ISU2 KEMASYARAKATAN YANG DIPOLITIKKAN
Saya ingin menyambung sedikit lagi sebagai tambahan kepada entri saya yang lepas tentang kes mencampur adukkan isu politik dalam dasar Kerajaan dan isu2 kemasyarakatan.
Nama baik negara kita disanjung oleh kebanyakan negara luar adalah bersifat objektif, iaitu memandang kepada kedudukan masyarakat yang terkehadapan dalam banyak aspek pembangunan negara dan rakyat.
Namun begitu banyak juga hal yang dijalankan penyelidikan oleh badan bebas luar negara yang meletakkan negara kita dalam kedudukan yang agak lemah dalam beberapa bidang seperti ekonomi, keselamatan, kesetabilan masyarakat dan beberapa perkara lain, tetapi tidaklah sampai segala2nya di dalam negara kita dikategoriukan dalam keadaan yang lemah dan ketinggalan dari negara2 dunia umumnya.
Saya rasa hal yang sama seharusnya disuarakan oleh badan2 bukan Kerajaan di dalam negara kita, juga organisasi penyelidikan bebas yang menjalankan kajian dalam beberapa aspek pembangunan negara kita ini.
Tetapi yang menjadi masalah di negara kita ini ialah masalah campur aduk politik kepartian dalam pergerakan NGO kita.
Ambil contoh Persatuan Ulamak umpamanya. Dalam sejarahnya Persatuan ini pada mula ditubuhkan adalah untuk memperjuangkan agenda2 agama dan kedudukan serta kedaulatan Islam di negara kita terlepas dari agenda politik kelompok dan kaum.
Tetapi dalam proses kepimpinannya, maka ahli politik telah berjaya menerajui Persatuan ini, lalu agenda perjuangannya menjadi agenda politik kepartian dan partisan, seolah2 NGO ini telah membawa agenda politik kepartian, dan agenda parti politik yang diambil sebagai wadah oleh Persatuan ini akan segera mencampuri urusannya dan memperjuangkan agendanya melalui Persatuan ini.
Agenda BERSIH umpamanya mempunyai objektif untuk memperjuangkan pilihan raya yang bersih dan adil, dengan ahli jawatankuasanya yang terdiri daripada NGO's. Tetapi sayangnya peneraju gerakan ini akhirnya memperalatkan diri mereka, atau diperalatkan oleh pihak Pembangkang, sehingga gerakan ini terang2 merupakan gerakan politik partisan, sedangkan agendanya pada permulaan digerakkan ialah untuk melihat segala kekurangan yang mungkin berlaku dalam sistem pilihan raya kita.
Gerakan Dong Zong juga mempunyai agenda untuk memperjuangkan pendidikan kaum Cina, yang boleh membawa kepada kesejahteraan rakyat berbilang kaum di negara ini, tetapi akhirnya bersekongkol dengan parti pembangkang, memusuhi Kementerian Pelajaran.
Gerakan anti-Lynas di Pahang juga dicampur adukkan dengan perjuangan politik kepartian, sehingga kelihatan pejuang utamanya ialah seorang pimpinan Parti Keadilan Rakyat, bukan ahli alam sekitar dan bidang sains atau teknologi, yang seharusnya terlibat dengan secara langsung dalam agenda ini, malah gerakan ini turut menyertai BERSIH, yang tidak mempunyai kaitan dengan perjuangan Lynas.
Demikian juga dengan PERKASA, gerakan ini nampaknya lebih banyak mencampur adukkan agenda perjuangannya sebagai sebuah badan bukan kerajaan menjadi perjuangan politik partisan dan kadang2 agak perkauman.
Hal yang sama dapat dilihat di dalam perjuangan ABIM umpamanya, Sisters in Islam, Tenaganita dan lain2, yang kelihatan memperjuangkan isu sampingan dalam politik partisan, sedangkan isu2 yang diperjuangkan itu ada kalanya tidak mempunyai hubungan secara langsung dengan objektif dan matlamat NGO's berkenaan.
Akibat daripada perjuangan dan agenda NGO's yang bercampur aduk dengan agenda politik sempit inilah, maka segala2nya yang dilakukan oleh Kerajaan umpamanya, akan kelihatan kotor, tidak adil, korup. lemah, tidak telus, dan sebagainya, dan akibat dari hal inilah juga maka hampir keseluruhan agensi Kerajaan umpamanya akan dilebelkan sebagai agensi yang zalim, tidak cekap dan sebagainya.
