TELAH SAMPAI AJALNYA


PERGINYA TERLALU AWAL.....

 Jumaat yang ditakuti oleh orang Barat ialah Jumaat yang jatuh pada 13 haribulan. Mereka mempunyai takyul tradisi yang menakutkan tentang sesuatu yang mungkin akan berlaku pada hari Jumaat 13 haribulan {Friday the 13th}. Namun kita tidak seharusnya mempercayai khurafat dan kepercayaan karut ini.

Bagaimana pun, tanpa sebarang hubungan dengan kepercayaan karut itu, maka pada hari Jumaat 13 September yang lepas, ketika saya sedang berada di dalam satu Mesyuarat penting di Majlis Universiti Islam Malaysia yang sedang dalam perancangan untuk ditubuhkan, telefon bimbit saya yang berada dalam mood senyap, bergegar berulang-ulang kali menerima penggilan. Saya tidak mengindahkannya.

Tiba masa yang agak sesuai, saya keluar sekejap dari bilik mesyuarat, dan melihat banyak panggilan yang tidak saya menjawabnya tadi, dan semuanya datang dari Institut Profesional Baitulmal (IPB - Kg Pandan) yang saya menjadi Pengerusinya. 

Saya menjadi tergamam sekejap apa bila saya membuat panggilan ke IPB, dan berita yang saya terima ialah tentang kematian Pengarah Akademik IPB awal pagi itu, Jumaat 13 September. Dr Adnan telah meninggal? tanya saya sendirian. Dia baru saja menyertai IPB mulai bulan Mac yang lalu.

Saya meyakini akan kematiannya setelah beberapa orang lain memberitahu saya berita yang sama. Kata mereka, baru semalam, hari Khamis, dia membelanjakan kawan-kawannya makan makanan segera, dan dia sendiri telah sama-sama menjamahnya dengan berselera sekali. Tiba-tiba keghaibanya selama semalam pada malam tadi, pagi subuh ini rupa-rupanya orang yang selalunya nampak gembira dan bersemangat itu, telah pergi buat selama-selamanya tanpa menunjukkan sebarang tanda penyakit yang ketara.

Allah Yarham baru dua tiga minggu yang lalu mengunjungi saya di pejabat di Bangi untuk sesi temu ramah dalam usahanya mendapatkan bahan-bahan yang sesuai bagi sebuah buku biografi saya yang akan disusunnya. Saya memberitahunya bahawa saya sendiri telah pun menerbitkan otobiografi sendiri hasil tulisan saya ketika berkhidmat di Riyadh, Arab Saudi. Dia menjawab: tidak mengapa, kerana dia telah menerbitkan beberapa buah buku lain bagi orang-orang tertentu dalam bentuk yang sama, iaitu sebagai pandangan orang lain terhadap perjalanan hidup seseorang itu. Pandangan orang lain mungkin berbeza sedikit dari tulisan penulisnya sendiri. Saya akur dengan pandangannya, dan bersetuju dengan pemikirannya itu.

Kini ruhnya telah pergi, membawa bersama-samanya pemikiran dan catatan serta rakaman di dalam kepalanya yang dibuatnya ketika menemu ramah saya. Dia memberitahu saya, selain dari temu ramah dengan saya, dia juga akan mengunjungi abang-abang saya yang masih ada, keluarga yang lain, juga kawan-kawan rapat saya untuk mendapatkan pandangan dan pengalaman mereka tentang diri saya.

Hari Jumaat 13 September ini rupanya mencatatkan sejarah sedih bagi saya dan kawan-kawan sepejabat serta IPB umumnya. Saya keluar lebih awal dari Mesyuarat pada hari itu, dan bergegas ke masjid Sultan Mizan Putrajaya untuk sama-sama menunaikan solat jenazahnya selepas solat Jumaat. Pagi tadi, dia menghembuskan nafasnya yang terakhir di hospital Putrajaya. Kabarnya pada  awal pagi selepas tengah malam dia merasa sakit dada, dan isterinya memandu kereta membawanya ke hospital Putrajaya dari kediamannya di Presint 16. Tiba di hospital beberapa jam sahaja, dia telah meninggal, bertepatan denga firman Allah bahawa manusia ini apabila tiba ajalnya, maka ajalnya itu tidak akan terlewat atau terdahulu barang sesaat pun. Dan dia telah pergi mengikut ajal yang telah ditentukan Allah SWT.

Alhamdulillah, selesai solat Jumaat, ramai para jemaah turut menunaikan solat ke atas jenazahnya, dan berdoa ke atas ruhnya agar dirahmati Allah SWT. 

Saya turut mengiringi jenazahnya hingga  ke tanah perkuburan Islam Putrajaya, Presint 20.  Tanah perkuburan ini nampaknya besar dan tenang tenteram dengan pohon-pohon yang rimbun. Penghunninya pun nampaknya agak banyak walau pun tanah perkuburan ini agak baru dibuka.

Ramai juga kawan rakan, sahabat handai, terutamanya keluarganya, berada di tanah perkuburan, tempat terakhir bagi mereka melepaskannya pergi dari dunia ini. 

Wajah-wajah suram kelihatan semakin muram melihat tanah perkuburannya yang telah sedia dikorek, dan tanah-tanah merah berlonggokan di sisi liang, dan tanah merah inilah yang akan menimbusnya nanti, menandakan akan hilang jasadnya dari permukaan bumi.

Anak-anaknya berlima, yang berdiri kaku bersama-sama ibunya, isteri Allah Yarham, menambahkan kesedihan orang yang hadir. Air mata mereka turut meruntun dan menghamburkan air mata kebanyakan orang yang hadir di situ, terutamanya isterinya sendiri, yang tentunya masih tidak dapat menyedari akan apakah sebenarnya yang berlaku pada ketika itu. Isterinya mungkin hanya akan tersedar tentang pemergian suaminya itu setelah kembali ke rumah dan tinggal berseorangan untuk jangka masa yang sekian lama sekali.

Liang yang ditimbus tanah sedikit demi sedikit itu, akhirnya menelan jasad di dalamnya, sehingga litup permukaan makamnya, tanpa dapat dilihat lagi jasadnya. Hanya khayalan manusia sahaja yang dapat membayangkan bagaimana jasad mayat yang kaku itu kini telah ditelan bumi, bersendirian, jauh di bawah sana.

Tanah di atas peermukaan kuburnya kini menjadi rata. Tikar dihampar di atasnya untuk Imam dan para pengiringnya duduk bagi membaca talqin dan berdoa untuk keampunannya oleh Allah SWT. Suara Imam mendayu-dayu memecah kesunyian kubur membaca beberapa pesanan untuk si mati dan orang yang masih hidup. 

Kemudian, doa itu menghampiri penghujungnya, dan ketika suasana masih sepi dan terlalu sunyi, Imam mengakhiri bacaannya dengan doa, yang diaminkan oleh semua yang hadir.

Selesai acara pengkebumiaan, orang semua bergerak sedikit demi sedikit meninggalkan kawasan tanah perkuburan, kecuali anak isterinya dan keluarga terdekatnya, yang masih berada di sana, entah sampai bila, tidak dapat dipastikan.

Yang pastinya Allah Yarham Dr Adnan telah pergi. Inna Lillah Wa Inna Ilaihi Raji'un. Pergi yang agak cepat dan awal, namun itulah takdir dan suratan dari Allah yang seharusnya diterima dengan redha.

Kita semua adalah kepunyaan Allah, dan kepada-Nya jua kita semua akan kembali........

Jenazah Allah Yarham Dr A


 

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....