PENYAKIT HATI : PUNCA KEJADIAN JENAYAH
Kita terkejut, marah dan sedih, membaca akhbar atau menonton TV, iaitu ketika kita melihat kejadian kejam yang dilakukan oleh seorang manusia terhadap orang lain, yang kadang-kadang melibatkan pembunuhan yang kejam. Kadang-kadang kita tidak dapat menggambarkan bagaimana seorang anak boleh membunuh ayah atau ibunya, demikianlah sebaliknya, bagaimana kah seorang ibu atau bapak tergamak melakukan kecederaan parah, atau mendera bayinya yang masih kecil, sehingga kadang-kadang membawa kepada kematiannya.
Dalam banyak hal, masyarakat kita mengalami penyakit psikologi yang amat parah. Kejadian ganas yang melibatkan kematian dan kecederaan kepada anggota keluarga, yang jauh apa lagi yang terdekat, yang tua atau kanak-kanak, adalah berpunca daripada penyakit dalaman yang serius, yang tidak mungkin dilakukan oleh orang-orang yang normal hati dan pemikirannya.
Dalam konteks ini, saya teringat ajaran al-Quran yang menegaskan bahawa masalah umat manusia ini, iaitu yang menjadikan masyarakat mereka kucir kacir, tidak tenteram, tidak bermoral, dan seterusnya tidak berperadaban, adalah berpunca dari penyakit yang dikenali sebagai 'penyakit hati'.
Di dalam surah al-Baqrah ayat 10 Allah swt menjelaskan kepada Rasulullah saw tentang kedegilan kaum kafir yang tidak mahu mendengar seruannya, malah berusaha menyakiti baginda dan menggagalkan misi baginda, maka Allah menegaskan bahawa mereka itu adalah merupakan golongan yang 'sakit hatinya' lalu Allah tambahkan penyakit hati mereka, supaya mereka akan merasa segala kepedihan seksa dan azab Allah nanti.
Al-Quran menyatakan bahawa hati atau qalb, dalam bahasa al-Quran, merupakan anggota badan yang kadang kalanya menjadi terlalu keras 'lebeh keras daripada batu', dan ada ketika-ketikanya menjadi lembut dan tenteram, umpamanya ketika mendengar dan mengingati Allah, menjadi unsur penyatuan semua manusia, atau sebaliknya menjadi unsur perpecahan dan kekerasan sesama mereka, seperti yang ditegaskan oleh Allah bahawa di dalam sesuatu keadaan yang tertentu "Sekiranya engkau (wahai Muhammad) membelanjakan segala-segalanya yang berada di atas muka bumi ini, engkau tidak mungkin dapat menyatukan hati mereka…" (Surah al-Anfal, ayat 63)
Demikianlah peranan hati manusia, yang disebut di dalam al-Quran sebagai qalb itu, yang bagi kita sering kita terjemahkan sebagai hati atau kalbu. Tetapi istilah al-Quran ini sebenarnya dapat diungkapkan sebagai hati, minda dan jiwa seseorang manusia, kerana gabungan semua perasaan, akal dan bisikan hati inilah yang akhirnya dapat membentuk sikap, jiwa raga dan budaya masyarakat manusia itu. Al-Quran mengemukan istilah ini di dalam semua konteks tingkah laku lahiriah dan batiniah manusia, kemampuan memahami ilmu dan kejadian alam, penguasaan emosi dan hati, kekuatan iman dan kelemahannya, kekerasan dan keganasan yang sering dilakukan oleh manusia, malah segala rasa aman dan tenteram yang dialami manusia, semuanya adalah berpunca dari hati atau kalbu ini, sama ada ianya sakit atau sihat.
Kerana kepentingannya inilah, al-Quran mengemukan istilah ini dalam banyak ayat dan ungkapannya, sehingga berjumlah ratusan dalam konteksnya yang berbeza-beza. Pengajaran pokoknya ialah ajaran al-Quran yang menekankan tentang kepentingan mendidik minda, jiwa, emosi dan perasaan manusia sejak dari kelahirannya lagi, agar masyarakat manusia menjadi masyarakat yang aman tenteram, berperadaban, bertata susila, bersopan santun dan berbudaya tinggi, sesuai dengan nilai-nilai akhlak yang dikemukakan oleh Allah swt dan Rasul-Nya saw..
Oleh itu kita merasa gawat dan cemas apa bila melihat masyarakat Islam kini berada dalam kerisis moral dan kerisis nilai yang tidak berkesudahan, bermula dari budi bahasa yang telah terhakis, ungkapan kata yang kasar dan tidak bersopan, membawa kepada tingkah laku yang pincang dan bercanggah dengan tradisi bangsa dan agama, lalu menjurus kepada kejadian jenayah berat, membunuh, merogol, menyamun dan sebagainya, malah di dalam dunia Islam sekarang ini, satu pandangan biasa yang dapat kita tonton setiap hari, ialah orang Islam membunuh sesama sendiri, tidak lagi mepunyai perasaan kemanusiaan, jauh sekali dari menyedari tanggung jawab keagamaan, yang seharusnya melihat saudara seagamanya seperti saudara kandung sendiri. Maka mereka menjadi terlalu ganas dan kejam, kembali seperti manusia zaman jahiliah yang telah diusahakan oleh Nabi kita membawanya menjadi masyarakat bertamadun dan berperadaban.
