MERAYAKAN HARI KEPUTRAAN RASULULLAH SAW


 

Dr Ismail Ibrahim

Penyandang Kursi Syeikh Abdullah Fahim UKM


 

Walau apa-apa pun yang difatwakan orang tentang sambutan hari keputraan Rasulullah SAW, pada pandangan saya, umat Islam di seluruh dunia akan mendapat semangat dan keinsafan baru ketika menyambut hari yang bersejarah itu. Umt Islam merayakan hari yang bersejarah itu bukanlah dengan niat yang buruk, atau menyalahi sunnah baginda sendiri, tetapi sebagai perayaan yang penting di dalam sejarah agama dan umat Islam, maka 12 Rabi'ul-Awwal adalah merupakan tarikh yang seharusnya diperingati setiap tahun, terutamanya untuk meneruskan tauladan dan pengajaran yang seharusnya diambil dari peristiwa kelahiran manusia agong ini, generasi demi generasi sehingga peristiwa penting ini tidak hanya nanti akan tinggal di dalam buku sejarah semata-mata.


 

Kita seharusnya mengulang-ulangkan kajian dan penerokaan kita tentang segala peristiwa yang dilalui oleh baginda Rasulullah SAW sepanjang hayatnya. Cabaran yang dihadapinya dari segenap pelusuk dan penjuru dunia kepada agama yang dibawa manusia agong itu, haruslah dikenal pasti, kita juga haruslah berusaha mempelajari segala tektik dan strategi baginda, menginsafi akan segala susah payah perjuangannya, dan mengenali akan segala kebaikan dan kesejahteraan sejagat yang diperjuangkan baginda dengan berkat hidayat dan petunjuk Allah SWT.


 

Hal ini tentulah tidak merupakan sesuatu yang sia-sia bagi kita pada hari ini, yang sedang menghadapi ulangan sejarah tentang cabaran dan kecaman yang kita hadapi, tentang ejekan dan gambaran buruk yang dilebalkan kepada umat kita, juga tentang kelemahan dan kemunduran yang sedang kita alami sendiri di dalam dunia global dan moden ini.


 

Kita tentulah seharusnya mengkaji semuanya itu. Kenapakah kita berada di tahap yang lemeh dan mundur? Kenapakah kita sentiasa dikecam dan dikeritik? Apakah masalah yang sedang kita hadapi? Dan bagaimanakah masalah itu seharusnya kita atsi?


 


 

Seperti yang kita mengetahui, peristiwa kemuncak dari cabaran yang dihadapi oleh baginda dalam perjuangannya di Makkah ialah peristiwa Hijrah ke Madinah yang terpaksa dilakukannya, demi masa depan perjuangan agama dan umatnya. Rasulullah SAW terpaksa berhijrah meninggalkan tanah tempat tumpah darah baginda, Makkah al-Mukarramah, menuju ke Madinah Al-Munawwarah, adalah disebabkan beberapa faktor yang tidak dapat diselesaikan, atau dalam pengertian yang dapat disimpulkan bahawa tanpa hijrah, umat Islam Makkah yang diketuai baginda Rasulullah SAW, akan menghadapi masalah yang lebeh besar dan lebeh merbahaya.. Diantara faktor-faktor tersebut ialah :


 

  1. Bertambah meningkat dan ganasnya penyiksaan fizikal dan mental yang dilancarkan oleh kaum kafir Quraisy terhadap kaum muslimin yang masih lemah pada ketika itu, malah gangguan fizzikal dan mental itu sering juga dilancarkan terhadap diri baginda sendiri
  2. Usaha musuh kaum muslimin mengenakan sekatan ekonomi yang berterusan agar kaum muslimin merasa terdesak, terutamanya kerana kekurangan makanan dan minuman, maka dengan itu kaum Quraisy berangan-angan agar kaum muslimin akan menyerah kalah kepada kehendak kafir musyrikin itu
  3. Dalam keadaan yang genting ini, Rasulullah pula kehilangan isterinya Khadijah yang kembali kerahmatullah. Isterinya ini merupakan seorang teman dan pejuang yang sentiasa berdiri teguh di belakang baginda dan sentiasa memberi sokongan padu kepada baginda dalam misinya menyebarkan agama Islam. Dan dalam jangka masa yang sama juga, bapak saudara baginda, Abu Talib meninggal dunia. Bapak saudara baginda ini juga merupakan seorang yang amat kuat mempertahankan baginda dan sentiasa melindunginya daripada permusuhan kaum kafir Quraisy, kerana Abu Talib adalah merupakan seorang yang disegani oleh kaum Quraisy.


