KEPELBAGAIAN DOA PRU 13

DOA PRU-13

Doa untuk menghadapi Pilihan Raya ke-13 mungkin telah lama dibacakan, namun begitu doa ini mungkin juga berbeza ungkapan dan pengisiannya, bergantung kepada orang yang membacakannya. Kalau calon yang bercadang untuk bertanding dalam PRU itu, maka tentulah ia akan berdoa supaya pucuk pimpinan partinya  akan mencalonkannya. Kalau yang sudah tentu akan bertanding. maka tentulah ia akan berdoa supaya ia menang dan lawannya kalah, dan kalau yang berdoa itu ialah pengikut parti politik tertentu, tentulah ia akan berdoa untuk kemenangan partinya.  
Hanya orang-orang yang mungkin tidak siuman saja yang akan berdoa supaya calon dari partinya tidak berjaya, atau orang yang direbut peluangnya untuk bertanding yang mungkin juga akan berdoa supaya calon partinya yang menggunakan payong terjun bagi merebut peluangnya itu tidak menang. Kalau dia tidak dicalonkan, yang tentulah hilang peluangnya untuk menjadi calon, maka biarlah orang yang merebut peluangnya itu juga kalah, walau pun dia dari parti yang sama, biarlah calon parti lawan yang menang, barulah puas hati!
Dalam keadaan ini, mengikut lojiknya maka parti yang banyak menerima sokongan  dari pengundilah yang akan memenangi pilihan raya.
Bagaimana pun, kehendak Allah SWT tidak sesiapa yang mengetahui atau menduganya. Maka dalam situasi ini mungkin akan ramai juga orang yang akan terbuka hati untuk berdoa bagi PRU ke-13 ini dengan doa yang tidak berat kepada kepartian, tetapi yang akan memohon kepada Allah swt supaya apa-apa sahaja keputusan PRU ini, maka hasil yang diharapkan ialah kesejahteraan negara dan rakyatnya,  kelangsungan suasana aman damai dan keharmonian semua, dan yang paling pentingnya ialah kedaulatan agama Islam yang tidak diganggu gugat, berserta kelangsungan para Raja yang menjadi pelindung agama Islam dan adat istiadat  Melayu.
Doa yang penting sekali ialah kehadiran suasana yang menjamin kesetabilan sosial, ekonomi  dan politik negara ini. Kesetabilan inilah yang akan menjamin kesejahteraan rakyat umumnya, yang sekali gus menjamin keamanan dan kemakmuran semua. Marilah kita berdoa ke arah itu.
Dalam seminggu kita ada tujuh hari, berdoalah setiap hari, tujuh hari seminggu, dan jadikanlah angka tujuh ini sebagai angka yang beruntung bagi kita, atau sekurang-kurangnya bagi saya. Semasa saya kecil, ayah saya selalu menyuruh saya melakukan sesuatu sebanyak tujuh kali.., termasuk membanyakkan kerja dan doa pada tujuh haribulan...

Oleh itu tenguk-tenguklah dalam kalendar kita tahun 2013 ini berapa kali lagi kita ada 7 haribulan. Namun begitu, janganlah menjadi taksub, semua angka dan hari mungkin sama saja pada pandangan kita untuk berdoa bagi kesejahteraan kita semua selepas PRU ke-13. Malah angka 13 ini pun kalau mengikut orang Barat adalah angka yang tidak baik, sehingga rumah mereka pun tidak mereka pakai angka 13, dan digantikan dengan 12 A bagi rumah yang sepatutnya berangka 13, kemudian terus lompat ke angka 14, tetapi kepercayaan itu adalah merupakan khurafat saja, dan bagi kita apa-apa angka saja yang datang, maka yang perlu diharapkan ialah kebaikan untuk semua...

Berdoalah semua untuk kebaikan dan kesejahteraan, dan berdoalah untuk Allah SWT elakkan kita dari perangkap dan jerat yang akan menjahanamkan kita, serta gaung dan jurang yang akan menghancur leburkan negara dan rakyat semua..Untuk mencapai tujuan suci ini semua orang haruslah berfikir dengan rasional dan matang sebelum membuat keputusan yang silap nanti....Insya'Allah. 

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....