APABILA TIBA MASANYA
SATU TAKDIR MENIMPA PESAWAT DIANGKASA
Ratusan atau mungkin ribuan pesawat kecil dan besar terbang di angkasa setiap hari membawa ratusan ribu penumpang dan cargo. Tetapi apabila sebuah sahaja ditimpa kemalangan, hilang dari udara tanpa mendarat di mana-mana, maka kesimpulannya ialah pesawat itu telah terhempas, jatuh ke dalam dasar lautan, ke dalam hutan belantara, ke tengah-tengah padang pasir dan sebagainya.
Sebuah sahaja pesawat terbang yang kemalangan, maka jutaan penghuni di atas muka bumi ini yang mengetahuinya dalam masa yang singkat, terutamanya dalam era taknologi maklumat yang canggih sekarang ini, dan apabila dunia menjadi kecil, sebagai sebuah perkampungan yang tidak bersempadan.
Pengangkutan yang paling selamat selama ini untuk perjalanan jauh dan dekat ialah pesawat terbang dibandingkan dengan pengangkutan darat dan mungkin juga pengangkutan lautan yang sering menemui kemalangan dan memakan korban di seluruh dunia dengan banyaknya. Tetapi apabila kemalangan sebuah pesawat menjadi berita dunia, maka kita menyangka bahawa pesawat terbang merupakan sebuah pengangkutan yang amat merbahaya.
Inilah yang terjadi kepada pesawat udara negara kita, MAS, apabila seluruh rakyat Malaysia merasa terkejut dan sedih atas kemalangan yang menimpa pesawat itu hari ini, Sabtu 8 Mac 2014, yang hilang dari pengesanan radar, dan tidak mempunyai sebarang isyarat kecemasan dari pemandunya, tiba-tiba pesawat itu yang sepatutnya mendarat di Beijing pada jam 6.30 pagi, tiba-tiba tidak mendarat.
Kita amat sukar membayangkan rasa sedih dan pilu, hancur luluh hati para keluarga yang mempunyai orang-orang tersayang di dalam pesawat yang hilang itu. Perasaan itu menjadi semakin meningkat sehingga ke kemuncaknya selagi untung nasib ahli keluarga yang menumpang pesawat itu tidak diketahui perihal yang sebenarnya.
Bagaimana pun, ujian dan mati hilang orang tersayang dan yang amat hampir dengan kita itu sering berlaku. Ujian ini sebenarnya menguji seteguh manakah keimanan dan kesabaran manusia, terutamanya yang mempunyai keyakinan kepada kuasa Allah SWT. Yang ditakdirkan Allah, tetap akan berlaku "apabila ajal mereka telah tiba, maka mereka tidak akan terlewat barang sesaat pun, dan tidak terawal barang sesaat jua"
Apabila Allah berfirman: Jadi lah, maka akan terjadilah ....Maha suci Allah yang memiliki segala sesuatu itu.............
Yang tinggal, yang masih bernafas dan bernyawa, haruslah meneruskan kehidupan ini dengan penuh keinsafan dan azam. Kematian dan kehilangan ahli keluarga bukanlah bererti kehilangan segala-galanya, kerana Allah tetap wujud dan kekal, dan Allah ialah tempat bergantung untuk memohon restu dan petunjuk, ketika seseorang itu meneruskan sisa-sisa umur dan usianya di dunia ini.
Meyakini takdir, qada' dan qadar Allah menjadikan seorang itu kuat dan bersemangat dalam meneruskan hidupnya. Segala amal bakti yang telah ditinggalkan oleh orang-orang yang telah pergi terdahulu, haruslah diteruskannya dengan lebih tabah dan penuh azam lagi, kerana semuanya adalah untuk berbakti kepada Allah, maha pencipta dan maha berkuasa.
Comments
Post a Comment