MEMAHAMI ISLAM SEBAGAI AL-DIN

Nampaknya akhir-akhir ini cara kita memahami agama kita sebagai Al-Din tidak seimbang sama sekali. Program TV, Radio dan tulisan-tulisan mengenai agama kebanyakannya hanya menekankan tentang ritual, ibadat khusus, doa, zikir, wirid dan sebagainya. Kalau kita pergi ke kedai-kedai buku maka buku yang dinamakan sebagai buku agama, juga membicarakan tentang hal yang sama, merangkumi bekalan untuk akhirat semata-mata, tidak banyak menyentuh tentang kehidupan kita sebagai orang berilmu, berpengetahuan dan mempunyai pandangan yang jauh tentang sains dan teknologi yang dapat mencorakkan kehidupan kita di dunia demi mencri kebahagiaan di akhirat.

Malah lebeh dari itu buku-buku "agama" seolah-olah tidak perlu berbicara tentang kehidupan di dunia yang menyentuh persoalan ekonomi, teknologi, industri, etika dan semua bidang kehidupan di dunia, yang ada kalanya dilihat sebagai sesuatu yang boleh melupakan orang Islam tentang akhirat dan kehidupan kerohanian mereka.

Bila kita mengunjungi kedai-kedai yang menjual ubat tradisional pun, maka kita akan menemui ubat-ubat yang dikatakan ubat Islam, air yang dijampi, habbatul sauda', kurma, kismis, za'faran dan sebagainya. Inilah yang selalu diiklankan di dalam medis cetak dan letronik tak berhenti-henti.

Kita tidak menentang amalan agama tradisional, kita menerima kelebihan Islam dalam segala kehidupan kita, ibadat adalah merupakan satu amalan yang asas, doa merupakan otak ibadat, zikir adalah penawar, ibadat khusus adalah merupakan perintah Allah dan Rasul-Nya yang tidak boleh ditinggalkan.

Hal ini kita junjung. Namun apabila penekanan hanya diberikan 100% terhadap kehidupan ini, maka kita akan ketinggalan dari arus perdana kehidupan kita di dunia yang serba mencabar dan maju ini. Kita akan terpinggir dari kemajuan teknologi baru, dari alam ekonomi dunia, kita akan ditinggalkan dalam masjid-masjid kita atau surau-surau kita sahaja, kita akan dilalaikan oleh musuh dengan memerangkap kita dalam alam rohani kita sahaja, sedangkan mereka mengambil kesempatan mengaut kekayaan kita, menindas pemikiran kita, menyebabkan kita merasa tertekan dan teeraniya, maka kita akan bangun berjihad, membunuh mereka, atau membunuh sesama kita yang kita anggap sebagai musuh kita walau pun mereka seagama dengan kita, kerana mereka tidak berada dalam kelomp[ok kita, yang tidak sealiran dalam politik dan amalan kita, yang kita anggap sebagai musuh kita, sama juga seperti musuh kita orang kafir.

Orang Barat dan dunia luar yang cemburukan kemajuan kita, kekayaan kita dan umat kita yang cuba bangun untuk bersaing dengan mereka, maka semuanya itu tidak disukainya. Mereka mahu dunia ini hanya untuk mereka, orang Islam biarlah mereka dengan kerohaniaan dan ibadat mereka, dan mereka mahu menanamkan pemikiran serta sikap yang negatif teerhadap dunia ke dalam mentaliti orang Islam, biarlah diberikan peluang supaya mereka hanya bergerak di dalam amalan akhirat mereka sahaja.

Satu ketika dulu, orang bukan Islam menggalakkan orang Islam bergerak cergas dalam kehidupan kerohaniaan mereka dan meninggalkan dunia ini sepenuhnya. Biarlah orang-orang Islam berkumpul ribuan orang di satu tempat di India umpamanya dan dalam perjumpaan itu mereka beribadat dan beramal dalam meninggatkan kerohaniaan dan spiritual mereka sahaja.

