DARI HAMBURG KE KUALA LUMPUR: SEBUAH PERJALANAN YANG AMAT PANJANG….
Hari agak petang di Hamburg, jam 5.30 , tetapi pada awal2 musim panas dalam bulan Jun ini waktu tersebut masih pertengahan siang, kerana mata hari hanya akan terbenam kira2 jam 9.45 atau 10.00 malam.
Kami telah selesai berkonfrensi hari terakhir pada hari 23 Jun ini, dan Dr Jenny, mengajak kami ke rumahnya dekat kota Hamburg untuk makan2 ayam dan daging kambing panggang. Sebelum ini mulai 20 Jun hingga separuh hari 23 Jun kami menghadiri Konferensi itu, atau berjalan2 merayau di kota Hamburg.
Ketika berjalan2 sementara menunggu bilek hotel kami siap pada hari 20 Jun iaitu hari ketibaan di Hamburg, JERMAN itulah, tiba2 pada satu selekoh jalan dekat university Hamburg, seorang wanita kulit puteh muda menegur kami dari jauh dengan berbahasa Melayu. Isteri saya, Hani, segera menarik perhatian saya kepada wanita “Mat Saleh” itu, dan wanita ini segera menyebut nama saya, apakah betul saya yang bernama Ismail Ibrahim?
Saya jawab ya, dan dia memperkenalkan dirinya bahawa dialah Jenny, yang sebelum ini menjemput saya untuk menyertai konferensi itu dan kemudiannya berhubungan melalui email untuk mendapatkan kertas kerja, latar belakang akademik saya dan sebagainya. Rupa2nya itulah Jenny, yang pernah tinggal di Kuala Selangor selama setahun bersama2 keluarga angkatnya di sana dan mempelajari budaya dan bahasa Malaysia serta menjalankan penyelidikan untuk kajian Ph.D nya dalam bidang kajian Asia Tenggara.
Masa satu tahun di Kuala Selangor telah mendidik wanita ini menguasai bahasa Melayu, dan meminjam adat tradisi Melayu, kerana hal ini jelas ditunjukkan nya ketika tunduk penuh sopan apabila berjalan melintas di hadapan kami, menggunakan ibu jari untuk menunjukkan sesuatu, serta cara bercakap dan ketawa yang amat sederhana ketika berkomunikasi dengan kami seperti lagak sopan wanita kita.
Petang itu, Jenny inilah yang menjemput kami ke rumahnya, dan suami nyalah yang bertugas memanggang ayam dan kambing kepada kami, di samping mengasuh 2 orang anaknya. Suaminya menceritakan kepada kami bagaimana dia mendapatkan ayam dan daging kambing itu dari penjual daging halal, orang Turki, di bandar Hamburg.
Ketika suasana mulai riang dengan senda gurau dan gelak ketawa kami dari Malaysia (8 orang semuanya) dan penuh berselera dengan tiupan angin petang yang membawa keharuman daging dan ayam penggang itulah, tiba2 saya menerima sms dari anak saya di Damansara yang membawa seketul batu memukul telinga dan kepala saya, orang Kelantan memberitahunya bahawa “Ma”, panggilan mesra kepada emak isteri saya, iaitu emak mertua saya, “amat tidak segar” bahasa Kelantan yang memberi makna “sakit tenat”.
Setelah berusaha menenangkan sedikit perasaan saya, lalu saya menjawab sms itu, agar hal ini jangan diberitahu dulu kepada “Mak”, panggilan anak2 kepada isteri saya. Kemudian saya menelefon anak saya itu, dan memintanya supaya menghubungi MAS agar dipeercepatkan tarikh penerbangan kami ke KL yang telah ditetapkan pada 25 Jun, menjadi 24 Jun, sehari lebeh awal. Sms itu saya susuli dengan panggilan telefon kepada anak saya itu untuk menjelaskan lagi urusan pertukaran jadual penerbangan. Dia memahami maksud saya dan akan kembali memberitahu saya maklumat selanjutnya yang akan diperolehi dari Mas.
