PERTEMUAN ULAMAK – UMARAK

Saya diberi penghormatan oleh JAKIM untuk membentangkan sebuah kertas kerja pada pagi Jumaat 5 Februari 2010 iaitu sebelum kehadiran YAB PM pada petangnya untuk memberikan ucapan dan berdialog dengan para peserta dalam pertemuan diantara Ulamak dan Umarak itu.

Satu cadangan saya dalam sesi pembentangan kertas kerja saya ialah penubuhan sebuah badan tertinggi bebas yang dianggotai oleh para ulamak yang benar-benar ikhlas dan berminat untuk memajukan agama Islam dalam negara ini, tanpa mempunyai sebarang kepentingan politik partisan, atau taksub kepada kumpulan yang tertentu. Badan bebas peringkat tinggi ini haruslah diketuai oleh PM atau Timbalannya, supaya segala pandangannya dapat disalurkan terus kepada pucuk pimpinan negara, dengan cepat pantas dan berkesan, tanpa melalui sebarang pentadbiran birokrasi yang melambatkan penyampaiannya kepada pucuk pimpinan, dan melengahkan pula perlaksanaannya.

Segala isu agama dan umat Islam yang timbul di dalam tanah air kita, akan dapat segera dibincangkan, dan diberikan pandangan yang ikhlas untuk kepentingan pemerintah, negara dan bangsa kita. PM atau Timbalannya akan dapat mendengar, membincang dan mengambil tindakan ke atas mana-mana cadangan, pandangan atau teguran yang diberikan oleh badan ini. Malah pucuk pimpinan juga akan mendapat maklumat dan latar belakang keagamaan yang tertentu dalam menghadapi atau menyelesaikan isu atau persoalan agama yang dihadapi negara.

Dengan cara ini sahaja, suara ulamak benar-benar akan dapat didengar secara langsung oleh pihak umarak, dan ulamak akan merasa diri mereka dihargai, serta pandangan mereka diberikan perhatian, walau pun pandangan itu tidak semestinya diterima dengan sepenuhnya oleh pucuk pimpinan.

Ulamak, secara guaruan saya katakana, bukan hanya merupakan bomoh atau bidan, yang ketika diperlukan, barulah hendak dipanggil !

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....