TRAGEDI LAHAD DATU: HARUSKAH DIPOLITIKKAN?





1-TRAGEDI BERDARAH DI LAHAD DATU: Jangan diekploitasi untuk keuntungan politik

Berita terakhir menyatakan 8 anggota Polis Malaysia telah terkorban, sekiranya berita itu benar. Ahli politik sama ada pihak Kerajaan atau Pembangkang haruslah mengawal perasaan dan sentimen masing-masing, supaya memfokuskan perhatian kepada insiden berdarah ini, dan seterusnya bekerja sama untuk mangatasi kemelut yang mengancam keselamatan negara.

Dunia tamadun sering berpadu tenaga dan usaha untuk menghadapi musuh bersama, bukan mencari kesalahan orang untuk mencari kemenangan politik, terutamanya dalam menghadapi PRU yang hampir tiba. Usaha pasukan keselamatan tentulah akan terganggu sekiranya mereka diganggu oleh ahli politik yang membuat tuduhan kepada mereka, secara langsung atau tidak langsung.

Isu sekarang ialah isu keselamatan dan keamanan negara, bukan isu tuduh menuduh. Orang yang memberontak sebagai musuh itu tidak perlu dipersoalkan sekarang tentang kedudukan mereka , sama ada mereka rakyat Malaysia atau tidak. Bukan isunya mereka mempunyai IC Malaysia atau tidak, untuk mengundi atau tidak, tetapi mereka adalah musuh yang telah menjadi pembunuh.

Berpolitik biarlah ada sempadannya, sempadannya haruslah difikirkan sendiri oleh orang politik sebagai pemimpin yang matang dan mempunyai pengikut yang banyak. 

Kerajaan tidaklah harus diganggu dalam situasi dan keadaan yang genting ini. Sesiapa pun yang menjadi Kerajaan akan mengambil sikap yang sama sekiranya berlaku kerisis seperti ini, jadi janganlah Kerajaan pula dituduh dengan berbagai-bagai tuduhan.

Saya pun pada mulanya tidak faham kenapakah Kerajaan tidak hantar sahaja tentera, kapal perang dan sebagainya untuk hancurkan penceroboh itu? Tetapi dari beberapa maklumat yang saya kumpul, ternyata bahawa penggunaan tentera untuk menentang penceroboh ini maknanya kita mengisytiharkan perang ke atas satu Kerajaan "yang tidak wujud" yang didakwa oleh penceroboh ini, yang bererti kita mengakui kewujudan mereka dan segala tawanan serta urusan lain dalam "peperangan" ini adalah tertakluk kepada perjanjian Geneva, sedangkan mereka ini adalah penderoboh biasa yang mengganggu keamanan dan keselamatan di dalam negara kita, maka pasukan polis yang harus menanganinya. Itulah yang saya faham, dan mungkin saya pun silap dalam hal ini.

Pada saat genting inilah kita memerlukan fikiran yang tenang, dan jangan cuba mengalihkan pandangan kepada  isu lain, selain dari isu pokok iaitu pencerobohan dan kekerasan untuk cuba menyelesaikan satu tuntutan kawasan tanah yang didakwa milik mereka. Hal ini sering berlaku di dalam dunia kita pada masa kini, iaitu mencari sesuatu penyelesaian secara keganasan dan pertumpahan darah. Nabi Muhammad SAW tidak pernah mengambil jalan kekerasan untuk menyelesaikan kerisis dan pertikaian dengan sesiapa, termasuk dengan musuhnya. Kita yang sering mendabik dada memahami ajaran dan nilai akhlak Islam hari ini sering melupakan ajaran baginda..

Tegakkan keamanan dahulu, kemudian bolehlah berdialog dan berbincang bagi menyelesaikan masalah sama sendiri. Bukan dalam masa kerisis besar ini, kita sesama kita mencari jalan untuk berkerisis sama sendiri, mencari salah orang, dan merasakan diri kita saja yang benar. Insiden ini merupakan insiden besar yang mencabar maruah dan integriti bangsa, agama dan negara kita.

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....