Oleh itu, rasanya kita sebagai orang Islam haruslah cuba memahami apakah al-din itu, apakah maknaanya agama sebagai al-din yang berarti cara hidup yang lengkap dan menyeluruh, apakah dengan beragama kita akan hanya menumpukan 100% kepada satu bahagian dalam agama sahaja iaitu bahagian kerohanian dan ibadat khusus? Apakah maknanya doa kita yang meminta kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat? Dimanakah letaknya falsafah dan cara hidup Islam yang terkandung di dalam firman Allah yang menuntut kita supaya berusaha dalam bidang yang dikurniakan Allah kepada kita untuk hari akhirat, disamping tidak melupakan nasib kita di dunia ini?

Kalau kita meninjau kepada sejarah silam Islam, kita amat berbangga dengn zaman kegemilangan umat Islam dan para pemikir serta ahli falsafahnya yang mencipta ilmu sains, perubatan, falak, ilmu bintang, matematik, dan sebagainya. Kita bernostalgia dengan kemajuan dan sumbangan mereka kepada dunia, ketika umat lain masih berada dalam zaman kemunduran.

Tetapi aktiviti kita untuk mencapai tamadun itu tidak banyak, malah mungkin tidak ada langsung yang kita gerakkan dalam mengulangi kemajuan, peradaban dan tamadun umat kita itu.

Perhatikan program agama dalam tv, radio, ceramah agama, forum, dan sebagainya yang dikatakan sebagai program agama itu. Adakah disebut tentang kefahaman kita yang menyeluruh terhadap pengertian agama dalam aspek pembangunan manusia yang sempurna dalam dunia ini? Adakah buku-buku yang ditulis tentang agama yang menggalakkan usaha memperthankan diri dalam bidang ilmu, teknologi, politik, etika dan akhlak, malah dalam memahami bagaimanakah agama memainkan peranan dalam pembangunan peerdagangan, industri dan pembangunan ekonomi umat Islam sendiri.

Ada diciptakan ubat-ubat yang seolah-olah ingin melupakan ubat-ubat yang telah diciptaklan selama ini dengan menggunakan ilmu kepandaian manusia dan teknologi baru yang sentiasa membangun dengan pembangunan akal fikiran dan kemajuan manusia.

Kita haruslah mengadakan perseimbangan dalam memberi kefahaman kepada umat kita, terutamanya generasi baru kita, tentang apakah artinya Islam? Apakah artinya sains Islam, perubatan Islam, yang selama ini kita terlalu memperkecilkan fokusnya kepada ritual dan doa saja.

Ada orang yang tidak lagi peercaya kepada proses perubatan moden, terafi moden umpamanya, maka sikap tawakkal kepada Allah seolah-olah satu penyerahan bulat-bulat tanpa usaha dan ikhtiar dengan menggunakan teknik dan kaedah ilmu manusia yang moden.

Kita percaya dan penuh beriman kepada Allah swt, kepada doa dan zikir, wirid dan munajat kepada Allah, percaya kepada dasar yang fundamental dalam agama dan ajaran kerohanian Islam, tetapi dalam masa yang sama juga kita haruslah melihat dunia ini dari kacamata akal manusia yang baru, yang juga dikurniakan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya. Kita perlu menuntut ilmu walau di mana saja datangnya asalkan tidak membawa kesesatankepada kita. Kita perlu memindahkan teknologi luar untuk membangunkan industri dan maruah kita.

Hl ini perlulah diperbetulkan ketika kita berbicara tentang "agama" tentang pendidikan agama, ubat agama, pengetahuan agama, program agama, tulisan agama, lakonan agama, dan sebagainya. Kita haruslah membuka mata umat kita tentang hidup "sebelah lagi" bagi orang Islam, iaitu hidup di dunia dan diakhirat. Kalau kita hanya asyik menekankan tentang agama dalam aspek kerohaniaan saja, maka kita akan ditinggalkan oleh kemajuan dunia dan manusia lain, sedangkan kita selalu membaca ayat Al-Quran yang menyebut bahawa nasib kita tidak akan diubah oleh Allah SWT, ssekiranya kita tidak berusaha mengubah apa yang ada di dalam diri kita. Apa yang ada di dalam diri kita ialah akal fikiran, sikap dan pembentukan pemikiran yang betul, mencipta tamadun dan peradaban kita, cara hidup dunia akhirat yang dinamik, juga jati diri kita sendiri, inilah apa yang ada dalam diri kita.

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....