TAHUN BARU HIJRAH 1434: DOA DAN HARAPAN



ANGAN-ANGAN TAHUN BARU HIJRAH 1434

Saya amat mengharapkan seperti yang saya doakan dua hari yang lalu, bahawa tahun Hijrah yang baru akan membawa saya kembali ke zaman persekolahan saya di Maahad Mahmood sekitar akhir tahun lima puluhan, ke Kolej Islam Malaya dalam tahun enam puluhan, dan Al-Azhar Universiti, akhir enam puluhan ke awal tujuh puluhan.

Di Maahad Mahmood saya belajar di sana bersama-sama dengan kawan seangkatan, tetapi lebeh muda dari saya empat lima tahun, seperti arwah Fadhil Nor, Azizan Abdul Razak, Zam dan beberapa orang lain lagi. Di Kolej Islam Malaya saya bertemu dengan teman-teman dari segenap pelosok negara Semenanjung Tanah Melayu, Singapura dan Brunei, seperti Haron Din, Sanusi Daeng Meriok, Ahmad Awang, arwah Hamid Othman, Yusuf Noor, Dusuki Hj Ahmad, Idris Omar, Abdul Hamid Zainal Abidin, Zainal Abidin Abdul Kadir, Abd. Manaf Ahmad dan lain-lain lagi.

Di Al-Azhar pula saya bertemu lagi dengan kebanyakan kawan yang sama belajar di Kolej Islam Malaya sebelum ini seperti Haron Din, Sanusi Daeng Meriok, Azizan Abdul Razak, malah pernah tinggal serumah dengan Hamid Othman dan Ahmad Awang. Ketika saya berada di St Andrews Scotland menyambung pelajaran di peringkat ijazah Doktor Falsafah di sana juga sekali lagi saya belajar dengan arwah Hamid Othman, dan sempat berkawan serta bermesra dengan Mahfoz Mohammad.

Kawan-kawan yang saya sebutkan ini kebanyakannya kembali dan menuju ke haluan kerja masing-masing, malah ramai di antara mereka yang membuat keputusan untuk menyertai parti politik, di antara parti UMNO dan PAS. Ada yang menjadi ADUN atau MP, Menteri Besar atau Menteri, memegang jawatan penting di dalam parti masing-masing, tetapi di luar aktiviti parti, mereka yang mempunyai ideologi parti yang berbeza itu tetap bermesra dan berteman rapat. Kami masing-masing menyedari bahawa kami sama-sama mempelajari ilmu yang sama, berguru dengan para pensyarah yang sama juga, dan beriadah, berjalan ke kedai atau mengulang kaji pelajaran di masjid dan bilik kulliah yang sama, bergurau senda dengan penuh kasih sayang.

Perasaan ini pada umumnya masih berkekelan sehinggalah masing-masing bergerak di dalam bidang politik mengikut ideologi parti masing-masing, bergerak dalam parti tanpa menyentuh kehormatan kawan-kawan lain yang berjuang dalam parti lain, tidak dinggap sebagai seteru peribadi atau melemparkan tuduhan melulu, apa lagi menganggap kawan-kawan dalam parti politik lawan sebagai orang munafik, sekular, apa lagi musuh Islam dan sebagainya, kerana masing-masing menyedari bahawa mereka semuanya adalah produk sistem pendidikan yang sama, belajar mengikut sistem dan bidang agama, kefahaman agama dan nilai akhlaknya tidak perlu dipersoalkan, malah tidak semestinya tindakan mereka memilih parti politik yang berbeza menjadikan sesetengah mereka tidak Islam atau menolak Islam, kerana ijazah mereka telah membuktikan keahlian mereka dalam bidang pengajian masing-masing, tambahan pula apabila mereka semuanya merupakan lulusan dari pusat pengajian yang sama, Maahad Mahmood, Kolej Islam Malaya atau Universiti Al-Azhar.

 Pusat-pusat pengajian inilah yang mendidik dan membentuk pemikiran dan pengetahuan mereka, membekalkan nilai-nilai akhlak yang baik, menanamkan akidah dan iman yang kuat, maka dari segi keislamannya, mereka semua adalah orang yang memahami akidah, syariah dan akhlak yang sama. Perjuangan politik mengikit ideologi politik kepartian masing-masing, hanyalah dilakukan mengikut kecenderungan dan keyakinan masing-masing, tidak semestinya sekumpulan saja yang salah atau betul, tambahan pula parti politik itu bukanlah merupakan satu agama lain yang baru diwahyukan Allah kepada Rasul atau Nabi baru.

Oleh itu nampaknya semua kawan saya yang bergerak dengan giat dalam wadah politik dan parti masing-masing tidak berkhilaf dari segi akidah dan syariahnya, malah yang mungkin berselisih pandangan hanyalah dari sudut strategi dan perancangan agenda dan perjuangan parti, yang tidak sama sekali menyentuh akidah seseorang, atau mengeluarkan seseorang itu dari agamanya menjadi murtad atau kafir, kerana soal kafir atau murtad seseorang Islam itu hanya Allah sahaja yang menentukan.

Maka dari aspek inilah saya amat berangan-angan bahawa pada tahun baru Hijrah ini, roda sejarah akan dapat berpusing balik kebeberapa puluhan tahun ke belakang, supaya segala perkembangan sihat dan harmoni dalam perjuangan politik umat Islam akan dapat menurut jejak kawan-kawan saya yang saya sebutkan itu, malah sistem dan kaedah mereka berguru juga telah berjaya membentuk peribadi dan nilai akhlak mereka yang lurus dan bernilai, terutamanya jika dibandingkan dengan politik kepartian Islam dan Melayu mutakhir ini yang penuh dengan perkembangan yang tidak sihat dan amat menyeleweng dari acuan dan set nilai akhlak Islam yang sebenarnya.

Namun begitu, angan-angan saya ini mungkin hanya merupakan angan-angan Mat Jenin, tidak akan kedapatan dan tidak akan kesampaian lagi, walau pun sebenarnya kawan-kawan saya dari pelbagai parti politik itu masih dapat duduk bersama, bergurau dan bermesra hingga ke hari ini, namun golongan ini sering dilindungi oleh kumpulan lain yang lebih besar, yang rata-ratanya mempunyai sikap dan sifat yang agresif, mencela dan menjatuhkan hukuman yang berat kepada kawan-kawan seagamanya dari parti politik yang dianggap musuh dan lawanya, sehinggakan menjelma menjadi seteru dan musuh dunia akhirat.

Ya Allah apakah agaknya kersalahan umat Islam dan umat Melayu di negara ini akhir-akhir ini? Wallahu a'lam

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....