Friday, June 4, 2010

WAJAH-WAJAH KERISIS DENGAN REGIM ISRAEL

Alhamdulillah semua sukarelawan kita selamat di dalam misi mereka ke Gaza. Bagaimana pun malang sekali bagi sukarelawan yang gugur menghadapi kekejaman yang amat besar di dalam abad dan alaf ini. Kekejaman yang menggambarkan perilaku manusia yang tidak berperi kemanusiaan. Semoga pengorbanan mereka tidak sia-sia, malah akan mendorong dunia untuk meneruskan perjuangan mereka.

Kejadian kejam yang dilakukan oleh tentera Zionis ada hikmahnya untuk dunia membuka mata terhadap gejala tidak berperi kemanusiaan yang dilakukan oleh kerajaan Yahudi itu. Harap kejadian ini juga akan menarik perhatian individu dan Kerajaan negara-negara tertentu yang selama ini menyokong Israel, atau mengambil sikap berkecuali terhadap negara kejam itu. Perbuatan membunuh orang-orang yang tidak bersenjata, orang-orang yang hanya ingin memberi makan kepada rakyat Gaza yang kelaparan, dan memberi bantuan perubatan kepada para pesakit yang terlantar di bumi Gaza, serta memberi bantuan keperluan lainnya, tentulah merupakan perbuatan yang hanya boleh dilakukan oleh negara yang mengamalkan undang-undang rimba, dan yang tidak bertamadun sama sekali.

Harap tidak ada mana-mana pihak yang mempercayai dakwan tidak berasas pihak Zionis tentang pembohongan mereka bahawa anggota misi di dalam kapal tersebut kononnya mempunyai senjata dan menyerang mereka. Apakah askar Zionis itu berfikir bahawa sekiranya mereka menyerang orang yang tidak berdosa, menembak dan mencederakan mereka, maka mereka hanya akan berdiam diri? Mereka wajib mempertahankan diri mereka dengan apa saja yang ada di tangan mereka, dan kerana tidak punya senjatalah maka mereka mati ditembak, cedera ditembak, sedangkan tidak seorang pun askar Zionis itu yang cedera, apa lagi gugur mati.

Dunia haruslah sedar bahawa Kerajaan Yahudi itu selama ini hidup dalam penipuan, membangun dengan pembohongan, berpura-pura dan bertindak kejam kononnya kerana kekejaman orang lain. Apakah dunia akan mempercayai mereka?

Tetapi dalam masa yang sama, kita tidak merasa terperanjat sekiranya kuncu-kuncu Israel akan tetap mempertahankannya, dan terus menerus menyokongnya, walau pun kuncu-kuncu ini mengetahui dan menyedari bahawa Kerajaan Yahudi ini berbohong dan berusaha menipu dunia seluruhnya. Kuncu-kuncunya ini adalah mempunyai kepentingan sendiri, kepentingan ekonomi dan politik kotor yang selama ini diamalkannya, akan terus menerus menjadi pegangannya, walau pun mereka mengetahui bahawa Israel berbohong.

Yang tinggal pada orang-orang yang sentiasa terus menerus akan memperjuangkan nasib malang rakyat Palestin ialah tabah meneruskan usaha, walau sekecil mana sekali pun. Ketabahan dan keberaniaan Tun Dr Mahathir Mohamad seharusnya akan memberi semangat kepada dunia untuk membuka mata dan bertindak menenatang kekejaman pihak Zionis itu.

Umat Islam, terutamanya umat Arab, jiran Palestin, seharusnya sedar di manakah mereka berada dalam perjuangan ini, dan apakah sumbangan yang telah mereka lakukan terhadap pembelaan nasib rakyat Palestin. Mereka haruslah sedar bahawa kekayaan yang diberikan Allah SWT kepada sesetengah negara mereka itu dimanakah telah mereka sumbangkan untuk membela saudara-saudara seagama mereka yang ditindas ini? Mereka haruslah insaf, apakah usaha yang telah mereka lakukan selama ini untuk memberi tekanan politik kepada kroni mereka yang menjadi sekutu Israel dalam usaha memberikan keadilan kepada Palestin dan rakyatnya?

Pendeknya disamping menuding jari kepada Israel, mengeji regim itu dan mengeluarkan kata-kata kecaman terhadap perbuatan kejam Israel itu, maka Kerajaan-kerajaan negara Islam dan Arab sendiri haruslah mencerminkan muka sendiri, dimanakah salah dan silap sendiri? Apakah kita berani dan kuat, bersatu dan mempunyai tujuan yang sama? Kenapa tiba-tiba usaha membantu rakyat Gaza tiba-tiba datangnya dari orang Islam dan bukan Islam yang jauh dari bumi Palestin? Kenapakah orang lain sanggup meredah lautan yang bergelora dan menghadapi bahaya senapang Yahudi, sedangkan saudara-saudara seagama dan sebangsa yang berjiran dengan rakyat Palestin menutup sempadannya, menutup pintu yang menjadi tali hayat Palestin dari mendapatkan bekalan makanan, ubatan sdan sebagainya? Kenapa hal ini berlaku?

Inilah sebenarnya wajah-wajah kerisis yang seharusnya kita kenali dan seharusnya cuba kita betulkan dalam usaha menegakkan keadilan untuk rakyat Palestin, dan rakyat lain lagi yang tertindas oleh perbuatan kejam kuasa besar dunia, regim musuh yang menentang umat kita selama ini, keran selain dari Palestin, maka rakyat Iraq, Afghanistan dan lain-lain juga sedang menghadapi tekanan, penjajahan dan sebagainya yang mengakibatkan kebuluran, penderitaan dan berbagai-bagai kerisis kemanusiaan yang berlaku di sana. Maka Kerajaan-kerajaan Islam sendiri haruslah menyedari peranan dan tanggung jawab mereka untuk menghapuskan tekanan dan penjajahan itu, bukan mengharapkan orang lain atau kuasa lain untuk menolongnya. "Allah akan menolong hamba-Nya selama mana hamba-Nya itu menolong saudara-saudaranya".

Pageviews last month