SAMBUTAN MAULIDURRASUL
Alhamdulillah sambutan hari bersejarah mengingati hari keputraan Rasulullah SAW telah berjalan lancar dan penuh arti di negara kita, malah diseluruh negara Islam yang lain.
Saya berada di negara Brunei Daarussalam pada hari perayaan tersebut, dan saya dapati negara tersebut melalui siaran langsung TV telah memancarkan segala zikir, sembahyang yang dihadiri oleh Ketua negaranya. Hari Sabtu 27 Februari barulah diadakan perarakan dan perayaan di Bandar Seri Begawan, kerana hari Sabtu menjadi hari cuti umum maulidurrasul, oleh itu semua peringkat rakyat jelata akan dapat mengambil bahagian dengan ramainya di dalam peerarakan dan perayaan tersebut.
Pada hari Sabtu 27 Februari juga kita membaca dan melihat akhbar, bagaimanakah meriahnya orang Islam menyambut hari bersejarah itu, di Indonesia, Iran, Syria, Mesir, dan di negara-negara lain.
Sebagai kaum Muslimin, saya rasa kita tidaklah seharusnya menimbulkan banyak persoalan lagi tentang acara sambutan hari tersebut, sama ada diadakan perayaan atau tidak, janganlah dijadikan isu, adakan ceramah atau marhaban, berzikir dan berzanji, tidaklah juga harus dijadikan isu, yang penting bagi kita bahawa hari perayaan dan hari bersejarah Islam haruslah sentiasa diperingati dan di tonjolkan kepentingannya kepada semua, orang Islam dan bukan Islam, supaya segala hari bersejarah itu tidak hanya akan tinggal di dalam lipatan sejarah, tanpa dibuka kepada generasi baru untuk memehami dan mengkaji rahsianya.
Kenapa ketika kita menghadapi berbagai-bagai cabaran tentang amalan agama kita pada masa kini, maka kita harus timbulkan isu perayaan ini? Bid'ah? Tidak berfadilat? Tidak banyak faedah? Dan berbagai-=bagai persoalan lagi. Apakah kita lupa bahawa mengikut tradisi Islam yang kita warisi, kita sentiasa seharusnya mengagongkan hari perayaan Islam, menonjolkan syi'arnya, dan mengingatinya dengan ikhlas untuk mengambil iktibar, mengambil pelajaran dan pendidikan yang baik?
Tahniah kepada rakyat Malaysia, kerana masih mempertahankan tradisi ini, dan tahniah kepada pemerintah yang masih juga meneruskan amalan ini, walau pun menghadapi keritikan dari segelintir orang Islam sendiri. Biarlah anjing menyalak bukit, kerana bukit itu tidak runtuh dengan salakan yang sumbang itu !
Comments
Post a Comment