DR UTHMAN MUHAMMADY MENINGGAL...ADA YANG MEMBALAS DENDAM?
ALANGKAH KASIHANNYA MEREKA INI!
Inilah ungkapan yang dapat saya katakan kepada segelintir mereka yang merasa senang dan rahmat di atas pemergian Allah Yarham Dr Uthman Al-Muhammady kelmarin, kerana arwah semasa hayatnya sering memberikan pandangannya yang berterus terang berdasarkan kefahaman ilmunya, dan dalam membicarakan isu-isu politik negara, terutamanya politik Islam, beliau sering memberikan penjelasan tentang beberapa kekeliruan yang ditimbulkan oleh golongan politik, iaitu ketika kalangan politik tersebut mengeluarkan sesuatu pentafsiran yang mengelirukan orang ramai dan tidak menepati istilah ilmu yang sebenarnya.
Hal ini menyebabkan kemarahan beberapa pihak yang berminat kepada ideologi politik kepartian dan mungkin juga taksub kepada para pimpinan politik tertentu yang ditegur oleh arwah, lalu dalam blog mereka yang muncul selepas mengetahui akan berita kembalinya arwah ke rahmatullah, dengan melafazkan kata-kata kasar dan tidak beradab terhadap arwah.
Saya tidak fikir kita harus membalas kata-kata yang tidak enak di dengar itu dengan kata-kata yang keras dan biadab pula. Ikutlah adab sopan Nabi kita Muhammad SAW yang mengeluarkan kata-kata yang berbentuk kasihan kepada orang-orang seperti ini, dan berdoalah mudah-mudahan mereka akan insaf dan memohon ampun kepada Allah SWT, kerana untuk meminta ampun dari arwah, maka beliau telah pun pergi buat selama-lamanya. Hanya Allah yang mengetahuinya, dan yang akan mengampunkan dosa sesiapa yang dikahendaki-Nya.
Memang dalam jutaan orang manusia ini, akan adalah dua tiga orang yang lemah iman dan ilmunya, kurang budi pekertinya. Sebab itu saya katakan bahawa kalau sayalah yang ditanya untuk memberi komen terhadap tindakan orang-orang yang merasakan mereka masih berhak untuk mencerca dan mengumpat orang yang telah meninggal itu, maka katakanlah: Alangkah kasihannya mereka ini, ya Allah!!
Comments
Post a Comment