SEMUA AMALAN ADALAH DENGAN NIAT....!

Mungkin Datin Sri Dr Wan Azizah berniat ikhlas ketika mengeluarkan kenyataan bahawa suaminya DSAI adalah anugerah Tuhan untuk menjadi pemimpin negara. Demikian juga ketika beliau mengeluarkan kenyataan untuk menghapuskan perjuangan ketuanan Melayu, mungkin juga dia ikhlas, kerana keikhlasan seseorang itu hanya diketahui oleh orang itu dengan Allah sahaja.

Bagaimana pun ikhlas atau tidaknya seseorang itu mempunyai kaitan juga dengan konteks ketika pengucapan atau kenyataan itu dibuat. Datin Wan Azizah mengeluarkan kenyataan itu ketika beliau membuat ucapan politik dalam perjumpaan ahli politik partinya, maka agak sukar untuk kita menilai keikhlasannya. Tambahan pula mengikut etika dan adab Islam, seorang itu tidak seharusnya memuji dirinya atau orang terdekat dengannya bersandarkan kepada anugerah Allah, satu kurniaan Allah Maha Kuasa yang tidak dapat diukur dengan penilaian yang amat subjektif itu.

Anugerah Allah adalah sesuatu yang amat "sacred" dan suci untuk diukur oleh seorang manusia terhadap manusia lain, tambahan pula akhir-akhir ini telah terlalu amat banyak unsur-unsur yang mencemarkan nama baik orang yang di lebalkan sebagai anugerah Allah itu.

Maka dalam konteks ini pengucapan tersebut hanya merupakan permainan bibir bermotifkan politik sempit yang amat mengelirukan. Malah ungkapan itu amat nyata seolah-olah mempermainkan kurniaan Allah kepada manusia ini, kerana manusia sendiri tidaklah harus mendabek dadanya bahawa dia adalah anugerah Allah kepada manusia, yang mungkin sama dengan martabat Nabi dan Rasul, sedangkan Nabi dan Rasul sendiri pun tidak pernah mendakwa dirinya sebagai anugerah Allah, selain dari menyatakan bahawa Baginda adalah Rasulullah untuk semua umat manusia, dan dalam menjalankan amanah Allah itu pun Nabi Muhammad SAW masih menyerah kepada Allah SWT dengan menyatakan bahawa tugasnya hanya menyampaikan sahaja ajaran Allah itu kepada manusia, maka Allah sahajalah yang akan memberi hidayah-Nya kepada manusia sama ada mahu menerima atau menolak agama suci ini.

Amatlah mendukacitakan bahawa dalam permainan politik, orang amat mudah melupakan nilai-nilai akhlak dan moral kerohanian Islam, dalam mencari keuntungan politiknya, dan demikianlah juga dengan isu ketuanan Melayu, yang nampaknya lebeh merupakan umpan yang dipasang untuk menarik sokongan orang-orang yang sememangnya amat ingin untuk melihat Melayu sesama Melayu bertelagah.

Oleh itu keikhlasan seseorang itu haruslah disertai dengan moral dan etika, akhlak yang bersandarkan kepada ajaran agama kita, bukan bersandarkan kepada permainan politik yang cemar dan tidak jujur.

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....