AWASI GEJALA ASING DI NEGARA KITA
Malaysia amat bergantung kepada pekerja asing untuk bekerja di negara kita. Kita juga memerlukan pelajar asing untuk mendidik mereka dengan acuan kita yang mementingkan ilmu dan sains teknologi bagi mereka menjadi tenaga pakar yang dapat menyumbang kepada pembangunan negara mereka. Disamping itu kita juga menggalakkan pelancong asing melancong ke negara kita untuk melihat kemajuan dan keindahan negara ini, sambil menyumbang kepada pembangunan ekonomi kita.
Tetapi dalam hal ini kita sering terperangkap dalam gejala negatif. Pelajar asing sering juga menyalah gunakan visa mereka untuk melakukan kerja maksiat, pelancong asing juga mengambil kesempatan untuk melakukan kerja rompakan, mencuri dan melakukan berbagai-bagai kesalahan undang-undang kita, demikian juga dengan pekerja asing.
Kita baru-baru ini dikejutkan dengan pendedahan pihak polis bahawa terdapat orang asing yang berpakat dengan rakyat kita untuk menghidupkan kegiatan yang menentang undang-undang, iaitu menghidupkan aktiviti pertubuhan yang diharamkan oleh Kerajaan seperti Jamaah Islamiah, dan kegiatan itu bertujuan untuk menentang sistem yang ada dengan kekerasan atas nama agama.
Selama ini gerakan ekstrem seperti itu hanya telah dijalankan di negara lain, walau pun ada diantara para penggiatnya yang mendapat inspirasi dan latihan dari dalam negara kita mengikut laporan yang pernah didedahkan.
Kita tentu merasa kesal sekiranya memang betul gerakan ini sedang giat dilakukan di negara kita, kerana sejak sekian lama negara kita mencapai kemerdekaan, dan sekian lama kebangkitan Islam di negara kita berlaku dalam pembangunan ekonomi, pendidikan, politik yang aman damai dan membangun, maka tentulah perkembangan yang aman harmoni itu tidak ingin kita rosakkan begitu sahaja, terutamanya dengan gerakan keganasan dan kekacauan yang tidak pernah berlaku di dalam negara kita ini.
Kenapakah kita harus mengambil jalan keganasan untuk menegakkan ajaran agama dan membangunkan Islam di negara kita? Bukankah selama ini gerakan Islam kita sentiasa dijalankan dengan penuh sokongan rakyat dan Kerajaan sendiri? Bukankah pengajian agama kita, termasuk yang dijalankan di sekolah dan pondok, telah di bawa masuk kedalam arus perdana sistem pendidikan negara kita? Bukankah badan-badan bukan Kerajaan yang bergerak dalam bidang agama telah pun mendapat bantuan rakyat dan Kerajaan dengan aktiviti keagamaan yang berbentuk pendidikan dan ilmu, pembangunan belia dan pelajar Islam, dan bukankah gerakan politik oleh semua parti politik kini amat bebas bergerak dalam lunas-lunas demokrasi, dan masing-masing berhak bertanding di dalam pilihan raya, menjadi wakil rakyat dan sebagainya?
Inilah sebenarnya gerakan Islam yang selama ini berada di dalam negara kita, dan berjalan dengan penuh aman harmoni tanpa sebarang kegiatan yang melibatkan keganasan dan gerakan bawah tanah yang tidak banyak membantu dakwah dan pengembangan agama kita.
Oleh itu pihak polis amatlah bijak ketika membongkar hal ini dan memberI peringatan kepada kita, khususnya IPT negara kita supaya berhati-hati dengan gerakan yang bakal memusnahkan agama, bangsa dan negara kita sendiri.
Harap pihak Polis tidaklah menghiraukan tuduhan melulu yang berbau politik partisan yang melampau tentang pendedahan mereka itu, kerana Allah lebeh mengetahui akan niat dan tujuan pihak yang ingin menjaga keselamatan negara dan rakyatnya ini.
Sebagai rakyat yang cintakan perdamaian, dan ingin membangunkan kegiatan agama dengan penuh hikmah serta bijaksana, maka kita juga haruslah berhati-hati dengan gerakan yang tidak sihat itu.
Comments
Post a Comment