Arab, bersama-sama dengan suami atau isteri dan kanak-kanak, mereka katakan inilah pelarian perang dari Syria yang sedang meminta bantuan orang yang lalu lalang.

Namun bila saya katakan bahawa saya ingin memberikan sedikit sumbangan, teman-teman saya dari Turki mengatakan bahawa tidak semuanya mereka ini dari Syria, atau negara Arab yang bergolak dengan api peperangan, malah terdapat diantaranya yang menyamar seperti mangsa perang, sedangkan mereka hanya menagguk di air keroh.

Apa-apa pun yang berlaku, namun kenyataannya, negara-negara di bumi para Nabi dan Rasul itu, tetap bergolak dan bergelora, melupakan sama sekali sejarah kegemilangan dan tamadun silam yang dibangunkan oleh agama yang suci, agama Islam, dan para Nabi serta Rasul yang datang untuk menyelamatkan umat manusia dari kemusnahan dan kehancuran.

Mungkinkah akan datangnya lagi Nabi dan Rasul untuk menyelamatkan rantau dan bumi ini pada masa kini dan masa yang akan datang? Hanya Allah sahaja yang tahu, dan sememangnya tidak akan ada lagi Nabi dan Rasul yang akan diutuskan oleh Allah SWT selepas Nabi Muhammad SAW.

Oleh itu umat-umat daerah inilah sendiri yang dapat menngusahakan bagi mencapai semula kengungan masa silam dan tamadun yang telah runtuh itu.

Tetapi mungkinkah masa dan saat itu akan muncul dan menjelma kembali? Wallahu A'lam.

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....