(PUISI KETUHANAN)
PERILAKU LUAR FITRAH
SATU HARI
NABI ALLAH LUT DIKUNJUNGI TAMU
ANAK-ANAK MUDA LELAKI
TAMPAN
SEDANGKAN LUT CEMAS
NANTI DIGANGGU KAUMNYA
YANG SUDAH BIASA BERLAKU GANJIL
BERKEINGINAN SESAMA LELAKI
"TUHANKU, HARI INI SUNGGUH MENCEMASKAN
BAGAIMANAKAH AKAN KU JAGA KESELAMATAN MEREKA?"
2
BENAR SEPERTI YANG DIDUGA
KAUMNYA YANG GELOJOH BERNAFSU
SEGERA MELURU KE KEDIAMAN LUT
"TUNGGU, TUNGGU DULU WAHAI KAUMKU
BUKANKAH KAMU PUNYA PEREMPUAN-PEREMPUAN
YANG LEBEH SUCI
LEBEH TABI'I UNTUK DIKAHWINI ?
INI TAMUKU TOLONG JANGAN MALUKAN AKU
TAKUTLAH TUHAN KAMU,
APAKAH TIDAK ADA ANTARA KAMU
SEORANG LELAKI YANG BIJAK BERAKAL
YANG MAMPU MEMBERI INGATAN
DAN NASIHAT?"
3
"LUT ! ENGKAU SEDIA MENGETAHUI
KAMI TIDAK PUNYA HAJAT
UNTUK ANAK PEREMPUAN KAMU,
ENGKAU SEDIA MAKLUMI
APAKAH KEMAHUAN KAMI"
NABI LUT MEMENDAM AMARAHNYA
BERGELORA DI DALAM KALBUNYA
"ANDAINYA AKU ADA KEKUATAN
ANDAINYA AKU PUNYA SOKONGAN
AKAN AKU MUSNAHKAN KAMU SEMUA"
SAYANGNYA
LUT AMAT KESEORANGAN
BERJUANG MENENTANG MANUSIA LUAR BIASA
LUAR TABI'I DAN FITRAH,
AMAT MENGECEWAKAN
AMAT MENCEMASKAN
4
PARA TAMU MENYEDARI
AMAT MENGETAHUI
BAGAIMANAKAH KECEWANYA LUT
KESAL DAN HAMPA
DALAM MENJALANKAN AMANAH TUHAN
BERHADAPAN MANUSIA YANG GANJIL
LALU BERSUARA
"KAMI ADALAH MALAIKAT
UTUSAN TUHAN KAMU
KAUM KAMU TIDAK PUNYA UPAYA
UNTUK MELAKUKAN BENCANA KEPADAMU
JUSTERU
BERUNDURLAH KAMU DARI SINI
PERGILAH BERSAMA KELUARGAMU
PADA WAKTU TENGAH MALAM INI
JANGAN SESIAPA MENOLEH KE BELAKANG"
5
NABI LUT DAN KELUARGANYA
HARUS SEGERA MENYELAMATKAN DIRI
BERSAMA SEMUA ANGGOTA KELUARGANYA
TETAPI, BAGAIMANA DENGAN ISTERINYA?
"KECUALI ISTERIMU !
SESUNGGUHNYA IA MEMIHAK KEPADA KAUMMU
YANG MENDURHAKA
DAN IA AKAN DITIMPA AZAB
SAMA SEPERTI KAUMMU"
6
RUPA-RUPANYA PARA MALAIKAT MENGUNJUNGI LUT
UNTUK MENYAMPAIKAN AMANAH ALLAH
MEMBERI KABAR
TENTANG PENGAKHIRAN
SATU KAUM YANG DERHAKA
KAUM YANG BERNAFSU DILUAR FITRAH
BAHAWA MEREKA AKAN BINASA DAN MUSNAH
DAN ISTERINYA TURUT SERTA
ANGKARA DURHAKA ALLAH DAN DURHAKA SUAMI
7
"WAKTUNYA TELAH DITETAPKAN
KEMUSNAHAN AKAN BERLAKU
PADA WAKTU SUBUH
BUKANKAH WAKTU SUBUH ITU
TELAH AMAT HAMPIR?"
8
TIBA WAKTUNYA
NEGERI ITU TUNGGANG TERBALIK
YANG DI ATAS TURUN KE BAWAH
YANG DI BAWAH TERPUSING KE ATAS
DIHUJANI BATU-BATU PANAS
DARI TANAH YANG DIBAKAR
BERACUN
YANG DIHANTAR TUHAN
UNTUK MEMBINASA DAN MEMUSNAHKAN MEREKA
9
BINASA DAN HANCURLAH NEGERI ITU
DAN BERAKHIRLAH SATU EPISOD
TENTANG MANUSIA DURHAKA
MENENTANG TUHAN DAN UTUSAN-NYA
MENURUT NAFSU AMMARAH LUAR BIASA
MENYIMPANG DARI KEJADIAN FITRAH
KAUM LUT YANG AMAT BERSEJARAH,
NEGERI MEREKA YANG MUSNAH
YANG KINI TERHAMPAR MENJADI IKTIBAR
"LAUTAN MATI" DIBERI NAMA
10
ITULAH KESAHNYA
NABI LUT YANG BERASAL DARI BABILION
DATANG KE PALESTIN BERSAMA-SAMA
BAPA SAUDARANYA NABI IBRAHIM
BERNEGERI DI SADDUM
LALU DIUTUSKAN ALLAH
UNTUK MEMIMPIN KAUMNYA KE JALAN ALLAH
TETAPI KEKECEWAAN MENIMPANYA
KEMUNGKARAN MEMUNCAK DAN MENDAKAP
MANUSIA YANG LEMAH
MAKA BERLAKULAH KEHENDAK ALLAH
ALLAH MAHA KUASA
MAHA PERKASA
PUTRAJAYA
9 FEBRUARI 2010 NUKILAN DR ISMAIL IBRAHIM
PENYANDANG KURSI SYEIKH ABDULLAH FAHIM UKM
Indah bermakna puisi ini. Saya syorkan supaya ditulis lebeh banyak lagi.
ReplyDelete