ARTIKEL DALAM UTUSAN MALAYSIA 2 SEPT 2013
UNIVERSITI AL-AZHAR DI MALAYSIA:
SATU KEBANGGAAN DAN
SATU HARAPAN
Saya dengan empat orang kawan kelulusan Kolej Islam Malaya
(KIK) melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar dalam tahun 1962, iaitu
merupakan penerima biasiswa pertama Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Kami
kelulusan Sijil Tertinggi Kolej Islam
Malaya pada masa itu telah diiktiraf
oleh Al-Azhar sebagai pemegang Ijazah Pertamanya, oleh itu kami telah diterima
untuk meneruskan pengajian di dalam program Pengajian Siswazah bagi mendapatkan
ijazah Sarjana Lengkap (MA).
Kami berlima, Allah Yarham, arwah Tan Sri Abdul Hamid Othman, arwah Ustaz Ismail
Arifin dan arwah Dr Kasim Salleh, saya dan Ustaz Ahmad Awang, telah berjaya
mendapatkan ijazah Sarjana dari Al-Azhar, satu kebanggaan bagi pelajar Tanah
Melayu dan kelulusan Kolej Islam Malaya.
Maka kini nampaknya Al-Azhar itu sendiri telah datang ke
negara kita ini, sebagai kampus antarabangsanya yang pertama dan julung-julung
kali di dirikan di luar Mesir. Hal ini tentulah amat membanggakan, terutamanya
al-Azhar adalah merupakan sebuah institusi pengajian yang telah berumur lebih
dari seribu tahun dan telah membuktikan kemampuannya melahirkan jutaan graduan
dari seluruh pelusuk dunia.
Tanah Melayu sendiri banyak menerima graduan al-Azhar yang
pulang dengan penuh kewibawaan dan telah membangunkan pendidikan Islam dan ilmu
agama yang progresif, juga pejuang kemerdekaan dan kemodenan, termasuklah
pengaruh aliran pembaharuan agama yang diwarisi dari Syeikh Jamaluddin
Al-Afghani dan Syeikh Muhammad Abdul.
Maka dari sudut ini kita amatlah mengharapkan bahawa
kehadiran Al-Azhar ke negara kita akan berjaya membawa satu aliran pendidikan
dan pengajaran agama yang lebih maju dan berjaya lagi dalam mendaulatkan Islam
sebagai agama universal dan global.
Bagaimana pun harapan kita amatlah tinggi juga agar pengajian
yang dibawakan oleh Al-Azhar di negara kita ini akan juga berkembang seiring
dengan pendidikan Islam yang telah lama berkembang di negara kita mulai dari
pendidikan rendah sehingga ke peringkat tinggi, yang telah mencapai tahap
sejagatnya yang agak mantap dengan kehadiran beberapa buah institusi pengajian
tinggi Islam moden di sini.
Pendidikan ilmu wahyu yang kita warisi dari sistem pengajian
Al-Azhar telah kita kembangkan di negara kita ini dengan kesepaduan ilmu
peradaban dan tamaddunnya yang beasaskan ilmu akliah manusia, yang telah
mencorakkan pendidikan Islam moden pada masa kini dengan keserjanaan agama dan
professional manusia dalam individu seoang Muslim itu.
Konsep kesepaduan ilmu wahyu dan ilmu akli manusia ini telah
lama dilaksanakan di negara kita, iaitu telah sampai kekemuncaknya dengan
penubuhan Universiti Islam Antarabangsa di Malaysia pada tahun 1982-83 lagi,
sebagai salah satu hasil dari resolosi Kongres Pendidikan Islam Antarabangsa yang
telah di adakan di Makkah dalam tahun 1977.
Ekoran dari itu maka lahirlah beberapa buah Institut
Pengajian Tinggi lainnya di negara kita yang membawa konsep ilmu dan pendidikan
Islam yang hampir sama seperti Universiti Sains Islam, Universiti Sultan Zainal
Abidin dan sebagainya.
Oleh itu adalah diharapkan juga bahawa kesepaduan ilmu dan
konsep pendidikan Islam yang telah di dahului oleh Malaysia dalam sistem
pendidikan agama ini hendaklah diberikan perhatian oleh Al-Azhar kampus
Malaysia, agar ianya berjalan selari dengan citaa-cita dan objektif pendidikan
Islam di negara kita ini.
Umat dan manusia global pada masa kini amat memerlukan
pemahaman dan pengetahuan yang mantap dalam ilmu wahyu dan ilmu peradaban atau
tamadun Islam itu sendiri tanpa terpisah-pisah seperti aliran pendidikan Islam
tradisional. Ilmu Wahyu yang menekankan tentang bidang ritual, ibadat dan
pendidikan agama dalam kerangka kefahaman umat Islam secara tradisi itu harulah
dilengkapkan dalam perhubungannya yang kuat dengan ilmu yang melonjakkan
tamadun umat manusia ke peringkat tinggi untuk mencapai kebahagiaan dunia dan
akhirat.
Malaysia telah menjadi pusat pembangunan ilmu peradaban Islam
dalam bidang sains dan teknologi, kewangan dan perbankan, makanan dan industri
halal, serta kelahiran modal insan yang amat komited kepada nilai dan peradaban
Islam sebagai pemimpin dan pemikir Islam yang unggul, kerana pendidikan Islam
juga haruslah mampu melahirkan para pemimpin yang berkualiti dan pemikir yang
jauh pandangannya.
Malah Malaysia telah berjaya menjadi model pembangunan
masyarakat manusia yang aman damai dalam kepelbagian kaum serta agama, budaya
dan bahasa, iaitu sebagai satu hasil dari pengaruh Islam yang di bawa oleh para
sarjana Islam puluhan tahun dulu dari Mesir, Makkah dan negara-negara Islam
lainnya, yang juga diwarisi dari para sarjana dan ulamak Islam nusantara, dari
Jawa, Acheh, Patani dan Tanah Melayu sendiri. Inilah sebenarnya peradaban Islam
yang dibangunkan oleh orang Melayu dari seluruh Nusantara, di mana terdapatnya
warisan ilmu Islam di tangan umat Melayu itu sendiri.
Islam dalam kualiti dan kefahamannya yang tinggi disertai
dengan peradaban dan nilai akhlaknya menurut al-Quran dan Al-Sunnah sebenarnya
telah diwarisi dan diperkembangkan
dengan pesatnya oleh Raja dan rakyat Melayu di Nusantara ini, iaitu meengikut
acuan budaya, bahasa dan adat istiadat Melayu itu sendiri, yang masanya amat
sesuai untuk kita perkenalkan kepada dunia umumnya pada masa kini.
Maka kini, kehadiran Al-Azhar adalah merupakan satu kekuatan
dari sebuah institusi pengajian tinggi yang unggul dalam bidang ilmu Islam, dan
kekuatannya itu haruslah diperteguhkan lagi dengan sistem pendidikan Islam ala
Malaysia yang menjadi tunjang kekuatan umat dan tamadun Islam di dunia ini.
Kekuatan institusi tradisi itu haruslah diseimbangkan, malah disepadukan,
dengan kekuatan pendidikan dan kebudayaan Melayu Nusantara, yang telah pun
terkenal dengan empayar Melakanya, peranan Kesultanannya dalam Syariah dan
Qanunnya, dan keunggulan Perlembagaan negara sekarang yang telah memberikan kedudukan yang tinggi kepada
Islam.
Comments
Post a Comment