APAKAH BENTUK PERJUANGAN POLITK MELAYU - ISLAM SEKARANG ?
Politik adalah penting dalam pembangunan bangsa dan negara. Politik adalah seni pemerintahan dan pentadbiran yang seharusnya ditangani oleh orang-orang yang berwibawa. Kalau orang-orang politik rosak, maka rosaklah negara dan rakyat. Kita perhatikan bahawa negara kita agak kacau bilau sekarang ini ialah kerana sesetengah ahli politik mempunyai agenda untuk bermain politik taksub, partisan, memperojekkan persepsi yang salah kepada rakyat umum dan permusuhan yang tidak seharusnya diberikan keutamaan.
Pilihana raya yang lepas mengeluarkan satu kesimpulan umum tentang trend undi rakyat dan aliran pemikiran serta persepsi mereka tentang corak pemerintahan Malaysia yang mereka mahu. Itulah kehendak rakyat terbanyak, dan itulah mentaliti rakyat ketika membuat satu kejutan yang amat ketara dalam pilihan raya yang lalu dalam memilih wakil-wakil mereka.
Walau pun BN masih memegang teraju pemerintahan, tetapi majoritinya merosot begitu jauh ke belakang dalam Kerajaan sekarang, akibat daripada undi yang diberikan kepada pihak pembangkang. Sebelum ini corak pemikiran dan terjemahan dari pemikiran dan pandaangan itu ialah memilih Kerajaan yang "moderat", yang "sederhana", yang tidak "ekstrem". Rakyat sebelum ini sejak dari zaman PM yang pertama hingga ke tarikh pilihan raya yang lalu, tidak memilih parti politik yang mereka anggap ekstrem, sama ada eksterm perkauman atau fanatik keagamaan pada pandangan dan penilaian majoriti rakyat dan pengundi. Mereka memilih Perikatan dan BN yang mewakili semua kaum, berkongsi kuasa secara sepadu, yang pada pandangan mereka merupakan satu bentuk pemerintahan yang sesuai dengan inspirasi nasional dan masyarakat berbilang kaum yang mempunyai kepelbagaian latar belakang agama dan budaya.
Sebelum ini tidak terdapat sebuah pun parti politik yang dapat bergabung untuk membentuk satu pakatan bagi menentang BN, kerana ideologi dan agenda perjuangan politik mereka amat jauh berbeza, iaitu perjuangan sekularisme yang ketara, atau perjuangan agama yang ekstrem pada pandangan rakyat, dan hal ini telah dijelaskan oleh ketua-ketua parti politik masing-masing dengan lantang dan terang dalam memperjuangkan agenda mereka, iaitu yang memperjuangkan dasar sekularisme, atau agenda agama yang ketat.
Tetapi ideology politik parti-parti politik itu telah dileburkan dalam satu perjuangan bersama untuk menjatuhkan kerajuaan BN di bawah Pakatan Rakyat menjelang pilihan raya umum yang lalu. Aliran eksterm kaum atau agama tidak ditimbulkan lagi dalam perjuangan itu, permusuhan tidak lagi timbul, politik ekstrem yang kelihatan tidak mungkin bertemu sebelum ini diantara dasar agama dan sekularisme, nampaknya telah dikendurkan begitu rupa, sehingga akhirnya ketua-ketua parti politik tersebut dapat duduk semeja, berdepan dengan mesra, tidak seperti sebelum ini, ketika ketua-ketua parti tersebut, tidak rela sama sekali bertentng mata, apa lagi duduk bersama dalam satu pakatan, kerana pada masa itu telah timbul pertentangan bahawa kalau sebuah parti itu hendak melaksanakan satu corak pemerintahan Islam yang bertentangn dengan perjuangan parti yang satu lagi, maka tindakan yang akan berlaku ialah "langkah mayat" dulu kalau dasar itu hendak dijalankan. Maka pengikut kedua-dua parti tersebut pun merestui dan menjunjung tinggi agenda perjuangan masing-masing.
