MAS - PESAWAT KESAYANGAN DUNIA
PAKAIAN PRAMUGARI MAS DAH BERTUKAR...?
MAS adalah pesawat kesayangan dunia, kerana ketika usaha mencari pesawat MH 370 ini, sebahagian besar negara dunia telah sanggup menghulurkan bantuan kebendaan dan peralatan, selain dari rasa simpati dengan kita....
Hal ini membuktikan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara sahabat bagi seluruh negara dunia, dari kalangan mana sekali pun, iaitu dari dunia Islam, ke dunia Asia, Eropah dan Amerika, (dan Russia juga).
Saya rasa semua rakyat Malaysia lebih sayang lagi kepada pesawat negara ini, dan ketika dalam kerisis kehilangan pesawat yang menyedihkan ini, semuanya bersimpati dan berdoa untuk keselamatannya.
Dalam keadaan genting inilah semua rakyat beralih kepada agama, terutamanya umat Islam, memalingkan permohonan kepada Allah SWT, berdoa, bersembahyang hajat, bermunajat dan memohon segala-segalanya dari Allah ketika mengiringi usaha yang sedang dilakukan oleh masyarakat negara kita dan antarabangsa untuk membantu Malaysia dan MAS.
Cuma dalam konteks ini saya ingin mencatatkan sedikit pengalaman saya seperti di bawah, untuk kita fikir-fikirkan semasa kita berada di dalam kerisis besar ini, dan semasa kita sedang mengingati Allah ketika kita berada dalam keadaan yang amat genting ini:
Pada 28 Februari 2014 saya bertolak ke Jeddah dengan pesawat kesayangan dunia, MAS, pada pukul 3.15 petang. Saya duduk selesa di dalam pesawat seperti biasa, setelah memasukinya dari pintu pesawat, yang, seperti biasa juga, ditunggu dengan iringan senyum mesra oleh dua orang penyambutnya, seorang lelaki dan seorang wanita.
Saya melihat pakaian pelayan wanitanya telah berubah dari biasa. Bukan pakaian kebaya lagi, tetapi berseluar, berbaju agak longgar dan bertudung kepala. Warnanya juga bertukar. Saya tidak memberikan perhatian sangat, kerana saya taulah dengan itu bahawa pakaian mereka telah bertukar.
Sangkaan saya ini menjadi bertambah kuat kerana seorang pelayan wanitanya dari kaum Cina juga berpakaian yang sama, termasuk bertudung kepala. Saya tahu dia seorang Cina, kerana namanya terang menunjukkan nama kaum Cina.
Saya anggap baguslah pramugari MAS telah berpakaian begitu, kerana semasa saya mengunjungi New Zealand lebih setahun yang lalu, saya dan isteri ketika sedang menghadapi makanan di sebuah restoran halal di Aukland, kami sempat berbual dengan beberapa orang wanita Melayu yang bertudung sopan. Akhirnya kami bertanyakan kerja mereka, sama ada mereka itu pelajar atau telah bekerja.
Mereka kehairanan, lalu bertanya kami apakah kami tidak mengenali mereka? Kami kata tak dapat mengingatinya di mana kami bertemu mereka sebelum ini. Mereka kata pertemuan berlaku di dalam pesawat MAS semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Aukland baru sehari yang lepas. Baharulah kami sedar bahawa mereka ialah pramugari yang melayani kami di dalam pesawat MAS itu. Kami tidak dapat mengenali mereka kerana pakaian yang dipakai telah bertukar, dan keterampilan mereka juga berbeza.
Mereka seterusnya memberitahu bahawa mereka sering menukar cara berpakaian mereka apa bila tiba di destinasi, memakai pakaian menutup aurat. Malah mereka juga amat tidak selesa ketika terpaksa melayan penumpang yang meminta minuman keras semasa dalam penerbangan.
Saya tidak komen apa-apa, kerana mereka hanya bertiga saja, mungkin tidak mewakili suara seluruh anak kapal semua.
Oleh itu apa bila saya melihat perubahan pakaian mereka ketika terbang ke Jeddah dalam perjalanan saya itu, saya fikir tentulah pihak pengurusan MAS telah mengubah dasar pakaian mereka. Maka dengan itu mungkin suara sebahagian besar para anak kapal wanita MAS yang inginkan perubahan pakaian seragam itu telah dimakbulkan Allah.
Ketika saya balik dari Jeddah pada 5 Mac 2014 dengan pesawat MAS jam 10 malam, "confirm lah" MAS telah mengubah pakaian pramugarinya, kerana sekali lagi saya bertemu dengan mereka dalam pakaian seragam yang baru itu.
Tetapi di darat, ketika mendarat di tanah air, dan secara kebetulan bertemu dengan orang-orang yang pramugari yang berpakaian seragam baru itu adalah merupakan anak kapal sewa khas oleh MAS juga untuk ke Jeddah bagi penumpang MAS yang pergi ke sana, kerana kebanyakan penumpang Islam yang pergi kesana ialah bagi menunaikan Umrah dan mengerjakan Haji ketika musim haji. Pakaian menutup aurat ini ialah untuk di pakai ke Jeddah, iaitu perjalanan untuk kebanyakan orang Islam yang akan menunaikan ibadat kepada Allah di tanah suci sahaja.
Oleh itu terjawablah sudah persoalan saya selama beberapa jam dan beberapa hari di Makkah itu, juga ketika dalam perjalanan saya ke Jeddah, dan ketika dalam perjalanan balik ke KLIA, apakah anak-anak kapal wanita penerbangan MAS telah menukar pakaian seragam mereka.........??
Rupa-rupanya tidak betul secara keseluruhannya............
Rupa-rupanya tidak betul secara keseluruhannya............
Comments
Post a Comment