SECURITY AND PUBLIC ORDER



KALIMAH ALLAH: KESELAMATAN DAN KETENTERAMAN AWAM

Penganut Kristian dan Islam yang sama-sama menuntut hak, iaitu penganut Kristian mengatakan mereka berhak menggunakan Allah sebagai Tuhan mereka, dan para penganut Islam yang mengatakan bahawa mereka sahaja yang berhak menggunakan Allah untuk Tuhan orang Islam, sekarang ini haruslah diberikan amaran bahawa tujuan asal mecegah penggunaan Allah kepada agama Kristian dan Allah hanya berhak digunakan oleh orang Islam, ialah atas dasar  menjaga keselamatan dan memelihara ketenteraman awam.

Oleh kerana Fatwa pun tidak dihormati, keputusan mahkamah pun tidak di patuhi, malah titah Sultan pun dikatakan tidak boleh diaplikasikan kepada orang bukan Islam, maka telah sampai masanya pihak berkuasa memberhentikan konflik dan kerisis ini dengan kembali kepada tujuan asal kenapakah orang Kristian tidak boleh menggunakan kalimah Allah, dan kalimah ini hanya untuk orang Islam, iaitu bertujuan untuk menjaga ketenteraman awam (public order) dan keselamatan negara (security).

Selama ini penganut agama lain menyedari tentang sesitiviti umat Islam tentang kalimah ini, iaitu dari segi konsep, budaya, etomologi bahasa dan tradisi serta keturunan Melayu di Semenanjung tentang kalimah ini, menyedari pula tentang Islam dalam Perlembagaan Persekutuan dan negeri-negeri, malah kedaulatan institusi Raja-Raja dalam menjaga agama Islam dan adat istiadat Melayu, dan selama ini mereka menghormati hakikat ini, maka apa bila timbul sikap melampau dalam waktu-waktu mutakhir ini, maka pihak berkuasa pemerintahan negara kita haruslah berusaha mengambil tindakan yang berkesan supaya perkara ini tidak berlarutan sehingga boleh mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara kita.

Konflik dan kerisis yang amat membahayakan negara dan mangancam ketenteraman rakyat dan keselamatannya haruslah tidak dibiarkan berterusan sehingga kerisis ini yang boleh diibaratkan seperti api di dalam sekam, yang kemudiannya mungkin akan merebak dan membakar satu negara.

Saya masih ingat bagaimanakah Kerajaan segera mengambil tindakan memberhentikan penggunaan novel Interlok sebagai buku teks sastera di sekolah, semata-mata kerana hendak menjaga sesitiviti kaum India di negara kita yang tidak mahu dilebalkan sebagai Paria seperti yang digambarkan di dalam buku novel tersebut, walau pun hal ini tidak menjadi isu sebelumnya, tetapi kerana hal ini baru ditimbulkan, maka pihak berkuasa segera mengambil tindakan. Tindakan ini adalah diambil untuk menjaga security dan public order negara kita.

Media penyokong gerakan kebebasan mutlak dalam agama, sering menggalakkan penentangan terhadap otoriti. Gerakan merampas Bible oleh JAIS, fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan dan lain-lain lagi dianggap sepi, termasuk perintah mahkamah rayuan yang dikeluarkan pada 14 Oktober 2014. Lihat saja satu tajuk berita yang berbunyi "Despite raid, Bible Society to continue distributing Bahasa Malaysia and Iban bibles..."

Bermain api agama inilah yang telah mengakibatkan kacau bilau dan kekerasan yang berlaku di antara penganut berbagai agama di negara-negara tertentu di dunia ini. Penganut Islam akan membakar gereja, dan penganut Kristian akan membakar Masjid umpamanya, seperti contohnya yang telah kita saksikan berlaku di banyak pelusuk dunia pada hari ini. 

Inilah sebenarnya gangguan ketenteraman awam dan keselamatan negara yang seharusnya segera ditangani oleh pihak Kerajaan. Telah berlalu masa yang agak panjang ketika tercetusnya isu ini di Semenanjung ketika perbicaraan dijalankan di mahkamah tentang penggunaan kalimah Allah oleh The Herald.

Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan Allah ini telah mengeluarkan keputusannya pada 31 Disember 2009. Mahkamah Rayuan yang membuat keputusan tidak membenarkan agama lain selain daripada Islam menggunakan kalimah Allah telah mengeluarkan keputusannya itu pada 14 Oktober 2013. Lihatlah sendiri betapa lamanya jarak masa yang telah berlalu ketika isu ini ditimbulkan dinegara kita.

Setelah lima tahun berlalu dan kes ini semakin marak menyalakan api perkauman dan keagamaan, maka telah tibalah masanya hal ini diberhentikan serta merta.

Pihak Kerajaan mempunyai tanggung jawab untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman awam, maka atas dasar ini Kerajaan bolehlah mengambil tindakan tanpa berpihak kepada mana-mana agama dan kaum. Malah semua penganut agama janganlah hanya menuntut hak mereka, tetapi mereka haruslah bertanggung jawab membantu Kerajaan untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman awam ini.

Sebarang hak yang dituntut hendaklah disertakan dengan tanggung jawab yang seharusnya dilaksanakan oleh semua orang yang jujur dan ikhlas untuk negara ini.

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....