ISRAEL NAK TAKUT APA?

Selama-lamanya orang Islam seluruh dunia hanya dapat berdemonstrasi, membakar bendera Yahudi, menyampaikan kata-kata cacian dan maki hamun kepada Israel dan kuncu-kuncunya, kerana itulah saja yang dapat kita buat, terutamanya bagi rakyat jelata dunia Islam, bukan Kerajaan negara Islam yang tertentu.

Kerajaan Islam yang tidak terhutang budi kepada Israel, atau kuncu kuatnya Amerika Syarikat, dapat lantang bersuara mengutuk Israel kerana perbuatan jenayahnya membunuh dan mennakut-menakutkan sukarelawan berbagai bangsa dan benua di atas kapal bantuan ubat, makanan dan peralatan lain yang hendak disampaikan kepada rakyat Gaza yang selama ini tercekik oleh perbuatan Israel juga.

Israel terang-terang menceeroboh, pertama kerana kapal yang sedang menuju ke Gaza itu bukanlah membawa senjata atau askar, kedua, pencerobohan itu berlaku di peraiaran antarabangsa, ketiga melakukan pembunuhan kepada orang yang tidak melawan dan orang awam yang tidak bertujuan untuk menyerang negara Israel.

Perbuatan khianat ini dilakukan semata-mata untuk menyekat bantuan yang hendak disampaikan kepada mangsa kekejaman mereka juga, iaitu rakyat Gaza melalui misi keamanannya.

Tujuan Israel untuk menjadikan Gaza sebagai penjara besar bagi orang Arab Palestin nampaknya telah berjaya. Sempadan dengan Mesir di tutup rapat, sempadan dengan Jordan juga tertutup, dan sempadan dengan Syria juga amat kuat kawalannya, maka yang tinggal hanyalah lautan yang menjadi sempadan dengan Gaza, tetapi Israel menguasai ruang udara dan lautan Gaza, maka tinggallah Gaza menjadi penjara bagi semua penduduknya.

Negara-negara Islam/ Arab yang bersempadan dengan Palestin, sama ada telah diikat oleh Amerika Syarikat untuk turut sama-sama melindungi Israel, atau telah menjadi Kroni A.S. dalam mempertahankan takhta masing-masing, atau sama-sama saling faham memahami secara rahsia, sebab itulah banyak negara jiran Palestin dan yang sebangsa serta seagama dengannya masih tetap membisu seribu bahasa tentang pencerobohan terakhir ini.

Oleh itu apakah yang boleh kita di Malaysia, Indonesia, Pakistan dan beberapa buah negara Islam lainnya yang dapat lakukan, sedangkan jira tetangga Palestin dan Gaza sendiri tidak bersuara atau bertindak, malah mungkin tidak juga mahu membantu palestin, khususnya Gaza yang tercekik itu.

Bila negara Islam berpecah belah, Kerajaan-kerajaannya tidak sehaluan, masing-masing mengambil jalan sendiri, masing-masing gerun kepada ancaman Yahudi dan Amerika, bila ada Kerajaan Islam yang takut dipotong bantuan kewangan oleh Amerika, dan bila timbul takut dan gerun terhadap kepentingan sendiri, maka yang tinggal hanyalah rakyat umum, menjerit-jerit, mengata nista, membuat ucapan berapi-api, mengatur demonstrasi jalanan di hadapan kedutaan Israel. AS, atau PBB, dan berakhir dengan membakar bendera musuh, atau melawan dengan pasukan keselamatn, kemudian balik ke rumah tanpa hasil.

Inilah sahaja yang dapat kita lakukan sekarang. Selagi Kerajaan negara-negara Islam masing-masing membawa haluan dan matlamat sendiri kerana kepentingan individu atau negara sendiri, maka selama itulah Israel boleh membuat apa saja yang mereka mahu, termasuk membunuh sesiapa saja yang ingin membantu rakyat Palestin, terutamanya rakyat Gaza yang telah mereka penjarakan dalam penjara yang besar itu.

Musuh kita nak takut apa sekiranya kita berpecah belah? Nak takut apa sekiranya dalam dunia Islam sendiri ada kawan dan kroninya? Nak takut apa sekiranya negara Islam masih bergantung kepada wang mereka atau kuncu-kuncunya? Nak takut apa sekiranya 90% daripada negara Islam di dunia yang masih berada dalam kemiskinan, tidak punya kekuatan ekonomi, apatah lagi dalam bidang politik antarabangsa, langsung tidak disegani. Apakah yang mereka takutkan?

Bagaimana pun kita tunggu dan nantilah, moga-moga satu hari nanti, Allah akan menolong kita, menolong orang Islam, tetapi Allah hanya akan menolong kita sekiranya kita mahu menolong diri kita sendiri. Pada masa ini apakah orang Islam sanggup menolong sesama Islam? Inilah persoalannya.

Selagi persoalan ini tidak dapat dijawab dan diselesaikan maka selama itulah kita akan menadi hamba abdi kepada kuasa besar Amerika, dan anak angkatnya Israel. Kita akan terus menyalak bukit yang tidak akan runtuh itu.

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....