UJIAN TRAGEDI LAHAT DATU: APAKAH RESPON KITA?


3-TRAGEDI LAHAD DATU: UJIAN UNTUK UMAT ISLAM

Memanglah rakyat dan pemerintah Malaysia menghadapi ujian besar dengan tercetusnya peristiwa pencerobohan rakyat asing ke atas Sabah. Ujian yang amat besar ialah kerana penceroboh merupakan pejuang yang kebanyakannya beragama Islam dan kita juga merupakan majoriti umat Islam, termasuk anggota pasukan keselamatan, Polis dan Tentera, yang terpaksa menghadapi musuh yang melanggar negara kita itu.

Masyarakat kita dalam zaman kemajuan dan tamadun ini tidak pernah mengalami peristiwa seperti ini, iaitu ketika umat Islam sesama Islam harus bertempur dan berusaha untuk membunuh diantara satu dengan yang lain.  Tentunya bukan mudah untuk membunuh  sesama insan, apa lagi saudara sesama agama, iaitu agama Islam, kerana kita semua memahami konsep bahawa masunia ini seluruhnya adalah merupakan makhluk kejadian Allah Yang Maha Esa, terutamanya Muslim sesama Muslim itu adalah bersaudara.

Saya rasa kita amat sukar menggunakan senjata untuk membunuh sesiapa pun. Atas sifat budaya dan naluri umat Melayu sendiri, tindakan kejam ini tidaklah merupakan sesuatu yang direstui oleh tradisi dan adat resam kita, terutamanya umat Melayu setelah menerima agama Islam, maka nilai-nilai murni agama Islam ini amat meresapi ke dalam jiwa dan hati nurani umat Melayu, yang menambahkan lagi komitmen umat Melayu Islam di negara kita terhadap ajaran agama, dan tindakan membunuh adalah merupakan dosa besar yang mesti dijauhi.

Maka dalam konteks inilah rasanya tragedi di Sabah telah dihadapi dengan penuh sabar oleh pemimpin dan rakyat Malaysia, khususnya oleh umat Melayu sendiri, yang telah berusaha seboleh-bolehnya agar peristiwa ini merupakan kejadian sementara yang dapat diselesikan secara aman dan damai, kalau boleh tanpa sebarang pertumpahan darah dan pertempuran bersenjata, dan hal inilah yang telah cuba dilakukan oleh negara kita dengan mengadakan perundingan diantara pihak kita dengan para penceroboh itu agar kerisis ini dapat diselesaikan secara perundingan, aman dan damai. Namun hal ini tidak berjaya, sehingga akhrinya polis kita pula telah ditembak mati, dan pada ketika itulah nampaknya pasukan keselamatan kita terpaksa membalas serangan sebagai mempertahankan diri dan mengelak dari kemalangan jiwa yang lebeh banyak.

Malangnya pihak penceroboh, yang tidak mempunyai hak dari segi undang-undang untuk menuntut negara berdaulat yang dimiliki Malaysia, nampaknya rela berkorban dan masih bertekad untuk menyelesaikan isu ini dengan kekerasan bersenjata, sehingga akhirnya pada masa ini nyawa mereka yang terkorban meningkat  lebeh dari 50 orang.


Saya percaya pihak pasukan keselamatan kita tentulah mempunyai dasar kemanusiaan, iaitu tujuan menentang musuh ialah untuk menawan dan menangkap mereka, bukan untuk membunuh sekiranya hal itu dapat dijalankan dengan tidak membahayakan diri sendiri (to capture not to kill). Tetapi apakan daya...tujuan yang penuh hikmah ini akhirnya disalah ertikan oleh musuh dengan tindakan mereka memulakan tembakan sehingga mengorbankan nyawa Polis kita.


Tentang ujian Allah ini, saya terbaca kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di dalam akhbar Sinar Harian on line pada 8 Mac 2013 yang lalu yang saya petik dari portal  berita tersebut seperti berikut, apabila diminta supaya memberi komen tentang tragedi Lahad Datu: "Sama-samalah kita berdoa supaya negara kita selamat, kejadian itu merupakan ujian kepada umat Islam yang menolak Islam dan berasa dialah tuhan"

Saya cenderung untuk mengambil sikap berkecuali dalam isu ini, iaitu tidak menyokong atau membantah kenyataan beliau ini, cuma komen saya bahawa ujian Allah itu merupakan satu proses yang berterusan kepada manusia, termasuklah umat Islam yang menerima Islam dan mengaku bahawa Allah itu adalah Tuhan mereka, kerana ujian Allah adalah mengandungi berbagai-bagai rahsia, termasuk memberikan kesedaran dan mengingatkan manusia yang mungkin agak lalai dan leka, bersikap sabar dan tawakkal serta berusaha mengatasi kesusahan dan sebagainya, maka dalam keadaan ini tidak lah ujian itu semestinya menimpa  mereka yang menolak Islam atau mengaku menjadi tuhan, yang mungkin juga dalam konteks ini seolah-olah kita mendapat satu persepsi bahawa orang-orang Islam di Malaysia ini atau pemimpinnya (pemimpin politik, tanpa mengira parti tertentu, pemimpin masyarakat dan semua pemimpin dalam segenap sektor)  menolak Islam dan merasa bahawa diri mereka itulah tuhan, maka sebab itulah mereka diuji dengan insiden pencerobohan ini. 


Kita di Malaysia, pada dasar dan prinsipnya,  menerima Islam dalam semua aspek dan lapangannya, termasuk dalam Perlembagaan, cara haidup, institusi ekonomi, pendidikan, sosial, keluarga, perundangan dan sebagainya. Oleh itu ujian yang ditimpakan kepada kita tentulah mempunyai kepelbagaian dimensinya, bukan kerana kita menolak Islam, atau mengaku diri sebagai tuhan. Rasulullah SAW sendiri menerima ujian dalam usahanya mengembangkan agama Allah, yang saya rasa  umat kita umumnya amat mengetahuinya dengan baik tentang hal ini.


Allah berfirman di dalam al-Quran bahawa "Demi sesungguhnya Kami (Allah) akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta benda dan kehilangan jiwa, serta hasil tanaman,  dan berilah kabar gembira kepada orang-orang yang sabar (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah, dan kepada Allah jua lah kami kembali.." Surah Al-Baqarah ayat 155-156


Maka dalam konteks ini semua umat Islam dan para pemimpinnya haruslah mengambil sikap yang positif dalam menghadapi kerisis Lahad Datu ini, iaitu sikap berhikmah dan berilmu, sambil menjauhi sikap salah menyalahkan orang lain terutamanya sesama umat Muslimin sendiri.


Malah dalam kenyataan yang sama Datuk Nik Aziz juga menyatakan dengan jelas "Sama-samalah kita berdoa supaya negara kita selamat...." Amin ya rabbal 'alamin...

 



Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....