Segala "kredit" tentulah terpulang kepada PKR yang telah mewujudkan kompromi dan persefahaman yang amat besar dalam lanskap politik negara kita, sehingga satu pakatan yang sebelum ini tidak pernah dimimpikan akan wujud, tiba-tiba menjelang pilihan raya yang lepas "Pakatan Rakyat " telah dapat dijelmakan, hasilnya maka berlakukan perubahan dalam bentuk pengundian memilih wakil rakyat di dalam Pilihan Raya Umum yang terakhir. Para pemimpin parti-parti tersebut telah dapat "bersatu", mata bertentang mata, berlakulah pertukaran senyuman, maka para pengikutnya juga turut serta, lalu terserlahlah kepada rakyat, bahawa dasar dan ideology politik masing-masing telah berubah, slogan-slogan lama telah dipadam dan dimansukhkan, agenda perjuangan yang lama kini menjadi lapok, telah timbul dasar terbuka yang luas, dan telah terhakis sama sekali ungkapan "langkah mayat" oleh itu apa lagi, perahu sudah di air, layar telah dibuka, lalu berlakulah apa-apa yang berlaku.
Selepas pilihan raya yang terakhir ini, persepsi "kesederhanaan" dan "ekstrem" telah berubah maknanya, kecenderungan kepada "kesederhanaan" telah berubah kepada dasar "fanatik" dan ternyata sekali perubahan sikap para pengundi, yang sekali gus juga membawa kejutan kepada BN yang selama ini mengambil mudah akan banyak perkara yang menjadi sungutan rakyat.
Yang paling ketara dalam kekecohan ini ialah perbalahan Melayu dalam perjuangan politik mereka, dan "konsep" agenda Islam dalam politik tanah air kita ini. Kemanakah Melayu hendak dibawa? Apakah bentuk "Islam" yang menjadi agenda perjuangan politik tanah air kita sekarang? Kedua-dua bentuk perjuangan ini lebeh banyak menimbulkan kekeliruan kepada rakyat majoriti, terutamanya kepada orang Melayu dan Islam.
Telah timbul "kenyataan-kenyataan" yang amat berat sebelah, memihak kepada perjuangan yang menyimpang dari agenda Melayu dan Islam. "Perayaan Mauludirrasul tidak memberi fadilat" kerana terdapat Kerajaan Negeri yang bercadang membatalkan perarakan hari tersebut (walau pun kemudiannya telah dibatalkan niat itu) "Letakkan saja jawatan kalau telah keluar dari Parti anu.." kerana parti anu itu adalah merupakan kawan politik yang rapat (walau pun hal ini tidak kena mengena...) "Pakai sahaja kalimah Allah untuk semua..." dan berbagai-bagai kenyataan lain yang dianggap "quddus" oleh orang Islam.
Walau pun politik adalah merupakan satu alat perjuangan negara dan bangsa yang berkesan, tetapi peranan para pemimpin politik itulah yang seharusnya diteliti dan dikaji oleh rakyat. Ketokohan seorang ahli politik tidak seharusnya dapat mengelirukan persepsi umum rakyat jelata tentang aliran dan perjuangan politik secara keseluruhan, kerana tokoh politik juga adalah "manusia biasa" yang mempunyai kelemahannya., dan ada kalanya mempunyai agenda peribadi dan kumpulannya yang tertentu. Politik yang matang tidak seharusnya hanya berpandukan kepada agenda atau pandangan seorang dua tokoh politik yang "popular" dan dianggap "suci". Banyak perkara lain yang harus difikirkan oleh rakyat dalam mengikuti "trend" politik yang dibawa oleh seorang dua tokoh politik itu dalam tanah air kita pada hari ini, termasuklah persoalan : kemanakah agenda politik Melayu dan Islam yang hendak dibawa di dalam negara kita pada masa kini? Fikir-fikirkanlah dengan semasak-masaknya, jangan hanya menjadi pak turut politik yang membabi buta, dan janganlah menjadi pengikut politik taksub dan partisan semata-mata.
Comments
Post a Comment