Pasukan Polis umpamanya yang merupakan jentera keamanan Kerajaan sering dilebalkan sebagai jentera yang zalim dan tidak cekap. sedangkan pada hakikatnya pasukan polis telah banyak membuktikan kecekapannya dalam menjaga keamanan, memelihara kesejahteraan rakyat, telus dan terbuka, malah termasuk dalam sebuah pasukan polis yang berwibawa setaraf dengan pasukan polis yang berwibawa dalam dunia antarabangsa.
SPR sendiri umpamanya telah membuktikan ketelusan dan keadilannya, sehingga pihak pembangkang sendiri telah menerima kesannya yang positif ketika undi yang diberikan oleh rakyat telah membolehkan wakil rakyat berbagai parti memenangi kursi dalam Parlimen dan DUN.
Memanglah Polis, SPR, JPA, badan kehakiman dan agensi kerajaan lainnya mempunyai kelemahan dalam pentadbirannya dan dalam menjalankan tugas masing2, tetapi disinilah terletaknya perana NGO's untuk menjalankan kajiannya, denga fakta dan data, NGO's ini bolehlah berunding, berdialog dan mencari jalan yang baik dengan pihak agensi2 Kerajaan berkenaan, seterusnya mempunyai hubungan dua hala yang berasaskan keikhlasan dan berlandaskan nilai2 moral serta budaya yang baik, supaya kelemahan yang terdapat itu seharusnya dibetulkan untuk kepentingan rakyat, bukan diperjuangkan atas nama parti politik yang taksub sehingga segala2nya dianggap lemah, zalim dan sebagainya.
Inilah sebenarnya peranan NGO's yang seharusnya bergerak dalam keadaan yang bebas dari sebarang elemen yang merosakkan kesetabilan masyarakat, sistem demokrasi, budaya bangsa dan rakyat berbilang kaum, bukan agenda yang disertai dengan aliran ekstrem agama, keturunan, perkauman, prejudis dan perjuangan politik kelompok serta partisan.
Kerajaan juga saya percaya akan lebeh senang mentadbir negara dengan kehadiran NGO's yang berkecuali, yang ikhlas untuk perjuangan negara dan rakyat, kerana Kerajaan amat memerlukan maklum balas rakyat melalui Pertubuhan dan Persatuan bukan Kerajaan yang sememangnya memperjuangkan hak dan kewajipan rakyat serta Kerajaan.
Ahli2 politik mempunyai platfom dan arena mereka untuk mengemukan hujah dan pandangan mereka masing2, malah mengmukakan teguran dan keritik yang membina, kerana mereka mempunyai kebebasan untuk bercakap di dalam Parlimen dan DUN. (Walau pun dalam keadaan sekarang nampaknya ahli2 politik kita kelihatan agak tidak matang segelintirnya dalam Dewan "yang mulia" itu!) Inilah forumnya, dan inilah peluangnya untuk beerbahas dan berbincang, tambahan pula mereka bukannya bercakap secara percuma atau terpaksa mengeluarkan wang , malah mereka dibayar sebagai wakil rakyat.
Kerajaan boleh bertukar silih berganti, sebab itulah kita memerlukan badan2 rakyat, belia, ulamak, intelektual, dan sebagainya yang mempunyai objektif untuk membangunkan rakyat dan negara dengan agenda yang positif dan tidak berat sebelah, seperti yang pernah kita saksikan dalam negara kita sendiri pada zaman dulu.
Perjuangan "rojak" NGO's dan politik partisan inilah yang amat mengelirukan rakyat negara kita sekarang, terutamanya golongan "anti establishment". Dan corak perjuangan seperti inilah yang nampaknya seolah2 negara kita hanya dipenuhi dengan gerakan politik taksub semata2, tidak ada perjuangan pihak lain sama sekali. Maka kerana itulah orang2 yang tidak aktif dalam politik kepartian, mereka seolah2 tidak perlu membuat apa2 pun, diam diri sahaja, tak ada apa yang hendak diperjuangkan!.
Inilah nasib perjuangan bangsa kita sekarang ini.
Comments
Post a Comment