SEKALI LAGI KITA BERTANYA : SAMPAI BILAKAH IMAM SUDAIS HARUS MENANGIS ?

Saya dijemput ke Makkah oleh Lega Islam Sedunia,yang terkenal dalam bahasa Arab sebagai Rabitah Al-Alam Al-Islami, iaitu untuk menghadiri satu Kongres sempena 50 tahun penubuhannya. Para peserta adalah terdiri dari wakil-wakil seluruh dunia, Timur dan Barat, tetapi semuanya adalah beragama Islam, kerana kongres ini diadakan di tanah haram Makkah al-Mukarramah.

Disamping mengikuti kejayaan Rabitah dalam masa lima puluh tahun yang lalu, para peserta telah dapat menunaikan umrah, bersembahyang di dalam masjid al-haram, berzikir, membaca Quran dan beriktikaf dalam salah sebuah masjid suci Islam, iaitu Masjid Al-Haram.

Para peserta juga telah dibawa ke Madinah, untuk menziarahi Maqam Rasulullah SAW dan beribadat di dalam masjid al-nabawi. Cuma salah sebuah masjid suci kita, sayangnya berada di tangan regim kejam zionis, iaitu Masjid Al-Aqsa, yang juga merupakan kiblat pertama kita, sebelum arah kiblat di alehkan ke Baitullah Al-Haram di Makkah.

Imam terkenal dan amat disukai iaitu imam masjid al-Haram, syaikh Sudais, melepaskan rindu para jemaah yang mungkin hampir sejuta orang pada hari Jumaat terakhir bulan Sya'ban bersamaan 6 Ogos 2010, dengan penampilannya membaca khutbah penuh semangat dan bacaan ayat-ayat suci dalam sembahyang Jumaat yang merdu, nyaring dan amat menusuk hati para Jemaah. Sebelumnya para jemaah menunggu hari dan ketika kalau-kalau Imam Sudais mengimamkan sembahyang, maka tiba2 pada Jumaat itu barulah ia muncul, dan hal ini amat melegakan para jemaah yang menunggu laungan dan gemaan ayat2 suci yang berkumandang ke seluruh pelusuk masjid al-haram pada hari Jumaat terakhir bulan Sya'ban itu.

Imam Sudais menangis ketika membaca khutbah, dan tersedu sedan ketika membaca ayat2 suci dalam sembahyang, diikuti oleh esakan para jemaah. Beliau merasa sedih dalam khutbahnya ketika menyebut tragedy umat Palestin, pembunuhan, perhambaan, sekatan makanan dan ubat2an, dan seribu satu penderitaan yang dialami oleh saudara2 seagama di tengah-tengah dunia Islam yang makmur dan kaya ini.

Saya terfikir, bahawa selama saya berada di Saudi sejak bertahun2 lalu, Imam Sudais sering sedih dan hiba, menitiskan air mata, dan tersekat2 dalam meneruskan bacaan, semuanya adalah kerana mengenangkan nasib umat Islam yang diperlakukan seperti hamba abdi dan binatang oleh kuasa kejam penjajah, terutamanya golongan Yahudi zionis itu.

Namun saya juga tertanya2 apakah sedu sedannya ini benar2 sampai kepada telinga ketua2 negara umat Islam, terutamanya ketua2 negara sebangsa dan seagama dengan umat Palestin? Sampai bilakah Iman Sudais harus menangis dan bersedih sekiranya luahan emosi dan perasaannya ini tidak dihiraukan, atau tidak mampu mengubah dasar luar negara-negara Islam sendiri dalam menghadapi politik penjajahan Yahudi dan Barat terhadap dunia Islam dan umat Islam sendiri.

Saya pernah menulis hal ini tiga empat tahun yang lalu, dan ketika turut menangis besama Imam Sudais pada 6 Ogos 2010 kelmarin, saya teringat kembali apa yang saya telah tulis itu, dan sekali lagi soalan yang sama bermain di kepala saya, sampai bilakan Imam Sudais harus menangis, sekiranya negara dan umat Islam sendiri tidak turut menangis dan berusaha mengubah nasib saudara2 seagamanya dengan menolak dasar penjajahan yang menekan umat Islam itu. Keadaan masih sama, malah kini keadaan mungkin berlaku dengan lebeh buruk lagi, iaitu ketika terdapat sesetengah negara Islam yang masih menjadikan Barat sebagai kroni mereka demi kepentingan peribadi dan golongan mereka sendiri.

Jadi SAMPAI BILAKAH Imam SUDAIS HARUS MENANGIS?

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....