AIR MATA DI SOMALIA DAN PETALING JAYA
SENYUM DAN TANGIS PADA MUSIM RAYA
Air Mata dari Somalia dan Petaling Jaya
Hari Raya, musim raya, ketika berkumpul sanak saudara dan handai taulan, kita sering bergembira, berbual, gelak ketawa dan riang ria, membawa cerita lama, suka duka, bertukar jenaka dan bercerita pengalaman baru dan dulu.
Tetapi emosi kita sering tersentuh, menjadi sedih dan membawa kepada titisan air mata, ketika mengenangkan orang yang telah pergi dulu, yang kita kasihi, hormati dan sanjungi. Ketika menziarahi kubur, mengenang kembali arwah keluarga dekat dan jauh, yang bersemadi di sana, air mata sering mengalir di celah-celah bacaan ayat-ayat suci, kadang-kadang tanpa disedari kenapa dan mengapa, tetapi jauh di lubuk hati, kerana kehilangan mereka, dan kita sendiri yang pada satu ketika nanti akan menuruti jejak mereka ke sana.
Pengalaman ini mungkin datang dan pergi pada musim raya, saban berulang pada setiap tahun ketika menjelmanya Syawal selagi nyawa dikandung badan.
Tetapi menjelang musim raya ini, banyak peristiwa baru yang menjelma dan menyebabkan orang mengalirkan air mata, sedih dan dukacita, hancur luluh perasaan dan pemikiran, kerana peristiwa sedih kerana tragidi yang tiba-tiba mendatang bersama-sama datangnya hari dan musim raya.
Di negara kita dalam seminggu menjelangnya Syawal, entah ratusan, malah ribuan orang yang yang terkejut dan tergamam mendengar berita dan menyaksikan kehilangan jiwa orang-orang tersayang yang tiba-tiba menemui ajal. Ajalnya tiba ketika ia seharusnya masih segar bugar, sedang gelak ketawa dan menjamah hidangan raya, namun ajal memanggilnya, dan ia meninggal tanpa sebarang amaran, kerana kemalangan jalan raya, lemas dalam air sungai atau di bawa arus lautan yang deras, di tembak, di tikam, dan kadang-kadang dibunuh tanpa dapat dijejaki siapakah pembunuhnya, atau bagaimanakah pembunuhan itu dilakukan.
Mayat-mayat kemalangan ini kadang-kadang bergelimpangan di atas jalan raya dengan pemandangan yang amat menyayatkan hati, menyedihkan sekali, meremukkan hati dan sanubari orang yang menyaksikannya, terutamanya ketika orang yang menyaksikannya itu adalah emak atau ayahnya sendiri, abang atau kakak, adik-adik dan sanak saudara, anak-anak dan kemanakan sendiri, maka tidaklah dapat digambarkan bagaimanakah hancur dan berkecainya hati mereka yang menyaksikan pemandangan yang amat menyedihkan ini.
Demikianlah rasa hati dan air mata yang banyak tertumpah dari sanak saudara dan waris serta kawan taulan orang yang terpisah nyawa dari badannya di atas jalan raya ketika menyambut hari-hari perayaan menjelangnya Syawal setiap tahun.
Selain dari itu, dalam musim perayaan ini juga , kita mengalami peristiwa sedih, kehilangan beberapa watak ternama yang kita kenali di negara kita. Ketika saya memulakan kerjaya saya di Dewan Bahasa dan Pustaka pada awal-awal tahun 1968, saya diterima bertugas di Bahagian Penyelidikan oleh Katua Pengarah pada masa itu, iaitu (Tun) Syed Nasir Ismail. Saya bertugas di bawah ketua Bahagian tersebut, yang rupa-rupanya menjelang Hari Raya yang lalu, beliau telah dipanggil Allah SWT untuk kembali ke pangkuan-Nya, iaitu Datu Hassan Ahmad, yang kembali kerhamatullah ketika Hari Raya baru saja menjelma.
