MENCABAR KUASA SULTAN

Pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah menyerahkan laporan kepada Menteri Besar Selangor tentang tindakannya memeriksa Damansara Utama Methodist Church (DUMC) tempoh hari. MB telah membuat kenyataan untuk menunggu titah tuanku tentang perkara ini. Inilah beritanya yang disiarkan oleh portal Malaysian Insider pada 28 September 2011, yang menjadi rujukan saya di sini.

Seperti biasa, apa2 berita atau artikel yang disiarkan dalam portal ini akan diikuti oleh komen2 di bawahnya yang kadang2 mengulas tentang isi berita atau pandangan yang tersiar dalam artikel dan sebagainya, maka berita tentang permintaan MB Selangor supaya rakyat menunggu titah Sultan dalam hal ini juga menerima beberapa reaksi dari pembaca, yang menulis dengan menggunakan nama pena masing2.

Salah satu komen awal yang diberikan, seperti yang disiarkan oleh Malaysian Insider di bawah berita tersebut ditulis oleh seorang yang menggunakan nama samaran, dan bunyinya adalah seperti berikut

"The Sultan's credibility is badly damaged by this fiasco, now the non-Muslims will see if he is the Sultan of UMNO or Sultan of all Selangoreans. I am sad to say, I do not have much faith in his action. Can you imagine if a gang of non-Muslims raid a mosque with the similar reason? This is the politics today condoned by UMNO and BN"

Saya tidak perlu memberikan sebarang ulasan tentang komen pembaca di atas, juga tentang Malaysian Insider yang menyiarkan komen pembaca ini. Semua orang yang membaca komen ini akan memahami maksud pembaca ini dan memahami juga sikap atau pendirian Malaysian Insider sendiri yang menyiarkan tulisan dan komen seperti ini.

Kita semua menyedari bahawa dalam dunia global dan pasca modenisme ini, semua orang bebas memperkatakan apa2 saja, dan mengeluarkan sebarang pandangan serta menyatakan sikap masing2 atas nama kebebasan bersuara dan hak asasi manusia dalam melakukan sebarang tindakan dan perbuatannya.

Tindakan yang tidak terhad dan tanpa sempadan inilah yang menjadikan zaman kita di abad ke-21 dan milinium ketiga ini sebagai zaman yang penuh gelora, resah gelisah, meledak dengan emosi dan sentimen perkauman, keagamaan dan sebagainya, sehingga kadang2 memarakkan api kebencian dan permusuhan yang membawa kepada persengketaan, keganasan dan berbagai2 konflik lagi.

Dalam kes di atas, MB hanya meminta rakyat bersabar menunggu titah Sultan sebagai Ketua agama Islam di dalam negeri Selangor. Beliau sendiri tidak tahu apakah yang akan dititahkan oleh Tuanku. Tetapi komen yang dibuat ini adalah merupakan satu tindakan yang mendahului masa dan ketika, yang mungkin juga merupakan prasangka yang amat negatif.

Sayang sekali, dalam keadaan konflik melampau politik partisan, taksub perkauman dan agama yang melanda negara kita akhir2 ini, nampaknya perkembangan ini telah menjadikan kita lupa kepada adab, etika dan nilai moral dalam berkonflik dan berbeza pandangan. Kita melupakan tradisi dan budaya hidup kita yang selama ini membentuk minda dan sikap rakyat berbagai kaum di negara ini yang menjadi rujukan kepada dunia luar sebagai negara berbilang kaum yang harmoni, sepadu dan beretika.

Saya percaya majoriti rakyat Malaysia masih berpegang teguh kepada adab sopan dan cara hidup yang harmoni, hormat menghormai, masih menjunjung kedaulatan raja dan ketua negara, malah membenci sikap kasar dan tidak bersopan yang merupakan sesuatu yang amat asing dari masyarakat kita sejak turun temurun ini.

Bagaimana pun sekiranya komen2 negatif seperti yang sering kita baca seringkali ditonjolkan ke tengah2 masyarakat kita, terutamanya melalui media cetak, elektronik dan portal2 maya, maka kita bimbang bahawa hal ini akan menjadi satu norma pemikiran umum dalam masyarakat kita, yang akan mempengaruhi dan mencemarkan minda dan sikap golongan muda kita yang terlalu terikat dengan media alternatif dan portal2 internet ini.

Saya rasa semua kita dari kepelbagaian golongan dan kalangan masyarakat, akademik, politik, peniaga, pengendali media, ketua kaum dan agama, serta lain2 lagi, haruslah mengubah minda dan sikap masing2 dalam menghadapi zaman yang begelora dan penuh kerisis sekarang ini. Kita hanya mempunyai kelebihan yang sedikit sahaja dari dunia luar yang penuh dengan pergolakan berdarah dan gejala bunuh membunuh serta perbuatan ganas lain yang kelihatan menuju kepada kebinasaan dan kejatuhan tamadun.

Kita tidak seharusnya menjadi pak turut kepada cara hidup dan norma2nya yang negatif seperti yang berlaku di luar, kerana setiap negara mempunyai kerisis dan kepincangan sendiri yang berbeza2 dalam aspek ekonomi, perdagangan dan sebagainya, dan masing2 negara mempunyai tahap kelemahan sendiri dalam kepimpinan, perhubungan kaum dan agama, pengangguran, tahap kemiskinan, kadar gaji yang rendah, harga barang dan sebagainya. Hal2 begini tidak seharusnya membawa kepada tindakan membuta tuli yang melampau nilai2 moral dan etika, adab sopan dan ajaran agama itu sendiri.

Memang kita boleh berselisih pandangan dan pemikiran masing2, tetapi hal itu hendaklah diterjemahkan secara yang beradab dan beretika, apa lagi kita hidup dalam sebuah negara yang mempunyai perlembagaan, undang2 yang kita persetujui bersama, dan realiti tanah air kita yang terbina sekian lama dalam acuan dan cara kita sendiri. Setiap rakyat haruslah menghormati norma2 hidup ini, kerana setiap orang dalam negara ini mendapat haknya sendiri. Balaslah hak yang didapati itu dengan tanggung jawab yang sewajarnya.


Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....