Selang hanya tidak berapa minit saja, saya melihat tanda di kaca telefon saya isyarat sms dari anak saya itu, dan saya yakin dia telah mendapat penjelasan tentang pertukaran penerbangan, Tetapi apabila membuka dan membacanya, badan dan kepala saya segera menjadi kaku dan panas, “Ada telefon dari Kelantan, Ma telah meninggal..”
Saya terpaku sekejap di tempat duduk, berhadapan dengan beberapa orang teman dari Malaysia yang duduk di bangku dan meja yang sama di halaman rumah, lalu saya beritahu mereka berita ini, sedangkan isteri saya tidak mengetahu suatu apa pun.
Ketika inilah saya naik ke rumah untuk meninjau bagaimana suasana isteri saya dengan Jenny dan beberapa orang teman lain lagi yang sedang sibuk menyiapkan hidangan salad untuk dimakan bersama makanan panggang yang mulai dihidangkan di atas meja.
Mungkin Tuhan mengilhamkan sesuatu kepadanya, rupa2nya dia telah juga merasa sesuatu alamat yang membimbangkan, kerana dia mendengar dari jauh perbualan telefon saya dengan anak kami, tetapi tidak mendengar butir buah percakapan itu.
Dia terus bertanya saya apakah yang dibualkan itu, saya terpaksa menjawab bahawa “Ma sakit kuat’’” sedangkan pada masa itu saya telah mengetahui bahawa ibunya telah pun pergi menemui Tuhannya.
Waktu itu jam Hamburg lebeh kurang pukul 6 petang, iaitu 12 tengah malam di Malaysia. Dia segera menceritakan kepada kami semua apa2 yang pernah dicakapkan kepada saya sebelum ini, bahawa sekembalinya dari Hamburg, dia bercadang akan kembali kerumah di Pasir Mas untuk bersama2 dengan ibunya beberapa hari, iaitu ketika saya akan menghadiri bengkel akademik UIM di Putrajaya minggu pertama Julai ini.
Untuk mengetahui hal yang sebenarnya, dia menelefon adiknya yang sering menjaga ibunya itu, yang kebetulan pada waktu itu berada di KL kerana menghadiri upacara pertunangan anak perempuannya. Adiknya menyatakan bahawa mereka sedang dalam perjalanan balik ke KL kerana “” mendengar kabar Ma telah meninggal..”
Bagaimana pun, isteri saya ini rupa2nya amat kuat semangat dan kesabarannya. Dia hanya tercegat berbual seterusnya dan mengucap panjang, tanpa ledakan emosi yang boleh menggamatkan suasana dan menjadika dunia heruk pekuk. Saya ajak dia duduk, dan teman2 kami lelaki perempuan yang ada bersama menenangkannya, yang sebenarnya tidak diperlukan, kerana dia amat tenang dan kuat.
Jenny sendiri daatang memeluk dan menciumnya, ketika dia segera menceritakan kisah ibunya yang amat bersungguh2 memintanya kembali ke Pasir Mas 2 – 3 minggu yang lalu, ketika bilik baru yang disiapkan untuk arwah itu telah siap dengan cantiknya, dan arwah berkeras supaya dia balik, barulah arwah akan berpindah ke bilik baru itu.
Kekuatan isteri saya amat ternyata, dia masih mampu menggagahi dirinya di hadapan Jenny dan kami semua untuk menjamah ayam dan daging panggang di meja makan rumah Jenny, sedangkan saya sendiri, yang telah sedia berjinak2 dan bermesra dengan ibu mertua saya sepanjang masa 4 tahun berkahwin dengan isteri saya ini, merasa tidak berselera untuk makan,
Sejurus kemudian kami balik ke hotel. Hari telah gelap sedikit2, dan kami segera berkemas beg untuk balik, semuanya berjalan dalam keadaan hening bening dan senyap sepi saja, tetapi suara esakan tangisan kami berdua tenggelam timbul dalam suasana malam itu, yang kemudiannya kami penuhi dengan bacaan Yasin dan doa…
Keletihan pada siang hari tadi menjadikan badan kami lemah, ditambah dengan rasa sedih yang mendadak datang, dan mata kami mungkin hanya lelep beberapa jam saja, kerana pada jam 4 pagi kami telah terbangun menunaikan sembahyuang subuh, iaitu ketika waktu subuh sebenarnya berada dipenghujungnya, sebab di Hamburgh ini waktu subuh telah masuk ketika jam menunjukkan waktu 2. 30 pagi dan menjelang 4.30 subuh akan berakhir dengan kemunculan matahari di bumi Eeropah ini.