 


 

Dengan itu ternyata bahawa Hijrah bukanlah merupakan satu tindakan baginda Rasulullah SAW secara terburu-buru untuk melarikan diri daripada tanggungjawab baginda bagi menyebarkan ajaran Allah SWT di tanah tempat tumpah darahnya, seperti yang pernah di tohmah oleh sesetengah orientalis Barat. Malah tindakan baginda adalah merupakan satu ijtihad yang penuh strategik dan hikmah dalam menyusun agenda jangka pendek dan jangka panjang dalam usaha menyebarkan ajaran Islam ke seluruh alam.


 

Baginda meletakkan satu harapan baru dalam usaha seterusnya bagi mengembangkan agama Allah SWT yang diamanahkan kepada baginda itu, iaitu dengan usaha baginda untuk mendapatkan para penyokong dari Madinah, dan menyediakan satu platform baru yang lebeh kukuh sebagai arena yang lebeh berkesan dalam merangka dan melancarkan strategi risalah atau misi baginda.


 

CINTA KEPADA TANAH TUMPAH DARAH


 

Dalam hubungan peristiwa Hijrah ini, ada diriwayatkan bahawa baginda telah membisikkan rasa cintanya kepada kota Makkah, tanah tempat tumpah darah baginda itu dengan penuh perasaan, iaitu ketika akan meninggalkan kota Makkah baginda mengungkapkan kata-kata berikut :


 


 

Alangkah indahnya kamu bagiku wahai negeriku (Makkah), dan alangkah kasihnya daku kepada mu, seandainya tidak kerana aku diusir oleh kaumku untuk berpisah denganmu, maka demi sesungguhnya aku tidak akan memilih tempat kediamanku selain daripada kamu


 

Setelah mengucapkan kata-kata tersebut, maka baginda pun terus melangkah keluar, yang dilakukannya sebagai menunaikan satu perentah Allah SWT, yang diantaranya terdapat didalam firman Allah SWT


 


 

Wahai hamba-hambaKu yang beriman, sesungguhnya bumiKu adalah amat luas, maka sembahlah Aku sahaja (Ayat 56 Surah Al-Ankabut)


 


 

Ketika inilah juga turunnya ayat Al-Quran yang berbunyi


 

Dan katakanlah : Tuhanku, masukkanlah aku dengan cara yang benar, dan keluarkanlah (pula) aku dengan cara yang benar, dan berikanlah kepadaku dari sisimu kekuasaan yang (dapat) menolong. (Surah Al-Isra', ayat 80)


 


 

CINTAKAN TANAH AIR


 

Rasulullah SAW telah menginspirasikan kepada umatnya bahawa cintakan tanah air dan negara adalah merupakan satu daripada tuntutan agama. Segala amal bakti yang dapat dicurahkan kepada negara hendaklah dilakukan dengan penuh ikhlas dan bersungguh-sungguh.


 

Bagaimana pun kecintaan kepada watan kadang-kadang memerlukan pengurbanan fizikal dan kerohanian yang dapat dilakukan mengikut kemampuan masing-masing atas sifat individu dan kelompok masyarakat. Baginda menterjemahkan kecintaan ini dengan pengorbanan yang besar, iaitu keluar meninggalkan tanah tempat tumpah darahnya yang amat tercinta demi amanah Allah SWT yang dipikulnya, dan demi kelangsungan usaha mengembangkan ajaran Allah SWT.


 

Rasulullah SAW meskipun dihadapi dengan kekasaran fizikal, iaitu perbuatan ganas dalam bentuk yang menyakitkan jasad dan badan, seperti dilempar batu, unak, duri dan najis, tetapi baginda sentiasa bertindak dengan penuh hati-hati, agar kekerasan tidak dibalas dengan kekerasan, terutamanya mengingatkan bahawa umat Islam pada permulaan dakwah baginda adalah kecil bilangannya, masih lemah dan masih bergantung kepada keadaan di sekeliling dari segi mendapatkan makanan dan minuman, sedangkan pihak musuh adalah terdiri daripada kaum yang telah lama bertapak, telah biasa dengan pembunuhan dan perbuatan kejam, yang hidup tanpa sebarang nilai akhlak dan peri kemanusiaan. Baginda perlu mengembangkan satu cara hidup dan akidah serta nilai-nilai moral kerohanian yang baru di dalam masyarakat yang amat liar itu kerana agama yang dibawa baginda adalah meerupakan agama yang mengandungi akidah yang mantap dengan membawa misi tauhid dalam arti kata bahawa hanya Allah SWT merupakan Tuhan yang di sembah, dan agama ini juga membawa ajaran yang penuh toleran dan penuh dengan nilai-nilai kerohanian dan akhlak yang seharusnya diamalkan dengan penuh sedar oleh semua umat manusia.