Kematiannya mengejutkan, kerana hanya mengadu sakit perut dalam masa yang singkat, tanpa sempat di bawa ke hospital, tiba-tiba dia telah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Demikianlah mudahnya kematian boleh berlaku, sesuai dengan firman Allah ‘bahawa urusan-Nya apabila dia menghendaki sesuatu, maka Dia akan memerintah “jadilah” lalu berlakulah, jadilah’.
Peristiwa ini juga berlaku kepada seorang anak bangsa kita di luar negara, yang mengikuti dan mengiringi misi bantuan ke Somalia, untuk merakamkan segala suka duka umat seagama yang sedang mengalami kerisis kemanusiaan yang serius dan keritikal, di Somalia, negara yang rakyatnya mengalami kebuluran tanpa makanan dan minuman, derita dan sengsara, kerana selain dari ketandusan makanan dan minuman, mereka juga mengalami kerisis perkauman dan sukuan, berperang dan berbunuhan sesama sendiri sejeak sekian lama.
Misi bantuan Malaysia ini rupa-rupanya membawa tragedi kepada seorang rakan media kita, jurukamera Bernama, Noramfaizul, yang terkorban akibat terkena peluru tembakan yang berlaku ditempat arwah itu berada. Kematiannya tidak dapat di duga, dan tiada dapat dicarikan alasannya, mengapa dan kenapa, tiba-tiba saja dalam sekelip mata dia menjadi mangsa kekejaman manusia itu, yang sebenarnya hendak dibantu dan dijaga kesejahteraan mereka, tiba-tiba nyawanya sendiri melayang, terkorban akibat peluru asing yang mengenai jasadnya, di tanah asing, dan orang asing, Somalia, negara Afrika ribuan kilometer jauhnya dari tanah air sendiri.
Noramfaizul terkorban ketika menjalankan tugasnya, cuba untuk menggambarkan penderitaan dan nasib malang yang dialami oleh manusia di negara asing yang jauh itu. Tentu telah banyak gambaran yang telah dirakamkannya, yang ia sendiri mungkin belum sempat menyaksikan kesemuanya. Kini dia telah pergi dulu, dan rakaman kameranya tentulah akan disaksikan oleh ramai penonton di seluruh dunia, ketika ianya tidak lagi beada bersama kita, sekiranya rakaman itu masih berada dalam kameranya..
Kepada semua yang telah pergi, sama ada di atas jalan raya, atau diranjang biasa, di medan peperangan, dilokasi penggambaran, malah di mana-mana saja bumi Allah yang menyaksikan pemergiaan mereka, maka kita doakan semoga roh mereka di rahmatkan Allah, dimasukkan kedalam golongan para solehin dan orang-orang yang beriman. Kita semua adalah kepunyaan Allah, dan kepada-Nya kita semua kembali.
Musim perayaan beransur-ansur meninggalkan kita, berlalu dengan cepat atau lambat mengikut ukuran dan perasaan masing-masing, yang dirasakan oleh orang-orang yang tertentu, yang mengalami suka dan duka, senyum ketawa atau air mata, yang menjadi rencah kehidupan bagi musim perayaan ini. Namun kehidupan ini haruslah dibiarkan berterusan, kerana yang demikian itu adalah sunnah Allah SWT, masa berlalu dan beredar, dan hidup mati akan berlaku, namun kehidupan manusia akan berterusan, dalam senyum atau tangis, sehingga tiba ketentuan Allah untuk kehidupan ini keseluruhanya berakhir buat selama-lamanya.
Sehingga menjelagnya hari penghabisan itu, marilah kita meneruskan kehidupan ini dengan penuh tabah dan sabar, mencipta kebahagiaan dunia dan akhirat, sehingga menjelangnya hari perayaan yang akan datang, dan musim-musim perayaan seterusnya.
Comments
Post a Comment