DS NAJIB DAN JEMAAH TABLIGH...JALUR KETIGA?



JEMAAH TABLIGH SEBAGAI JALUR KETIGA

Melihat kunjungan PM Najib ke masjid Sri Petaling malam tadi, beramah mesra dan bersembahyang kemudian mendengar tazkirah dengan para jemaah di masjid tersebut, mengingatkan saya kepada pencarian kumpulan yang mungkin agak berkecuali untuk menjadi "jalur ketiga" dalam memberikan pandangan tentang perselisihan pendapat mengenai Islam di dalam dunia politik negara kita ini.

Saya teringat begitu kerana selama ini jalur ketiga yang sering muncul, terutamanya di media cetak atau letronik, sering dilihat sebagai golongan yang berat sebelah kepada ideologi politik kepartian, walau pun hakikatnya tidak begitu. 

Kumpulan Tabligh ini, menurut fahaman saya, menumpukan aktiviti dan kefahaman mereka semata-mata untuk dakwah mengikut cara mereka, iaitu berat kepada kerohanian dan kehidupan sederhana dengan keterampilan serta methodologi dakwah mereka sendiri yang amat unik. 

Mereka tidak kelihatan dalam aktiviti kemasyarakatan yang melibatkan politik negara dan pentadbirannya, sepanjang yang saya saksikan, iaitu selain dari bermuhasabah diri dan bertazkirah sesama kumpulan mereka, sama ada di dalam atau di luar negara.

Oleh itu saya rasa, kumpulan ini amatlah dekat dengan kehidupan kerohanian manusia Muslim yang asli dan bersih dari sebarang permainan dunia kebendaan dan kemegahan yang sering menjadi amalan umat Islam sekarang ini, dan mereka juga nampakya menjauhkan diri dari terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan kehidupan yang penuh dengan fitnah serta pergeseran di antara sesama umat yang dapat kita saksikan amat berleluasa pada hari ini, dan mulai menjalar dengan bahayanya ke dalam masyarakat Islam di negara kita ini.

Oleh itu saya fikir, masanya telah tiba bagi para pemimpin dan ketua kumpulan ini untuk keluar ke tengah-tengah masyarakat Islam di negara kita ini dan melihat serta mengkaji akan bibit-bibit perpecahan dan pergeseran di antara umat Islam yang berpecah akibat dari permainan politik kepartian pada hari ini, dan mungkin boleh memainkan peranan mereka untuk menyumbang pemikiran dan pandangan bagi membawa pemikiran umat Islam keseluruhannya, tanpa mengira ideologi politik kepartian, ke arah penyatuan pandangan dan ilmu tentang sesuatu isu yang menjadi pertikaian itu.

Sebagai kumpulan yang tidak terlibat dengan ideologi politik kepartian, mereka mungkin dapat bertindak dengan lebeh adil dalam menganalisa sesuatu isu bagi negara kita ini, kerana isu-isu yang sering ditimbulkan oleh politik partisan ialah isu-isu popular untuk menarik pengundi bagi menyokong parti yang tertentu dalam PRU ke-13 nanti, walau pun isu itu sebenarnya amat bertentangan dengan ajaran Islam sendiri, seperti isu kalimah Allah, negara Islam atau sekular, perjuangan Islam atau tidak, menolak agama dan sebagainya, yang sering menjadi fitnah dalam masyarakat Islam di negara kita dan mengelirukan orang awam yang tidak memahami isu yang sebenarnya, malah mendapat persepsi yang amat salah dalam kebanyakan hal.

Kumpulan Tabligh sendiri haruslah memahami isu-isu yang dipertikaikan ini dari perspektif Islam yang sebenarnya, bukan dari analisis politik partisan, dan sebagai kumpulan yang sentiasa berdampingan dengan ilmuan dan pendakwah, dalaman dan luar negara, mereka sepatutnya memahami isu-isu ini tanpa taksub dan sebagainya, malah mereka tentulah juga merupakan golongan rakyat yang bertanggung jawab untuk mengundi di dalam pilihan raya.

Saya tidak fikir kumpulan ini menglami sebarang gangguan atau tekanan dari pihak berkuasa negara kita ini, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri atau agensi-agensi agama di sini, yang menunjukkan bahawa sebarang aktiviti mereka adalah dipandang sebagai aktiviti yang sihat semata-mata untuk berdakwah kepada ajaran agama Islam yang suci murni. Pendirian ini amatlah baik bagi mereka untuk mendapatkan ruang yang luas bagi menjalankan aktiviti mereka dengan rancaknya di negara kita ini.

Oleh itu saya rasa mereka juga akan mendapat simpati dan kerjasama dari Kerajaan sekiranya mereka mempunyai niat suci dan semangat keislaman yang kental untuk membantu perkembangan dan pembangunan dakwah Islamiah sebagai aktiviti arus perdana di tengah-tengah masyarakat di negara kita ini. 

Yang saya sebutkan ini hanyalah merupakan pandangan peribadi saya sahaja, sebagai orang biasa yang menghormati aktiviti dan pendirian kumpulan Tabligh ini. Saya juga tidak pasti apakah kefahaman saya tentang kumpulan ini seperti yang saya catatkan di atas, benar atau tidak. Kalau benar, alhamdulillah, dan kalau tidak, saya mohon maaf, tetapi sebagai kumpulan yang amat gigih berdakwah, saya rasa masanya amat sesuai bagi mereka untuk keluar ke tengah-tengah masyarakat Islam di negara kita ini bagi membantu kekalutan pemikiran dan kekeliruan fahaman agama yang sering timbul dalam aktiviti keislaman yang bersadurkan politik kepartian yang melampau.

Kumpulan ini tentulah mempunyai niat yang baik untuk kesatuan ummah. Oleh itu kesatuan ummah yang telah tertegak dengan kukuhnya selama ini haruslah dipertingkatkan lagi, bukan dikucar kacirkan kerana pertikaian masalah politik sempit yang menggunakan platform Islam dan syiarnya. 

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....