 

Akhirnya apabila keadaan menjadi amat genting, dan kedudukan umat Islam juga berada dalam bahaya di kota Makkah, maka baginda telah menyusun pelan aman yang penuh strategik, iaitu meninggalkan sementara tempat yang merbahaya ini, berundur daripada musuh, dalam pengertian bahawa berundur bukanlah berarti menyerah kalah, tetapi berundur untuk menyusun semula barisan dan kekuatan untuk kemenangan agama kemudian kelak.


 

Sekiranya umat Islam yang lemah di Makkah itu mengambil sikap terburu-buru berkeras dan berkonfrantasi secara ganas, maka kedudukan muslimin yang merbahaya ini akan membawa mudarat pula kepada dakwah agama Islam itu sendiri. Maka tidak mengapa seruan dan dakwah ini di berhentikan sementara di Makkah, dengan harapan bahawa pada satu masa nanti, baginda akan kembali semula ke tanah tumpah darahnya untuk mencipta sejarah baru, iaitu dalam bentuk kemenangan kepada misi yang dibawanya daripada Allah SWT seperti yang dibuktikannya ketika baginda pulang ke Makkah dan berjaya mengislamkan umat yang sesat itu, dan menghancurkan segala simbol syirik itu.


 

Comments

  1. Artikel yang baik... maka tidak seharusnya kita bertelingkah semata-mata kerana suatu perarakan yang jelasnya bukan disarankan oleh Nabi SAW. Saya amat jelas bahawa apa yg Dr mahu sampaikan. Setiap peristiwa besar Islam mmebawa intipati dan perubahan besar dlam landskap kehidupan umat sehinggalah ke hari kiamat. Misalnya peristiwa Hijrah, sentiasa menjadi titik tolak dan peringatan bahawa manusia perlu ada hijrah bahkan memerlukan penghijrahan, dari buruk kepada baik, dari baik kepada lebih baik dsbgnya.

    Sewajarnya setiap hari dalam hidup umat islam diraikan umpama pada hari itulah Baginda Rasulullah SAW diputerakan. Lazimkan dalam setiap hari kita dengan segala kecintaan kepada Baginda SAW. Tunjukkan akhlak sempurna yang Baginda SAW diutus menyempurnakannya pada umat. Jaga bicara , tutur dan coretan perkataan, jaga pergaulan dan perhubungan, muliakan Al-Quran dan Hdis sebagaimana haknya, muliakan tetamu, sayangi jiran , pelihara dan bantu ibu-ibu tunggal dan anak yatim, perbanyakkan sedekah, lazimkan solat berjemaah dsbgnya. Banyak rupanya perkara yg boleh dibuat dalam menghidupkan kecintaan pada Allah dan RasulNya. Solawat sehari sekali setidaknya mampu lima kali setidaknya. Yang sedihnya ramai yang bising bila perarakan maulidurrasul tidak dilakukan, padahal dalam ramai-ramai itu mungkin ada yang meninggalkan solat, mungkin ada yang kaki menipu, mungkin juga ada yang langsung tidak ambil tahu soal agama melainkan membina sketsa politik.

    Oleh itu saya amat bersyukur, kerana dalam hari-hari yang diri ini lalui , masih ada ruang untuk mengingati, mengasihi bahkan ada separuh titis airmata rindu pada Baginda walau sedikit. Biarlah tiada perarakan asalkan ruh agama yang dibawa Nabi SAW sentiasa dalam diri, hari-hari, saban tahun dan selamanya. Kecintaan pada penghayatan. Penghayatn bukan pada satu hari yang diraikan tapi pada seusia yang dikurniakan Allah SWT.

    Terimas, Adios.
    /ps:alah silap harap maafkan dan betulkan.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....