NASIHAT TUAN GURU YANG BERGUNA

Saya gembira membaca berita dalam akhbar Utusan Malaysia pada hari Isnin 14 Jun 2010 bertajuk "Nik Aziz tegur perwakilan persenda PM" kerana sikap beliau yang amat positif tentang beberapa kelakuan tidak baik perwakilan yang entah kerana taksub atau hilang sopan telah mengeluarkan kata-kata yang berbentuk "jenaka" tetapi pedas terhadap ketua negara Perdana Menteri.

Saya percaya bahawa nasihat yang dikeluarkan itu bukanlah sahaja ditujukan kepada orang yang mencela PM sahaja, malah tentunya ditujukan juga kepada orang yang mencela sesiapa sahaja, terutamanya sesama umat Islam.

Betullah kata beliau bahawa kalau hendak berseronok-seronok mengata orang memang bolehlah dengan kata-kata yang tidak bersopan dan menyakitkan hati itu, tetapi dari segi agama, kata-kata itu tidak langsung mencerminkan peribadi Muslim yang sebenarnya, dan jauh sekali dari mengikuti sunnah Nabi Muhammad SAW.

Memang pun sekarang ini kita melihat dan mendengar kata-kata yang tidak beradab itu dihamburkan di mana-mana, termasuk di dalam perhimpunan, seminar, syarahan, dan kadang-kadang di dalam khutbah Jumaat atau di masjid sendiri.

Baru-baru ini saya sembahyang Jumaat di salah sebuah Masjid di Selangor. Selepas imam membaca Khutbah, dan sebelum billal "Iqamah" suara dari pembesar suara mengumumkan bahawa dalam rakat kedua sembahyang Jumaat nanti, kita ramai-ramai akan membaca Qunut Nazilah "untuk orang-orang yang mengeluarkan lesen judi"

Terapat sesetengah jemaah yang teersenyum mendengar pengumuman itu, mungkin kerana geli hati, atau kerana sebab-sebab lain lagi yang kita tidak dapat memahaminya. Tetapi dalam bacaan qunut itu saya dengar dari awal hingga akhirnya tidak menyebut pun fasal "judi" atau órang yang mengeluarkan lessen judi" malah doa semuanya untuk rakyat Palestin, dan para pejuang, mujahidin Islam di mana-mana saja mereka berada, dan doa supaya Allah menghancurkan kaum Yahudi dan kuncu=kuncunya"

Inilah salah satu contoh yang saya rasa terkeluar dari konteks agama dan hanya dikeluarkan dengan menggunakan bahasa yang bombastik dan yang mengelirukan maksud bacaan Qanut Nazilah itu pada pemikiran saya.

Saya sedar bahawa penggunaan bahsa kesat, penuh sensasi, fitnah dan tidak bersopan ini, seringkali diucapkan oleh para penyokong parti politik yang taksub dan fanatik, tidak kira mana-mana parti politik sahaja.

Oleh itu saya mengambil nasihat Tok Guru itu sebagai nasihat untuk semua ahli politik, Kerajaan atau pembangkang, malah untuk semua kumpulan orang Islam dan bukan Islam di mana-mana sahaja mereka berada, kerana umat Islam pada hari ini nampaknya telah mulai sedikit demi sedikit mengambil sikap yang tidak bermoral dalam pergaulan dan perhubungan dengan saudara-saudaranya seagama dan sebangsa, dan amat banyak sekali menggunakan kata-kata yang melampaui batasan adab agama sendiri.

Sering juga kita mendengar tuduhan yang bukan hanya terkeluar dari adab sopan dan budaya Islam, malah tuduhan sesama Islam yang ada kalanya menyentuh keimanan dan akidah saudaranya seagama, seperti menuduh kumpulan lawan dengan tuduhan kafir, murtad, sekular dan sebagainya. Menuduh seorang kafir atau murtad sedangkan saudara kita itu adalah seorang Muslim yang mengucap dua kalimah syahadah seperti kita, tentulah merupakan satu tuduhan yang amat berat.

Malah menuduh saudara seagama dengan kita sebagai sekular juga adalah merupakan tuduhan yang boleh menjejaskan keislamannya, kerana sekular dan sekularisme mengandungi makna pemisahan agama secara total dalam semua urusan negara dalam bidang kehidupan kita, sama ada dalam bidang ekonomi, hukum, pelajaran, keluarga dan sebagainya.

Mana mungkin kita menuduh sebuah Kerajaan umpamanya sebagai kerajaan sekular umpamannya sedangkan kerajaan itu mengamalkan banyak prinsip Islam di dalam bidang mua'amalat, pendidikan, ibadat, munakahat dan sebagainya. Sekularisme ialah satu kefahaman yang berbentuk "dunia" semata-mata, dan "membuang sebarang ajaran Allah dalam semua urusan kehidupan dunia ini", atau hanya menganggap bahawa "dunia" inilah sahaja segala-segalanya, tidak ada hari akhirat, kebangkitan semula dan balasan Allah nanti.

Oleh itu sekali lagi saya menyanjung nasihat Tuan Guru kita itu, dan saya harap semua orang Islam, bukan hanya di negara kita, malah di seluruh dunia akan mendengar nasihat itu dengan menjauhkan kata-kata yang berunsur fitnah dan celaan kepada orang lain, atau sesuatu kumpulan lain "yang bukan kumpulan kita" dan juga melemparkan tuduhan-tuduhan yang tidak berasas secara saintifik dan ilmiahnya kepada orang lain, atau kumpulan lain, terutamanya yang mempunyai hubungan dengan syari'ah dan akidah sesama kita umat Islam.

Comments

  1. Tidak dinafikan mengatakan yang buruk buruk itu dilarang oleh Allah, tetapi bagaimana pula, mereka yang membisu dengan isu judi yang dilesenkan oleh kerajaan.

    Apakah membisu itu dibenarkan oleh Allah, lebih lebih lagi pada mereka yang tahu dan mempunyai ilmu dan wajib mengamalkan ilmu yang di pelajari.

    ReplyDelete
  2. Betul. Saya telah nyatakan pandangan saya dalam bulan Mei dalam ruangan saya ini. Alhamdulillah. Bacalah.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....