PRU 13. BERMULA KEMPEN NEGATIF
PERMULAAN KEMPEN YANG NEGATIF.
Di ambang pembubaran parlimen, dan di kala rakyat Malaysia menanti tibanya hari penamaan calon, seterusnya menunggu untuk membuang undi pada hari pengundian nanti, kempen politik telah pun bermula. Malah kempen untuk PRU ke-13 tidak pernah berhenti sejak lama dulu dengan segala sepak terajang dan langkah silatnya yang berbagai bentuk, seolah-olah PRU ke-13 telah pun menjelang.
Kini, setelah tiba masanya PRU ke-13 memang benar-benar berada di ambang pintu, maka kerancakan kempen dan gendang perang di antara parti politik kedengaran semakin nyaring dan para pahlawan parti yang berjuang kelihatan semakin garang dengan segala gelagat dan lakonannya yang amat berwarna warni sekali.
Banyak bentuk kempen yang mengambil jalan yang lurus dan beretika, tetapi banyak lagi yang mengambil jalan yang agak ganas dan tidak beradab, sama ada dilihat dari segi budaya dan adat tradisi bangsa Malaysia, apa lagi dari hikmah ajaran agama yang dianuti oleh rakyat Malaysia umumnya, dan agama Islam sendiri yang amat ideal itu.
Hari ini saya membaca portal berita tentang satu kenyataan yang saya rasa mengandungi mesej yang baik tetapi agak keras, iaitu kenyataan Lim Guan Eng, KM Pulau Pinang, yang berbunyi "Sebaik sahaja kami tawan Putrajaya, Perdana Menteri baru, Dato' Sri Anwar Ibrahim, akan keluar arahan pertama kepada semua lapangan terbang supaya jet peribadi tidak dibenarkan membuat penerbangan...."
Mengikut beliau "...... dikeluarkan malam ketika keputusan diumum - tak mahu pemimpin yang didakwa kuat "curi" harta rakyat sebelum ini melarikan diri..."
Saya merasakan bahawa para penyokong parti politik masing-masing tentulah tidak merasakan sesuatu yang ganjil dalam kenyataan ini, terutamanya kerana ianya dikeluarkan oleh tokoh parti yang sedang berkuasa di negerinya dan bakal mengambil tempatnya di tengah-tengah pentas pemerintahan apabila impiannya agar partinya menawan Putrajaya itu akan benar-benar berlaku seperti yang ditegaskannya itu.
Tetapi bagi rakyat biasa yang tidak taksub parti, dan sering mengambil jalan pertengahan untuk kebaikan rakyat dan kesejahteraan negara, terutamanya dalam negara yang amat unik dengan kepelbagaian kaum dan budaya serta anutan agamanya ini, hal ini tentulah menimbulkan seribu satu pertanyaan dan persoalan yang tidak mungkin dijawab dalam kenyataan tersebut.
Isu siapakah Perdana Menteri baru pun nampaknya belum terjawab secara terang yang dapat di ketahui oleh rakyat umum. Malah sekiranya PM baru itu telah muktamad, maka apakah isu penutupan lapangan terbang untuk jet persendirian ini telah dipersetujui oleh PM "baru" itu? Malah timbul pertanyaan apakah keputusan ini telah disepakati oleh komponan parti yang membentuk Kerajaan PR itu?
Soal "mencuri" harta rakyat adalah agak samar dan mengelirukan, adakah ianya berdasarkan personaliti politik dari parti lawan, rakyat biasa, anggota parti sendiri, atau siapa? Dan adakah berdasarkan spekulasi media, kabar dari lawan yang dengki dan cemburu, fitnah dan sebagainya? Apakah Kerajaan yang hanya baru diumumkan kemenangannya telah dapat bertindak sebagai mahkamah yang boleh mengambil keputusan untuk menahan "orang" yang dianggapnya pencuri sebelum lagi mahkamah membuat keputusan dan merampas paspot orang berkenaan supaya orang itu tidak melarikan diri?
Sebab itulah telah saya tegaskan di atas bahawa keputusan untuk menghukum "pencuri" itu adalah baik, tetapi untuk menentukan siapakah pencuri itu adakah hanya dapat dilakukan dengan keputusan politik kepartian berdasarkan kes yang belum pun di dengar oleh mahkamah dan belum pun diputuskan mengikut proses undang-undang yang menjadi amalan demokrasi negara kita, yang dengan amalan demokrasi itulah akan ditentukan saiapakah yang akan membentuk Kerajaan menjelang PRU ke-13 nanti.
Kempen-kempen seperti ini haruslah ditapis dan tidak seharusnya disensasikan. Saya tidak menujukan pandangan saya ini kepada KM Pulau Pinang, tetapi saya menyebutnya sebagai satu contoh sahaja sebagai pandangan seorang biasa yang tidak terlibat aktif dalam politik, dan hanya menjadi sebagai pemerhati sahaja untuk kesejahteraan negara dan keamanannya. Saya berpandangan secara peribadi bahawa kenyataan politik memanglah sesuatu yang harus dilakukan oleh sesiapa sahaja untuk kebaikan dan kepentingan negara dan rakyat sesebuah negara yang sedang membangun pesat seperti negara kita ini. Malah amat baik sekali sekiranya kenyataan politik itu dilakukan dengan lebeh beretika, tidak mengandungi ugutan umpamanya, dan bersifat konstruktif dengan menyedari sensitiviti rakyat kepelbagaian kaum, budaya, bahasa dan agama.
Saya menyedari bahawa komen saya mungkin menimbulkan berbagai-bagai reaksi dan perasaan orang, tetapi saya juga menyedari bahawa dalam banyak hal kita di negara ini haruslah juga sentiasa mengambil jalan tengah untuk kebaikan semua kerana kemajuan negara, keamanan dan kesejahteraan rakyat bukan hanya dalam politik kepartian sahaja tanpa mengambil kira perasaan orang lain yang menganuti berbagai-bagai kefahaman dan ideologi, terutamanya ideologi politik kepartian.
Kesejahteraan rakyat umumnya haruslah diletakkan paling atas. Apa-apa saja yang boleh mengganggu kesejahteraan rakyat, fizikal, mental, rohani dan jasmani, haruslah diberikan perhatian berat, kerana dalam keadaan dunia yang kucar kacir dan penuh dengan noda ini, manusia cenderung menjadi semakin ganas dan buas, merompak dan memberontak, maka orang-orang yang mengalami penyakit mental dan jiwa akan berkeliaran dengan lebeh banyak lagi, melakukan kepelbagaian tindakan yang biasanya tidak dilakukan oleh orang-orang yang sihat jiwa dan akal fikirannya.
Inilah juga diantara perkara yang seharusnya disedari oleh semua rakyat dari pelbagai sektor dan lapangan, terutamanya ketika berlaku kempen yang sengit dalam mencari kuasa politik sekarang ini. Janganlah disebabkan nila setitik, rosak susu sebalanga!!
Comments
Post a Comment