KENANGAN DI HARI KE 5 BERPUASA




Bulan puasa sering juga membawa ingatan kita kepada ibu bapa yang telah pergi meninggalkan kita, sama ada baru atau lama. Ingatan kita sering kembali ketika kita masih kecil, baru belajar puasa, atau hanya baru bersekolah rendah, iaitu satu kenangan lama yang selalu kita ingat.
Bagi saya, ingatan itu kembali ke satu era yang lama, ketika kehidupan di kampong tanpa api letrik dan air paip, hanya pelita minyak dan air perigi. Bapa saya sering memandikan kami adik beradik di perigi di waktu petang, bersedia untuk buka puasa, dan emak kadang2 menjemur padi di tengah panas, kemudian panggil Cin Kelam untuk upah tumbuk padi dengan menggunakan lesong kaki.
Anak2 zaman ini tidak faham semuanya ini, kerana suasana dan kerja2 ini hanya di fahami oleh orang2 dulu, ketika zaman lama, dan ketika orang2 kampung hidup serba ada saja, namun kehidupan zaman itu agak sejahtera dan bahagia.
Bapa saya menjawat jawatan Penghulu masa itu, satu jawatan besar di dalam kampong, yang sama kedudukannya dalam masyarakat kampong dengan Guru Besar sekolah dan Imam masjid. Tiga orang inilah yang menjadi pemimpin di kampong, dan amat disegani oleh semua, malah mempunyai otoriti dalam pengurusan kehidupan rakyat jelata.
Tidak kira anak siapa, tiga orang ini boleh tegur anak2 yang buat salah, malah guru besar boleh merotan anak2 yang nakal, dan imam juga boleh menghukum kanak2 yang salah laku.
Bapa saya pernah turun ke surau kampong memarahi anak2 muda yang sedang memukul gendang raya dalam bulan puasa di waktu tengah malam sehingga mengganggu ketenteraman orang ramai. Kalau pukul gendang raya itu di lakukan dalam pukul sembilan lebih2 sikit tu tak mengapa. Bertemperian budak2 tu lari lintang pukang, termasuk arwah abang saya sendiri yang segera balik rumah, naik tidur.
Kini semuanya tu hanya menjadi kenangan bagaimana kehidupan menjadi aman dengan kepimpinan yang dapat bertugas dengan ikhlas dan jujur. Emak sering juga membaca Quran dalam cahaya samar2 dari lampu minyak tanah, tetapi bila ke surau, cahaya menjadi lebih terang dengan lampu gasoline, yang mempunyai sumbu puteh, dan lampu ini hidup dengan angin yang di pam sebelum di pasang, namun apa bila angin itu hampir habis, dan minyak masih ada, siapa2 bolehlah  mengepam anginya lagi.
Tok Imam memimpin solat isyak dan terawih, tetapi tidak kira waktunya sangat, kadang2 pukul Sembilan malam gendang raya masih berbunyi memanggil orang ke surau, juga menandakan solat belum di mulakan. Gendang raya menunjukkan kan waktu solat..pukul lah apa rentaknya pun, tetapi jika penutupnya berbunyi empat kali tanpa rentak, maka tandanya sembahyang isyak, zohor atau asar yang mempunyai empat rakaat. Tiga kali tanda Maghrib, dan dua kali menandakan sembahyang subuh.
Apa2 pun ingatan yang menjelma di kepala kita setelah berdekad2 masa berlalu ketika emak ayah kita meninggalkan kita, maka ingatan kepada mereka di dalam bulan Ramadhan ini sering menimbulkan perasaan yang bercampur baur. Hanya anak2 saja yang dapat memahaminya, dan merasakan kesannya, kembali menghayati semula kehidupan ketika itu, sebagai anak2 kecil yang masih mentah, dan belum maju seperti sekarang.

Ingatan ini amat berkesan menggerakkan emosi dan rohani masing2, pemikiran tentang susah senangnya ibu bapa kita membesarkan kita, dan dengan sendirinya mendorong kita mendoakan mereka dengan seribu doa..doa yang tidak lagi dapat mereka dengar atau hayatinya…yang kita sendiri kadang2 tidak ingat sama ada pernah kita lakukannya semasa hayat mereka masih ada,,…atau setelah sekian lama mereka pergi meninggalkan kita.

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....