Health Related Issues and Islamic Normativity.

Demikianlah tema Persidangan Antarabangsa anjuran Universiti Hamburgh, German, yang akan diadakan mulai 20 Jun sehingga 23 Jun 2012 di University tersebut.  

Malaysia merupakan salah sebuah negara yang dijemput untuk mengambil bahagian di dalam Persidangan tersebut secara aktif. Yang saya tahu sekurang2nya 7 orang pembentang kertas kerja yang dijemput dari Malaysia, dan saya merupakan salah seorang pembentang yang diberikan tajuk "Development of Fatwas in Malaysia With Special Attention to Bioethical Issues" atas sifat saya sebagai bekas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan satu ketika dulu. 

Mungkin tidak banyak kita yang sedar bahawa universiti2 di Barat, termasuk USA dan Eropah, sering mengadakan persidangan dan seminar tentang Islam, khususnya mengenai isu2 semasa yang berbentuk ilmiah dan kajian.

Persidangan di Hamburg Universiti ini dianjurkan oleh Institut Asia-Afrika universiti tersebut, dengan pimpinan utamanya ialah Prof Dr. Thomas Eich, Islamic Studies dan Dr. Jenny Schreiber, South East Asian Studies. Mereka berdua saya jangka telah menjalankan banyak kajian tentang Islam, khususnya di Asia. Mungkin mereka menyedari tentang kegiatan para profesional dan akademik di negara kita ini, sehingga dengan itu mereka telah memilih para pembicara dari Malaysia mengambil bahagian di dalam Persidangan itu.

Memanglah sekiranya kita cuba melihat kepada universiti2 di negara2 Islam, nampaknya kita amat ketinggalan dalam kajian tentang isu2 utama Islam dalam bidang sosial, ekonomi, pendidikan, politik, sains dan teknologi, perubatan dan sebagainya, sedangkan universiti2 di Barat telah mendahului kita dalam bidang ini.

Saya ke sana pun disamping menyumbangkan kertas kerja tersebut, maka saya ingin juga meninjau pusat2 kajian dan institut serta jabatan pengajian di Universiti Hamburg, termasuk dalam bidang pengajian Islam.

Saya dengar2 Hamburg adalah merupakan sebuah universiti tertua di German, atau mungkin juga di Eropah, tetapi akan saya lihat juga apakah usianya itu sama tua atau lebih tua dari universiti yang pernah saya belajar di Scotland, iaitu Universiti St Andrews.

Saya ingin mencadangkan supaya para pimpinan pendidikan di negara kita, terutamanya pimpinan politik yang memegang tampuk Kerajaan dan Kementerian, agar dapat membuat kajian tentang pengajian di Universiti2 di Eropah ini.

Tetapi untuk berbuat demikian pun, saya percaya tentulah mereka akan berkunjung ke sana selepas Pilihan Raya ke 13 akan datang, dan harap mereka akan cuba2lah menumpukan perhatian sedikit ke arah menggalakkan para akademik dan sarjana kita membuat kajian dan penyelidikan dalam bidang keislaman, kerana kefahaman Islam di negara kita ini nampaknya semakin merosot dan menjadi sempit skopnya, sehingga umat Islam sendiri masih bertengkar dan berbalah tentang isu2 kecil dan sampingan, tanpa melihat kepada isu2 semasa yang lebeh besar dan mencabar lagi.

Saya menujukan khas seruan ini kepada para pemimpin politik, kerana saya ingin mereka membincangkan pula isu2 negara dalam bentuk ilmiah dan intelek, tidak hanya tahu mempolitikkan  seemua isu yang ada di hadapan mata mereka, seolah2 dalam negara kita ini hanya politik saja yang berkuasa dan mampu memajukan bangsa dan negara kita. Tetapi hal ini pun merupakan usik mengusik saja dari saya, kerana kita pun tahu bahawa politik dalam pengertian yang luas itulah yang mencorakkan pemerintahan, pentadbiran dan pembangunan negara bangsa kita.

Yang menjadi masalah ialah politik kotor, sempit, fanatik, tidak bermoral, dan politik tidak berilmu. Itu saja.


Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....