MEMBUANG MASA !



MEMBUANG MASA DENGAN PEMBICARAAN CHEN PENG.


Kalangan politik negara yang membicarakan isu Chen Peng selepas kematiannya, sama ada nak dibawa abunya kembali ke Malaysia atau tidak, nak dikebumikan di negara ini atau tidak, malahan manakah yang lebih baik  di antara perjuangan Chen Peng dan Henry Gurney yang mewakili golongan komunis dan penjajah British di negara kita dulu, siapakah "hero" kemerdekaan, iaitu Chen Peng yang memperjuangkan fahaman komunis, atau Polis Malaya yang menjadi tali barut penjajah, dan ...dan....hanya lebih banyak membuang masa dan tenaga, malah menimbulkan konflik sia-sia yang tidak menguntungkan sesiapa, tidak produktif dan tidak membina negara serta bangsa kini, ketika kita berada dalam kurun ke-21, alaf baru, zaman ICT, moden dan global ini. Apakah untungnya? 

Kita tidak lagi seharusnya membicarakan negara ini sebagai negara komunis atau negara jajahan Barat, kedua-duanya telah menjadi sejarah, satu perkara yang telah lepas dalam catatan kebangkitan negara kita. Kita telah merdeka dari penjajahan Barat dan Timur, iaitu telah bebas dari penjajahan Portugis, Belanda dan Inggeris, Komunis dan Jepun, mahu tidak mahu kita akui, kita telah mendapatkan kemerdekaan pada tahun 1957, menjadi negara demokrasi berparlimen, memerintah sendiri, segala beban keselamatan dan peertahanan ditanggungkan oleh kita sendiri, negara kita menjadi negara berdaulat, diakui oleh PBB dan dunia, apakah dalam keadaan ini kita perlu mengulangi lagi sejarah lama yang tidak relevan lagi sekarang ini? 

Jadi "game" ini nampaknya merupakan "dirty game" yang hanya dimainkan oleh orang-orang yang hendak memburuk-burukkan negara sendiri, menjadikan modal untuk "political mileage" murahan, terutamanya dalam menentang Kerajaan yang sah.

Apakah orang politik dinegara kita mahu membawa rakyat, khususnya golongan muda, menghabiskan masa dan tenaga dengan cerita dan omong-omong kosong nostalgia Komunis dan Penjajahan Inggeris itu hingga ke saat ini, iaitu ke era teknologi dan pembangunan pemikiran baru yang seharusnya lebih tertumpu kepada inovasi dan kreativiti yang sentiasa mencabar minda dan pemikiran manusia zaman kini? 

Lebih mendukacitakan ialah polarisasi pemikiran politik partisan dan perkauman yang amat ketara dalam konflik Chen Peng dan Komunis ini, iaitu ketika orang-orang besar politik membicarakan isu-isu berkaitan jasad Chen Peng yang hendak dikebumikan di mana, dan perjuangan Komunis yang di gambarkan sebagai perjuangan yang tulin dalam perjuangan menentang pemerintahan Inggeris, atau diantara perjuangan gorela komunis dan perjuangan angkatan Polis kita sendiri, manakah yang lebih berbentuk patriotik.......?!!

Alangkah ruginya pemerasan minda dan pemikiran ahli politik demikian yang rasanya amat dangkal dan seolah-olah tidak terdapat sebarang isu lain yang lebih penting lagi yang seharusnya dipolimekkan pada masa kini dalam negara kita ini secara sihat dan beretika..

Keputusan Kerajaan untuk tidak membenarkan dibawa kembali jasad Chen Peng dilihat sebagai satu keputusan politik kepartian, atau perkauman. Inilah masalah besar yang sedang kita hadapi sekarang ini di negara kita. Kerana pertelingkahan politik partisan, rakyat tidak lagi dapat membezakan di antara dasar Kerajaan dan politik partisan. .....

Rakyat amat memerlukan pembicaraan dan rawatan penyakit mental dan jiwa yang amat berleluasa di negara kita sekarang ini, iaitu yang mengakibatkan pembunuhan diri, pembunuhan anak dan bapa, isteri atau keluarga terdekat, perompakan dan kegilaan di jalan raya. Inilah gambaran kecil saja yang berlaku akibat dari penyakit jiwa dan mental di dalam masyarakat kita ini, yang seolah-olah dibiarkan sahaja tanpa perlu dirawat dan diberikan perhatian oleh orang ramai, termasuk pimpinan politik yang lebih mementingkan pembicaraan isu konflik dan pertentangan daripada membicarakan isu kesepakatan dan maslahat umum...

Daripada membicarakan untung nasib satu jasad yang meninggal di Thailand sebagai seorang biasa yang telah lama dilupakan dalam sejarah. lebih baik kita membicarakan untung nasib keturunan kita pada masa kini dan akan datang, bagaimanakah kita mendidik dan membesarkan mereka menjadi manusia yang baik dan berguna kepada agama, bangsa dan negara sendiri....

Segala kemelut dan kekecohan konflik politik yang keterlaluan pada masa kini lebih banyak melahirkan generasi yang rosak akal dan minda serta jiwa mereka, akibatnya penyakit jiwa dan minda akan berleluasa menjangkiti generasi muda yang tidak bersalah akibat dari perbuatan orang yang tidak menyedari akan hakikat dan perjuangan yang sebenarnya... Apakah hal ini yang kita perlukan? 




Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....