Pukul 5 pagi hari Ahad 24 Jun dalam keadaan bandar dan jalan raya yang lengang, teksi membawa kami, bersama2 dengan Sapinah, pegawai Jakim, menuju lapangan terbang Hamburg untuk memulakan perjalanan kembali ke tanah air yang ditinggalkan sejak 19 Jun yang lalu. Dari Hamburg kami terbang ke Frankfurt dengan pesawat Jerman, dan jam 12.30 tengah hari, MAS menerbangkan kami ke Kuala Lumpur.
Jenazah Ma sebenarnya telah selamat disemadikan di Pasir Mas selepas zuhur waktu Malaysia, sebelum lagi kami memulakan penerbangan ke Kuala Lumpur, kerana waktu Malaysia mendahulu waktu German selama 6 jam.
Inilah kaii kedua kematian menjemput orang yang hampir dengan saya ketika saya berada di bumi lain yang jauh. Arwah bapa saya meninggal semasa saya masih bujang dan sedang melanjutkan pelajaran di Mesir . hanya makam dan bekas2 peninggalannya dirumah dan halaman rumah yang dapat saya saksikan ketika saya kembali semula ke kampong halaman selepas menyelesaikan pengajian saya di Mesir. Kali ini ibu mertua, yang lama membesar dan hidup di Saudi meninggalkan kami ketika kami berada di bumi Eropah yang jauh itu. Saya tetap mengingati bapa saya yang membesarkan saya begini, dan ibu mertua saya yang mulai berbual2 dengan saya dalam bahasa yang dikuasainya dengan baik, iaitu bahasa Arab ketika bercakap telipon atau bertemunya di rumah Pasir Mas.
Kini, bumi Jerman kami tinggalkan, hanya deruman pesawat saja yang mengiringi perjalanan kami untuk kembali melihat bekas2 peninggalan arwah Ibu, dan perjalanan ini tentulah memakan masa yang amat panjang, ketika penglihatan dan pandangan kami amat kosong, dan mimpi2 ngeri sebelum ini menjadi kenyataan, namun kekuatan jiwa dan iman ini tetap ada dari kuarniaan Allah yang maha pengasih dan penyayang, yang maha mengetahui akan segala rahsia dan hikmah takdir-Nya itu.
Banyak perkara tertangguh yang hendak saya perikan tentang bumi dan orang Jerman, perbincangan sejuk dan panas dalam konferensi tentang pemindahan organ, mati otak , klon dan sebagainya.
Hal itu masih menjadi kenangan dengan peristiwa sedih yang berlaku ini. Perjalanan pesawat yang amat panjang, kenangan dan perasaan yang bercampur aduk semasa berada di bumi asing ini, akan tetap bersarang di dalam kepala dan pengalaman saya, dan insyallah akan saya curahkan kemudiannya, setelah berakhirnya perjalan yang amat panjang ini.
Perjalanan dari Frankfurt ke KL mengambil masa kira2 11 jam, namun terasa panjang, walau pun jadual asal ketibaan pesawat ini di KL tetaplah seperti biasa iaitu pada 25 Jun jam lebih kurang 6.30 pagi, namun perjalanan ini terasa amat panjang dari jangka masa yang biasa.
Namun perjalanan, sama ada singkat atau panjang, jauh atau dekat, tetap akan terus berlaku sehinggalah pengakhirannya menjelang tiba dengan ketentuan Allah SWT. The life and the show must go on………..
Inna Lillah Wa Inna Ilaihi Raji’un. Sekalung Al-Fatihah untuk arwah ibu…..
Comments
Post a Comment