Kemelut Polarisasi Agama




Kita Perlu Fokus Tentang Kalimah Allah


Kita sering menghadapi masalah ketika membicarakan sesuatu isu, iaitu kita sering membincangkannya secara umum tanpa memfokuskan kepada isu yang sedang kita bicarakan.

Isu pengharaman penggunaan kalimah Allah yang dibawa kepada mahkamah dan telah dibuatkan keputusannya oleh Mahkamah Tinggi, kemudiannya oleh Mahkamah Rayuan, ialah tentang penggunaan kalimah Allah di dalam mingguan katholik The Herald.

Mahkamah yang membicarakan kes ini telah memutuskan bahawa The Herald boleh menggunakan kalimah Allah, tetapi Mahkamah Rayuan kemudiannya memutuskan bahawa orang bukan Islam tidak seharusnya menggunakan kalimah Allah, oleh itu The Herald tidak seharusnya meneruskan penggunaan kalimah ini.

Inilah isu dan kes yang dibawa ke mahkamah, ketika mahkamah telah pun membuat keputusannya. Keputusan mahkamah seharusnya dihormati oleh semua, dan sekiranya proses keadilan itu masih diteruskan, maka tidak seorang pun berhak membuat kenyataan bantahan tentang keputusan mahkamah tersebut, iaitu dalam konteks ini ialah penggunaan kalimah Allah oleh The Herald.

Yang menambahkan lagi kerumitan dan kemelut isu ini ialah apabila pengarang The Herald telah  menimbulkan  isu kedua, apabila dia membuat kenyataan bahawa kalimah Allah akan digunakan oleh gereja di Selangor. 

Kenapakah setelah kalah dalam mahkamah rayuan tentang kes penggunaan kalimah Allah itu, tiba-tiba pengarang The Herald sendiri menimbulkan isu lain pula tentang penggunaan kalimah Allah di dalam gereja di Selangor, sedangkan hal ini telah pun selesai, iaitu dengan wujudnya kelonggaran penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam yang hanya dibenarkan di Sabah dan Sarawak di dalam gereja mereka di sana dengan beberapa syarat yang tertentu.

Bukankah hal ini secara terang-terangan mencabar umat Islam di Semenanjung, yang telah pun bersikap toleransi kepada penganut Kristian dalam kes ini di Sabah dan Sarawak? Dan yang semakin menghiris perasaan umat Islam di negara kita ialah ketika berlaku protes oleh orang Melayu dan Islam, termasuk rampasan Bible berbahasa Melayu di Selangor, maka hal ini dikatakan menyentuh perasaan orang Kristian, sedangkan rasa tersinggung umat Islam tidak dibicarakan.

Kenyataan Sultan, atau Bekas Perdana Menteri, mungkin hanya dipandang sepi sahaja, malah di bantah, kerana dalam keadaan sekarang ini orang tidak lagi menghormati nasihat dan panduan dari pihak atasan yang dirasakan tidak memberi erti apa-apa lagi. 

Sikap polarisasi melampau sedang melanda masyarakat kita sekarang ini, yang membentuk sifat dan pendirian ekstrem dan melampau, tidak seperti masa-masa yang lalu, ketika rakyat amat menyanjung tinggi nilai-nilai toleransi, persefahaman dan apa-apa sahaja yang menjadi ramuan penyatuan bangsa Malaysia.

Saya merasakan bahawa sebelum hal ini ditimbulkan tanpa pemusatan kepada isu yang sebenarnya, maka semua orang haruslah memberhentikan konflik dan perdebatan yang terkeluar dari isu asalnya, dan hanya menimbulkan kekeliruan semua orang tanpa penyelesaian.




Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....