PERLU KEFAHAMAN BERSAMA
MENCAMPURI URUSAN AGAMA LAIN DAN SEMPADANNYA
Polarisasi agama yang melanda masyarakat kita sekarang tidak pernah berlaku selama ini. Mungkin polarisasi agama seperti ini merupakan sesuatu yang baru dalam sejarah hubungan kaum dan agama di negara kita. Setahu saya hubungan antara kaum berbagai agama di negara kita selama ini tidak pernah mengalami kerisis seperti sekarang. Dan hal ini besar kemungkinan telah berlaku kerana kurangnya kepekaan masyarakat kita tentang agama orang lain, dan kerana kita tidak lagi menggariskan had dan sempadan yang seharusnya dijaga ketika kita mencampuri urusan dan falsafah ketuhanan agama lain.
Bagi orang Islam, Al-Quran dengan jelasnya telah menerangkan perkara ini di dalam surah Al-Mumtahanah (60) ayat 7 dan 8, iaitu tentang perhubungan antara umat Islam dengan orang lain di dalam dunia ini.
Ayat 7 dimulakan dengan kenyataan yang amat positif tentang sosialisasi orang Islam dengan orang lain, iaitu dengan firman Allah SWT:
"Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil"
Ayat ini amat positif kepada perhubungan manusia, termasuk manusia yang berlainan kepercayaan dan agama, iaitu orang Islam seharusnya berbuat baik dan berlaku adil kepada sesama manusia di sekeliling mereka, selama mana orang itu tidak bertidak memerangi atau memusuhi umat Islam kerana agama mereka.
Syarat kedua ialah umat Islam seharusnya berlaku adil dan membuat baik kepada orang-orang lain selama mana mereka itu tidak bertindak untuk mengeluarkan orang Islam dari kampung halaman dan negara mereka.
Inilah sebenarnya keadilan Islam kepada manusia, dan sikap orang Islam terhadap orang lain, iaitu akan sentiasa berbuat baik dan berlaku adil kepada orang lain selagi orang lain itu menjaga kehormatan dan rumah tangga atau negara umat Islam itu sendiri.
Ayat 8 dari surah ini seterusnya telah menggambarkan kepada umat Islam bagaimana sekiranya syarat-syarat damai yang telah disebutkan di dalam ayat 7 yang lalu itu tidak dijaga dan dipelihara, maka akibatnya dijelaskan seperti berikut:
"Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu) dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu, dan ingatlah sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim"
Inilah penjelasan yang sudah terang lagi bersuluh dari Al-Quran tentang sempadan dan had yang seharusnya difahami oleh orang Islam dan bukan Islam, iaitu saetakat mana urusan agama lain itu dapat dicampuri, dan bilakah permusuhan yang dilakukan oleh orang lain itu harus dibalas.
Umat Islam tidak seharusnya mencampuri akidah dan ibadat atau falsafah ketuhanan agama lain, maka demikian juga, umat lain tidaklah seharusnya mencampuri urusan akidah umat Islam, ibadatnya serta konsep ketuhanannya, yang seharusnya difahami sempadan-sempadan ini dengan baik dan luas sekali.
Kegagalan memahami prinsip inilah rasanya yang menimbulkan kerisis terakhir diantara rakyat berbagai agama di negara kita ini, terutamanya isu-isu sensitif agama pada masa kini, seperti konsep ketuhanan yang hendak disamaratakan diantara pelbagai agama sekarang ini.
Al-Quran menjelaskan tentang permusuhan kerana agama dan kedaulatan rumah tangga serta negara, yang menjadi dasar utama manusia, dan hal ini tidak seharusnya disentuh oleh orang lain.
Saya amat mengharapkan bahawa orang Islam dan bukan Islam haruslah memahami dasar ini dengan sebaik-baiknya bagi kepentingan bersama. Keadaan yang berlaku pada hari ini telah melampaui batasan tamadun manusia, dan merupakan satu sejarah hitam yang amat mencemarkan masyarakat kita.
Comments
Post a Comment