Sekadar catatan untuk pengalaman kita, seorang pembaca yang pernah memberikan maklum balasnya kepada tulisan saya di dalam akhbar beberapa tahun yang lalu, menyatakan bahawa pengalamannya berada di Barat, telah membuka matanya, iaitu di dalam situasi yang tertentu, nampaknya mereka lebeh beradab daripada kita orang Timur. Sungguh pun orang selalu menggambarkan bahawa masyarakat Barat adalah masyarakat yang tidak bermoral, tidak beragama dan ganas, tetapi realitinya tidaklah semuanya begitu. "Pemergian saya ke Amerika sejurus selepas peristiwa 11 September 2001, rakyat Amerika membenci umat Islam, dan saya agak takut untuk ke sana, namun atas demi tugas, saya pergi juga ke Washington dan New York, dan saya dapat lihat bagaimana mereka melayan saya, walau pun saya bertudung, tetapi apabila turun dari kereta dan hendak masuk ke dalam kedai, sudah ada mereka yang tolong membukakan pintu untuk saya. Hal ini terjadi, mungkin kerana budaya dan tradisi mereka yang telah terdidik sekian lama sebagai bangsa yang bertamadun dan berbudi bahasa" ujar pembaca tersebut.
Saya juga beranggapan bahawa oleh kerana isu budi bahasa dan budaya ini adalah merupakan sesuatu yang tidak semudah setakat hanya pengucapan terimakasih dan sebagainya sahaja, maka model jangka panjang untuk melahirkan manusia dan warga negara kita yang benar-benar dapat menghayati budaya dan peradaban tinggi hendaklah diusahakan melalui berbagai-bagai saluran dan merangkumi semua peringkat generasi bangsa kita.
Kita perlu mengkaji isu ini dari segala aspek, iaitu sudut psikologi, kejiwaan, kemasyarakatan, kajian nilai dan komitmen agama, juga dalam saluran pendidikan formal dan tidak formal, sama ada pendidikan jangka panjang atau jangka pendek. Penghayatan dan amalan di dalam masyarakat itulah yang amat penting, daripada kita mencanangkan ke sana sini bahawa kita telah menjalankan kempen, pendidikan moral, pelajaran agama, seminar, persidangan dan sebagainya, sedangkan hasilnya kosong dan tidak berkesan.
Hal ini digambarkan oleh pembaca yang pernah hidup di Barat, iaitu dengan menegaskan bahawa kata-kata sopan dan mesra, seperti "Hello mom" "thanks a lot" "good bye" dan sebagainya sentiasa bermain di mulut cashier yang bertugas walau pun barisan pelanggan panjang berjela. Setiap pelanggan diucap hallo dan thank you for coming atau thank you for coming to our store. Ada ketika saya hendak membayar, seorang anak muda kulit hitam yang berpakaian agak "menakutkan", memberi laluan kepada saya untuk membayar dahulu."
Pembaca ini cuba memberikan gambaran kepada kita, bahawa hal yang mungkin pada pandangan sesetengah orang merupakan perkara remah dan kecil, sebenarnya telah memberikan kesan yang besar kepada tanggapan orang awam tentang sesuatu masyarakat secara keseluruhannya.
Maka kelakuan sebaliknya itulah yang cuba digambarkan beliau, apa bila ia mengatakan "Berbanding dengan kita, kekadang sesama Melayu pun hendak menuturkan "tumpang lalu" pun susah. Mereka lebeh selesa berkata "tepi sikit". Kalau membayar di kauntar, apatah lagi jika kalau pelanggan ramai, silap haribulan dimakinya kita, pada hal kita hendak memberikan mereka wang!"
Pengalaman seperti ini amat penting bagi kita, iaitu sekurang-kurangnya akan dapat menjadi panduan kepada kita dalam situasi yang tertentu. Kita tidak mengatakan Barat lebeh baik dari kita, tetapi dalam konteks pembicaraan kita sekarang ini, mereka kelihatan lebeh baik dari kita, kerana kita sedang membicarakan tentang membentuk sikap dan tingkah laku warga kita dalam kempen berbudi bahasa berbudaya tinggi. Lebeh-lebeh lagi, kita sering membicarakan sesuatu tentang ketinggian budaya Timur, apa lagi nilai agama yang amat unggul, maka kita seharusnya segera kembali menghayati pengucapan dan tingkah laku sebagai bangsa Timur dan bangsa yang beragama.
Permulaan mendidik perasaan dan hati, dalam konteks mendidik budaya tinggi inilah yang amat kita harapkan akan dapat menjadi benih-benih pendidikan untuk mendidik "hati" atau "kalbu" manusia supaya menjadi sihat, tidak sakit, dan tidak terganggu, kerana penyakit hati inilah yang mengakibatkan perubahan tindakan dan tingkah laku manusia yang sepatutnya normal, menjadi seperti binatang buas yang hilang perasaan dan kewarasannya, sehingga berlaku perbuatan sumbang, kejam, dan serangan keatas orang lain, termasuk kepada kaum keluarga sendiri.
Comments
Post a Comment